“akhlak Rasulullah
adalah akhlak terbaik yang seharusnya menjadi ikutan dan dicontohi oleh umat
baginda sebagaimana pentingnya umat Islam menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah
sebagai landasan kehidupan. Namun sebagai manusia yang lemah sifatnya, ada
ketikanya kita leka dek kelalaian dalam memaknakan sesuatu sehingga tergelincir
dari landasan tersebut. Pada akhirnya manusia perlu kembali kepada fitrah
dengan mengakui kelemahan diri dan berusaha melakukan muhasabah diri sebaik
mungkin supaya kehidupan dunia dan akhirat akan lebih bermakna”
PERPADUAN TERAS MALAYSIA MADANI
(Hasron Nazri
Hashim, Berita Harian, 26 Julai 1999)
Remaja,
golongan muda yang sentiasa terdedah kepada faktor kedewasaan samada dari aspek
jangka hayat, minda, perasaan, emosi dan perwatakan. Proses pendewasaan ini
sebenarnya harus dibajai dengan sifat-sifat kemurniaan yang berperinsip kepada
keagamaan, sistem nilai dan kebudayaan bangsa yang semaksimum mungkin.
Pembajaan yang sempurna akan melahirkan generasi remaja yang beriman, berakhlak
mulia dan bersahsiah jitu. Sebaliknya proses pembajaan yang tidak seimbang pula
akan mewujudkan generasi yang lemah, pincang identiti dan tingkah laku yang
condong kemaksiatan.
Hakikat ini
menjadikan remaja perlu mencari mekanisme terbaik bagi membentuk, memantap,
memperkukuh dan memperteguhkan kendiri. Salah satu konsep yang wajar dihayati
dan direalisasikan keunggulannya ialah konsep muhasabah diri. Muhasabah dalam
Bahasa Melayu bermaksud menilai, meninjau perasaan, fikiran atau penderian diri
sendiri. Pengertian muhasabah ini adalah tepat yang mana sebagai manusia, kita
wajar mengetahui dari mana asal kita, apa tujuan kita hidup di dunia dan ke
mana kita selepas kehidupan ini.
Jika diteliti
daripada perspektif Islam, manusia harus melalui empat alam bagi melengkap dan
menyempurnakan ketetapan pencipta manusia itu sendiri. Dari alam rahim, alam
dunia, alam barzakh hinggalah ke alam akhirat masing-masing ditetapkan untuk
dilalui setiap manusia. Pembentukan seseorang itu adalah bergantung kepada cara
hidup ibu mereka sewaktu mengandung. Seandainya ibu itu mengamalkan kehidupan
yang sentiasa berlandaskan kepada ketakwaan kepada Allah maka anak yang
terbentuk juga menjadi anak yang cintakan Allah. Begitu juga sekiranya ibu itu
mengamalkan kehidupan yang menjurus kepada kemungkaran kepada Allah, maka anak
yang dihasilkan akan terpalit sama kemungkaran itu.
Lahirnya
manusia di dunia maka bermulalah peranan, tugas dan tanggungjawab sebagai insan
yang bakal memakmurkan setiap anugerah Allah di muka bumi. Manusia adalah
makhluk terbaik yang diutuskan oleh Allah. Mereka dikurniakan dengan akal, hati
dan otak yang bertujuan membezakan
antara sesuatu yang hak atau yang batil. Dengan adanya ketiga-tiga elemen ini
manusia dikehendaki mencari dan membina kehidupan tanpa mengenepikan
hukum-hukum Allah di samping beramal bagi mendekatkan diri denganNya.
Penganugerahan
akal juga membolehkan manusia menilai dan mendefinisikan sesuatu khususnya
perkara keburukan yang bertentangan dengan syiar Islam. Berfikir menggunakan
akal amat diperlukan kerana manusia juga diberi nafsu yang sentiasa condong
kepada kejahatan. Sesungguhnya kehidupan di muka bumi ini adalah landasan untuk
mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Andai tergelincir dalam
menggunakan nikmat Allah, maka seseorang manusia itu boleh di letakkan dalam
dua keadaan iaitu golongan yang bahagia di dunia tetapi mendapat kehinaan di
akhirat dan golongan yang hina di dunia dan akhirat sekaligus.
Harus
diingatkan setiap kehidupan di muka bumi ini pastinya ada tempoh penghujungnya.
Bagi manusia, kematian adalah kalimah yang tepat bagi memengertikan
penghujungnya. Selepas berlakunya kematian, jasad manusia akan dikebumikan dan
ia akan kembali menjadi tanah tetapi, roh manusia tidak akan mati malah terus
hidup di alam baru yang dikenali sebagai alam barzakh atau alam kubur. Di alam
ini roh manusia akan diduga oleh Allah berpandukan kepada segala amal ibadat
yang dilakukan ketika hidup. Sekiranya manusia sewaktu hidupnya sentiasa
beramal soleh, meninggalkan setiap laranganNya dan bersama menegakkan Rukun
Islam maka manusia akan tenang dan bahagia di alam barzakh. Seandainya sewaktu
hidup manusia sering mengamalkan perkara maksiat dan mungkar maka penyeksaan
jua yang menghantui sewaktu bermukim di alam itu.
Sebagai
seorang Muslim kita wajib mempercayai adanya hari penghabisan, hari pembalasan
atau hari kiamat. Percaya kepada hari kiamat juga adalah salah satu Rukun Iman. Di alam ini manusia akan dibangkitkan kembali
dari tidur mereka di alam barzakh untuk dihisab dan ditimbang segala amalan
mereka ketika hidup. Setiap amalan yang baik akan dibalas dengan syurga
manakala setiap amalan buruk akan dibalas dengan neraka yang penuh azab dan
penyeksaan.
Pemahaman
terhadap keempat-empat alam ini akan menyedarkan manusia mengenai dari mana asal
kita, apa tujuan kita hidup dan ke mana selepas kehidupan. Tujuan utama
kehidupan adalah melaksanakan tugas dan tanggungjawab untuk mencapai
kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Asas bagi mendapatkan darjah kebahagiaan
ini pula berkehendakan manusia mengamalkan konsep ‘Amal Makruf Nahi Mungkar’
dan ia seharusnya diletakkan sebagai tunjang perjuangan.
Oleh yang
demikian, dalam kehidupan ini remaja perlu menilai dan meninjau kembali diri
samada tujuan sebenar kehidupan disempurnakan atau sebaliknya. Setiap
perbuatan, tutur kata dan gerak hati bakal dinilai untuk diberi pembalasan
apabila tiba saatnya. Pelaksanaan sesuatu pekerjaan harus dilandaskan dengan
kewajaran, kewarasan dan bermatlamatkan mendapat kenikmatan Allah supaya masa
kehidupan di dunia tidak sia-sia begitu sahaja.
Comments
Post a Comment