Skip to main content

KEHIDUPAN BERMAKNA PERLU PERUBAHAN POSITIF

"Kehidupan manusia di muka bumi ini adalah sangat bermakna. Sebagai khalifah yang berperanan untuk memakmurkan bumi Allah yang luas ini, manusia telah dianugerahkan dengan kesempurnaan bagi membezakan di antara baik dan buruk yang bertujuan bukan sahaja bagi mengisi keperluan kehidupan duniawi malah yang lebih penting adalah mencapai ukhrawi. Dalam mencari kedua-duanya manusia sering juga tergelincir dari landasan atau aturan yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, manusia telah dianugerahkan dengan akal fikir untuk merancang dan melakukan perubahan bagi memastikan semua perkara adalah menjurus kepada kebaikan"

(Hasron Nazri Hashim, Berita Harian, 17 April 1999)

Selalunya masyarakat yang terkedepan adalah masyarakat berilmu, lebih bertamadun dan kian matang dalam segala hal berbanding masyarakat dulu yang rata-ratanya primitif dan konservatif. Pertukaran gaya dan nilai hidup ini pula bergantung kepada tahap keperluan dan persekitaran yang banyak memberi kesan kepada identiti sesuatu masyarakat.

Seandainya masyarakat dulu kehidupan mereka banyak dipenuhi peperangan, penindasan, penderitaan dan kesulitan tetapi masyarakat kini pula adalah sebaliknya. Hal ini berlaku kerana adanya unsur pemodenan dalam bentuk idealogi, pemikiran dan metarial lebih canggih dan menyeluruh.

Persoalannya adakah hakikat ini benar-benar belaku? Perubahan kehidupan manusia pada umumnya terbahagi kepada dua aspek iaitu perubahan dari segi metarial dan perubahan kerohanian. Dalam erti kata mudah, perubahan metarial bermakna perubahan sesuatu dari sifat lama kepada sifat baru manakala perubahan kerohanian lebih kepada perubahan sikap daripada buruk kepada lebih baik. Pada zahirnya, perubahan metarial dapat kita lihat dan ia berlaku dengan pantas di sekeliling kita. Contoh yang paling mudah, seandainya dulu tiada siapa menyangka menusia mampu menjelajah cakerawala tetapi kini manusia bukan sahaja boleh menjelajah tetapi mereka juga mampu memijakkan kaki ke alam berkenaan. Kemampuan ini akan dapat dipastikan dengan adanya teknologi serba moden.

Sekiranya dulu kereta lembu atau perahu menjadi alat perhubungan utama dalam kehidupan manusia, tetapi tiada siapa menduga sekarang manusia mampu berhubung secara pantas dan selamat dengan adanya kenderaan berjentera yang lebih canggih. Pendek kata setiap apa yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini sudah mampu dilihat dengan nyata. Perubahan ini selari dengan perkembangan pengetahuan, idea, pengalaman dan keperluan sesebuah masyarakat itu sendiri. Perkembangan positif ini memberikan kemudahan, kesenangan dan keselesaan hidup bagi masyarakat yang memilikinya lebih-lebih lagi apabila ciptaan mereka berjaya dikomersilkan.

Jelas perubahan metarial yang membawa keuntungan berlaku dengan pesat, diakui dan dinanti-nantikan oleh manusia tetapi bagaimana pula dengan perubahan kerohanian? Apakah keadaannya sama dengan kekuatan pegaruh metarial atau masih dibelenggu sejarah silam? Dalam mencari jawapan, kita perlu memandang semula kepada masyarakat yang membudayakan metarial itu dan perlu menjalani entiti pemikiran, kejiwaan, emosi dan sikap. Seandainya masyarakat dulu dikatakan rendah keperibadiannya, adakah masyarakat sekarang baik budi pekertinya, telus sistem nilainya dan tinggi sifat kemanusiaannya. Sekiranya masyarakat dulu menjadikan persengketaan dan bunuh-membunuh sebagai amalan hidup, adakah masyarakat hari ini yang dilabelkan sebagai bertamadun hidup harmonis, aman damai dan bertunjangkan kewarasan.

Jawapan kepada perbandingan ini nyata dan jelas jika kita menjadi seorang pemerhati dan mahu menghayati apa yang kita perhatikan. Persamaan dan perbezaan amat ketara dan ia berlaku dalam pelbagai strata kehidupan. Dari generasi yang tinggi taraf pendidikannya hinggalah kepada generasi yang cetek pengetahuannya mengenai prinsip kehidupan sempurna. Dewasa ini, fenomena golongan lemah ditindas dan dianiayai golongan berkuasa masih menjadi virus masyarakat. Kutuk-mengutuk, kata-mengata dan fitnah-menfitnah mejadi api menyemarakkan permusuhan. Sikap tamak dan dengki masih bermaharajalela menguasai akal fikiran manusia dan seterusnya mendorong seseorang melakukan kejahatan.

Sifat negatif seperti ini boleh membangkitkan kemarahan, ketidakpuasan hati dan ia menjurus kepada tercetusnya peperangan. Keadaan ini berlaku di kalangan golongan dewasa yang intelektual tetapi bagaimana pula dengan golongan muda? Hebatkah mereka? Mari kita sama-sama nilaikan. Pada zaman jahilliah, sejarah membuktikan bahawa anak perempuan tidak mendapat tempat dalam kehidupan. Kehadiran mereka sering menjadi igauan dan akibatnya anak perempuan di ketepikan malah dibunuh dengan kejam. Namun pada zaman ini kezaliman seumpama itu masih berlaku dan menjadi barah dalam masyarakat. Masalah pembungan anak dan mendera kanak-kanak yang berleluasa amat tragis dan ini menandakan kisah lama berulang kembali.

Pada zaman dahulu anak-anak muda dididik dengan adat bersopan santun, berbudi pekerti, hormat-menghormati dan diasuh supaya mendaulatkan budaya dan adat resam. Keunggulan sifat ini amat dititikberatkan memandangkan ia mencerminkan gambaran sebenar masyarakat khususnya. Namun berlainan pula dengan anak-anak muda pada zaman pasca permodenan yang mana nilai hidup semakin terhakis dan banyak dipengaruhi budaya asing. Permasalahan anak-anak muda seperti pergaulan bebas, hedonistik, hipi dan vandalisme seakan sudah sebati dalam kehidupan mereka. Begitu juga dalam konteks keagamaan yang amat diberi perhatian oleh masyarakat dahulu. Berpegang teguh kepada agama bukan sahaja boleh menjadi bekalan menuju ke alam akhirat tetapi juga dapat memastikan kemuliaan dan keredaan hidup di dunia.

Kurangnya pegangan terhadap agama, pudarnya keyakinan kepada adat dan tradisi sendiri serta tidak yakin kepada diri menjadikan generasi muda kita lemah dan pesimistik. Pastinya hal ini menjadi sesuatu yang malang kepada negara kerana mereka adalah pewaris kesinambungan negara pada masa depan. Kewujudan mereka bukan lagi sebagai wadah kepada keutuhan negara tetapi boleh menyebabkan negara bangsa mereka sendiri musnah dan tergadai. Keadaan ini berbeza dengan anak-anak pada zaman dulu yang teguh penderian, kaya dengan patriotisme dan berani berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Suatu perbandingan perlu bagi mengenali nilai yang mewakili sesuatu zaman. Setiap kehidupan pula pasti akan berdepan dengan perubahan positif. Menilai semua kehidupan perlu sebagai panduan merealisasikan kehidupan lebih bermakna pada masa akan datang.

Comments