|
Puisi |
Setiap manusia telah dianugerahkan dengan keistimewaan masing-masing. Cuma apa yang berbeza adalah bidang atau aspek keistimewaan tersebut yang adakalanya sama dan adakalanya berlainan di antara satu sama lain. Manusia pula seharusnya menggunakan apa sahaja keistimewaan yang dimiliki tersebut ke arah kebaikan diri, orang lain dan seterusnya memakmurkan muka bumi dan bukan menggunakannya sebagai wadah untuk mendatangkan kerosakan. Salah satu keistimewaan yang dimiliki manusia adalah 'bakat' yang merupakan kebolehan semulajadi khususnya dalam bidang-bidang tertentu atau pelbagai bidang. Selain itu, bakat juga merupakan bawaan atau potensi yang masih perlu dikembangkan dan dilatih agar dapat mencapai kecekapan dan kecemerlangan khususnya dalam melakukan sesuatu.
Melihat kepada penyataan umum berkaitan bakat maka bolehlah dibuat kesimpulan awal bahawa bakat akan muncul dalam situasi di mana ia dilahirkan dalam diri seseorang secara semulajadi manakala dalam situasi yang lain adalah ia wujud selepas menjalani satu bentuk pengesanan kemampuan potensi sebelum dikembangkan melalui proses-proses tertentu. Namun demikian, kedua-dua situasi tersebut masih memerlukan elemen lain iaitu 'latihan' sebagai agen untuk menentukan kecekapan atau keberadaan seseorang di tahap prestasi terbaik secara berterusan.
Selepas memahami kedua-dua situasi tersebut maka akan wujud telahan bahawa "beliau sememangnya berbakat" yang merupakan proses semulajadi dan "beliau sememangnya berkemampuan" yang merupakan proses pengesanan. Tahap latihan yang diperlukan mungkin berbeza bagi kedua-dua situasi ini di mana proses semulajadi hanya memerlukan latihan bagi tujuan membiasakan manakala proses pengesanan memerlukan asuhan, pendedahan dan latihan yang berterusan bagi mencapai tahap yang disasarkan.
Hasron @ Kajang, Selangor
Comments
Post a Comment