SEMPENA HARI MALAYSIA
16 SEPTEMBER 2023
(TB Artikal Hasron Nazri Hashim - Surat Harian Pembaca, Berita Harian, 09 April 2001)
Sesiapa saja
yang berada di bumi Malaysia, pasti dapat menyaksi dan berasa nilai kebebasan,
ketenangan dan kedamaian yang sukar dikecapi di tempat lain. Keadaan ini wujud
kerana keamanan, keselamatan dan kedaulatan Malaysia yang terpelihara, terjamin
dan sentiasa dipertingkatkan.
Sebaliknya jika nilai kebebasan, ketenangan dan kedamaian itu bertukar menjadi kongkongan, kucar-kacir, tidak tenteram dan keganasan, pastinya ia akan mewujudkan pelbagai perkara yang membawa persoalan negatif kepada sesiapa sahaja. Apa yang jelas, kedua-dua keadaan ini menunjukkan bahawa kehidupan masyarakat akan terjejas apabila keamanan dan keselamatan negara dicabuli. Perbandingan ini juga menggambarkan bahawa keamanan dan keselamatan negara adalah perkara paling penting demi menjanjikan kehidupan masyarakat terurus, terpelihara dan terjamin secara keseluruhannya.
Melakukan perbuatan bertentangan dengan undang-undang negara, agama dan norma masyarakat adalah penyumbang kepada kemudaratan keamanan dan kemakmuran. Begitu juga dari aspek tutur kata yang mengandungi unsur sensitif, tidak berlapik dan tanpa berfikir terlebih dahulu juga mampu menjadi pencetus kepada ketidakamanan dan ketidakmakmuran.
Selain itu, sikap mementingkan diri, tidak mengutamakan
kepentingan mejoriti, kemaruk kuasa dan kekayaan serta menyuarakan suara hati dengan
menggunakan saluran salah juga boleh mencetuskan bencana. Sikap ini akan
mengundang rasa tidak puas hati golongan tertentu, menyemarakkan amarah dan
seterusnya memecahbelahkan masyarakat dan mengenepikan semangat harmonis di
kalangan mereka. Natijahnya, keamanan dan keselamatan negara akan terjejas dan
impian kehidupan bermakna akan malap sama sekali.
Tanggungjawab
pihak keselamatan dalam mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara tidak boleh
dipertikaikan. Hakikat ini jelas dilihat dari faktor sejarah dan kejayaan
mereka menangani perkara yang boleh menggugat keamanan negara. Apa yang perlu
difikirkan, adakah pembabitan masyarakat dalam membantu mengekalkan keamanan
dan kemakmuran adalah jelas dan semakin ketara atau sebaliknya. Adakah rakyat
sekadar menumpang keamanan dan kemakmuran itu. Perkara ini perlu diberi
perhatian berterusan secara menyeluruh di semua peringkat masyarakat. Dalam hal
ini, generasi muda perlu diberi perhatian lebih kerana golongan itu lebih
cergas, agresif dan kadang kala keterlaluan daripada generasi tua.
Perkembangan
semasa membuktikan pembabitan mereka dalam beberapa kejadian demonstrasi
jalanan, pergaduhan, jenayah, masalah sosial dan sebagainya. Peristiwa dan
kejadian ini jika tidak dibendung dari awal akan menyebabkan suasana yang lebih
parah dan membabitkan kemusnahan yang lebih besar kepada agama, bangsa dan
negara. Sehubungan itu, generasi muda perlu dibentuk, dididik dan diperkukuhkan
dengan semangat patriotik membina dan cintakan keamanan serta kedamaian
bernilai tinggi. Mereka perlu menjadi penyumbang kepada keamanan, memelihara
keselamatan negara dan bukannya sebagai pencetus ketidakhormonian dan
keruntukan tamadun bangsa.
Keamanan dan keselamatan adalah ciri penting kemajuan dan pembangunan masyarakat dan negara. Ia membolehkan masyarakat hidup aman damai dan mampu melaksanakan setiap kegiatan kehidupan dengan lancar. Tanggungjawab mewujud dan mengekalkan keamanan terletak di bahu semua warganegara samada secara langsung atau tidak. Oleh yang demikian, sedarilah tanggungjawab kita bersama semoga kehidupan masa kini dan akan datang menjadi lebih bererti.
Comments
Post a Comment