Skip to main content

USAHA MEMERANGI COVID 19 DAERAH KAMPAR

 

Tahun 2020 telah melakar sejarah bukan sahaja kepada masyarakat di Malaysia malah juga di seluruh dunia. Tiada siapa menduga bahawa pada tahun tersebut masyarakat dunia berdepan dengan VIRUS COVID-19 yang mengancam nyawa jutaan manusia sehingga pihak World Health Organization (WHO) mengisytiharkannya sebagai pandemik yang perlu ditangani secara kolektif.

Di Malaysia, selepas dikesan keberadaan di dalam negara pada awal 2020, kerajaan lantas mengambil langkah drastik dengan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi tujuan mencegah penularan virus tersebut di kalangan masyarakat di negara ini. Walaupun dilihat kurang populis di peringkat awal, namun selepas kadar jangkitan semakin meningkat senario tersebut telah menyebabkan kesedaran masyarakat semakin bertambah dan seterusnya akur dengan tindakan-tindakan proaktif yang dilaksanakan kerajaan. Menilai dari situasi tersebut, bagi memastikan masyarakat sentiasa patuh kepada terma-terma PKP, satu bentuk penguatkuasaan telah dilaksanakan oleh pasukan petugas barisan hadapan dengan kuasa-kuasa sepertimana termaktub dalam sistem perundangan negara yang sedang berkuatkuasa. Peranan ini dimainkan oleh beberapa jabatan dan agensi penguatkuasa yang dikawal selia oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Penguatkuasaan PKP telah berlaku di seluruh negara berpandukan kepada tahap penularan virus tersebut yang dipantau Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dalam konteks Daerah Kampar, penguatkuasan PKP telah dipelopori oleh PDRM IPD Kampar dengan mendapat sokongan penuh dari semua pihak yang terlibat khususnya dari jabatan dan agensi sahabat dalam daerah bagi memastikan penguatkuasaan menjadi tunjang kepada kejayaan mencegah penularan Covid-19 di daerah ini. Penguatkuasan dilaksanakan sepanjang tempoh pengisytiharan PKP (dalam pelbagai fasa) oleh pihak kerajaan dan tanpa mengira masa termasuk di musim-musim perayaan yang diselarikan dengan elemen pencegahan jenayah bagi mewujudkan kehidupan yang aman dan selamat. 


@ Kajang, Selangor 



Comments

Post a Comment