Skip to main content

KOLEKSI PUISI MAJALAH

 


KELANSUNGAN

Belantara hijau tersaksi
jarinya goncang membidik
susuk-susuk pencemar izzat
di hadapan bila laras tersandang
di bahu utuhnya
hatinya memikul mamlakat
bangsa agar tidak tergenggam
durjana pemusnah
saban hari membelek ruang
 
Benihnya tumbuh di kota batu
penerus coretan seketika terhenti
memburu petualang semakin angkuh
dan ampuh nafsu memercik
 
Lumpur kejahatan ke serata jagat
jangan mata sampai putih
jangan panji berempat menyembah
tanah pusaka moyang
dihimpit derap pengkianat
itu pesanan
kerana ayah dan pewarisnya
ada kelansungan
penegak hak milik bersama.

H.Nazri Hashim
PUSPA, KELANTAN
(Majalah Keluarga, Julai 1996)

 


WIRA CINTA

Telah kucipta
rindu dan sayang
kulayarkan di samudera
galak gelora
demi mencumbui cintamu
 
Kutatapkan
puisi dan lagu
kudendangkan sayu
moga bergegar hatimu
melantaskan kau berpaut
 
Walaupun infiniti
aku tetap gagal mengetuk
hatimu yang terbina
dari batuan pejal
pada peria yang
bermukim di sini
 
Aku sedari
pipiku tak mancung
mimpiku tak berpijak
kerna itu aku berundur
 
Tewasku amat terhormat
azamku amat nyata
agar kau mengerti
aku juga wira cinta.

H.N.H Peringat
(Majalah Remaja)

 


ASYIK

Wajah itu
teguh perinsipnya mengelamun
tengah gelora dunianya
walau mahkota kehormatan
terhempas ganas
 
Wajah itu tersenyum
dialun madah hati sejolinya
sambil tangannya dipimpin
ke lorong hanyir digenangi noda
 
Asyiknya tiada tegar
bila emas terpampang di matanya
memaksa dosa membusut
bila kaki tercalit
kelakuan hitoris
 
Akalnya melamun visi
menyapa keanggunan serba serbi
namun tidak seindah
imaginasi liang lahat
 
Keasyikannya tanpa perasan
bangsanya terbiar cemar mukanya
 
Tanpa ketahuan izrail
menjejakinya
mencemburui keasyikannya.

H.Nazri
Kota Bharu
(Majalah Nona, Mei 1996)


 

LEMBARAN BARU

Tika ini kita lihat
anak-anak kecil berair matanya
apabila terlepas dakapan ibu
dahaga titis air
mengemis menanti simpati
 
Tangan menggapai hancur
dihimpit batuan sejarah silam
mara berpanjangan
 
Selagi
otot nadi
ganas menyentak hukum
serumpun
menggoda kematian bawah sedar
buah fikir idialis mencorak
kanvas suci tanpa palit
dengan warna terpeteri kelabaan
mulut di junjung
bersama kudratnya menabur
dedak-dedak beracun
 
Menerajang kemanusiaan
menepis kesaksamaan
mengukuh cipta durjana
menyaing zat iman dari kezaliman
 
Kini pantas kita
penuh aktor pemusnah
penerus tragedi lembaran esok
tiga ratus enam puluh lima.

H.Nazri Hashim
Kota Bharu, Kelantan
(Majalah Keluarga, Feb 1996)

Comments