Skip to main content

KHIDMAT NEGARA ATASI PROGRAM MOTIVASI SEDIADA



"...sebagai pewaris kesinambungan kepimpinan masa depan, kita mengharapkan sesuatu yang terbaik khusus kepada generasi muda negara..."

(Artikel Hasron Nazri Hashim, Harian Pembaca Berita Harian, 10 Mac 2004)

Program Khidmat Negara (PKN) adalah program motivasi yang dijalankan serentak di seluruh pelosok negara, membabitkan ramai peserta selain perbelanjaan yang tinggi dan diselit dengan modul membina insan yang amat konsisten. Melihat daripada kredibiliti PKN, wajarlah ia dilabelkan sebagai program unggul mengatasi pelbagai program motivasi sebelum ini.

Melalui PKN pengharapan utama dan terpenting semestinya disandarkan kepada peserta yang bakal mewarisi kesinambungan kepimpinan negara. Sewajarnya program ini diharap dapat menjadi pemangkin bagi melahirkan generasi yang seimbang dari aspek rohani dan jasmani selain menjadikan mereka generasi yang dinamik, progresif dan berkeperibadian tinggi.

Dalam usaha mencapai matlamat yang disasarkan, pelbagai modul dirangka, disusun dan direalisasikan. Kombinasi latihan jasmani, rohani dan kenegaraan dilihat berkemampuan dalam mensasarkan matlamat itu. Namun segala modul yang disusun akan menjadi sia-sia seandainya ia tidak dihayati sepenuhnya oleh peserta.

Segala modul yang dirancang terkandung pelbagai makna samada ia bersifat objektif mahupun subjektif. Ia mempunyai makna tersendiri untuk dimengertikan oleh peserta yang melaluinya. Dengan penghayatan yang tinggi saja ia akan dapat difahami dan seterusnya dapat dimanfaatkan dalam kehidupan.

Elemen penghayatan perlu diikuti oleh satu ukurtara lain yang tidak kurang pentingnya. Ia adalah amalan yang harus bergerak seiring supaya setiap apa yang dihayati dapat diimplementasikan dalam bentuk tindakan. Ilmu yang dicari atau diperoleh tidak akan berguna jika tidak diamalkan. Tanpa amalan ia akan terbiar lesu, beku dan pasif sedangkan ilmu adalah petunjuk jalan paling utama dalam melayari kehidupan.

Dalam konteks PKN, setiap ilmu yang diperoleh melalui kegiatan kerohanian, jasmani dan kenegaraan sewajarnya dihayati dan diamalkan bukan saja ketika program berlangsung tetapi juga sepanjang kehidupan. Dari segi prinsip, kegiatan kerohanian berkemampuan membina kekuatan jiwa, ketahanan diri dan membentuk keperibadian selari kehendak agama dan budaya masyarakat.

Kegiatan berkaitan jasmani pula berkeupayaan membina kekuatan tubuh badan, akan fikiran, kesihatan dan mengubah serta membentuk sikap yang positif di dalam diri. Dalam konteks modul kenegaraan pula, penghayatan terhadapnya akan membolehkan seseorang meningkatkan semangat kecintaan kepada negara, lebih patriotik, nasionalis di samping menambah pengetahuan terhadap isu semasa negara.

Melihat dari kenyataan ini maka jelaslah setiap apa yang terkandung dalam PKN mempunyai mesej tersendiri dan ia amat berharga untuk dihayati dan kemudiannya dipraktikkan dalam kehidupan. Dalam menghayati sesuatu seseorang itu perlu mempergunakan segala deria yang ada untuk merasai melalui penglihatan dan pendengaran, memahami melalui akal fikir dan seterusnya mengalami melalui perbuatan. Hal ini selari dengan pengertian penghayatan itu sendiri yang berasal daripada perkataan hayat yang bermaksud perihal menghayati, perihal mengalami dan merasai dalam batin.

Sesuatu program yang baik ialah program yang dapat dihayati dan kemudiannya dipraktikkan apa yang dihayatinya. Tugas dan peranan menghayati dan mengamalkannya sudah semestinya disandarkan kepada peserta atau golongan sasaran program. Jika ia gagal, program yang dirancang dengan begitu konsisten sekalipun tidak akan bermakna dari segi prinsipnya.

Justeru, kepada peserta PKN pergunakanlah segala peluang yang ada untuk dimanfaatkan dalam kehidupan yang masih Panjang. Jangan menyalahtafsirkan peluang itu sebagai satu paksaan atau sekadar menjadikannya sebagai wadah mengisi kekosongan tempoh sebelum ke alam kedewasaan sebenar kerana ini jelas sikap kurang bijak.

Comments