Skip to main content

LINDUNGI GENERASI MASA DEPAN

 


PELAJAR MEROKOK BARAH MASYARAKAT

"...dewasa ini rokok bukan sahaja hasil olahan tembakau yang digulung dengan kertas semata-mata malah telah mengalami tranformasi selari dengan kemajuan sains dan teknologi. Memasuki era baru dengan penghasilan rokok elektronik, vape, sisha atau alat pemanas tembakau namun kesannya tetap ada dan membahayakan kesihatan..." 

(Artikel Hasron Nazri Hashim, Surat Pembaca, Berita Harian, 23 November 1999)

Saya ingin mengambil kesempatan memaparkan perbualan saya dengan seorang pelajar menengah yang berusia belasan tahun. Pelajar itu menyatakan ibu dan bapanya tidak menghalang dia menghisap rokok ketika di rumah.

Terkilan saya mendengar penjelasan itu. Timbul persoalan di hati saya, apakah peranan ibu bapa tidak lagi penting dalam membentuk generasi muda yang berdisiplin, adakah ibu bapa sekarang tidak mementingkan keperibadian anak mereka atau adakah anak sudah kehilangan sifat menghormati orang tua? Segalanya berkemungkinan dalam mencari penyelesaian dan jawapan kepada persoalan ini.

Pelajar merokok adalah masalah yang semakin membimbangkan. Pelbagai usaha telah dilaksanakan terutama oleh pihak sekolah dalam menangani masalah ini, namun hasilnya agak kabur kerana tidak ada kesatuan bersepadu yang salah satu daripada kesatuan itu ialah ibu bapa.

Apabila membicarakan isu ini, tidak lengkap seandainya kita mengabaikan persoalan rokok dan implikasinya. Secara ringkas, asap rokok datang daripada tembakau yang mengandungi lebih daripada 3000 bahan kimia. Antara bahan kimia terpenting dan berbahaya dalam asap rokok ialah karbon monoksida, nikotina, tar dan partikal asap yang boleh mendatangkan pelbagai penyakit. Karbon monoksida bertindak menghalang haemoglobin daripada membekalkan oksigen kepada organ penting dalam tubuh. Nikotina pula boleh meningkatkan pembinaan lemak dalam saluran darah, mengecutkan saluran darah dan boleh menyebabkan sakit jantung. Tar bertanggungjawab merosak dan mematikan sel dinding paru-paru atau pundi paru-paru dan unsur asap menyebabkan kemusnahan sel dan meninggalkan kesan parut pada lapisan paru-paru.

Amalan merokok boleh mendatangkan pelbagai penyakit berbahaya. Antaranya ialah barah paru-paru, mulut dan kerongkong, barah pundi kencing dan buah pinggang, barah pankreas dan penyakit jantung. Menurut kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekurang-kurangnya 2.5 juta kematian berlaku dalam usia muda akibat serangan penyakit berkaitan rokok setiap tahun iaitu kira-kira satu kematian dalam 13 saat.

Menyedari hakikat ini, jika permasalahan ini tidak diberi perhatian sewajarnya pasti generasi muda kita akan menjadi generasi lemah, pasif dan tidak produktif. Andai generasi yang menjadi tunjang kekuatan negara, lemah, pasif dan tidak produktif maka pada masa yang sama menyebabkan pembangunan dan kepesatan negara terbantut. Adakah anda seorang yang patriotik, sekiranya membiarkan keadaan ini berlaku dan menghantui setiap daripada kita.

Generasi muda harus dibentuk dengan nilai murni yang kemudiannya perlu disesuaikan kepada pembangunan diri, masyarakat dan negara. Selain mengetepikan permasalahan yang menggugat budaya, mereka juga wajar menepis agen yang memusnahkan diri walaupun ia berlaku dalam jangka masa panjang. Ibu bapa juga harus memainkan peranan penting kerana masa anak-anak lebih lama ketika di rumah. Jangan biarkan kemusnahan menghampiri anak hanya kerana sikap tidak ambil tahu atau mudah putus asa apabila didikan mereka tidak berjaya.

Sedarilah merokok membahayakan kesihatan dan menghapuskan generasi sedikit demi sedikit. Carilah punca dan penyelesaian bagi menunaikan kewajipan dan tanggungjawab bersama.




Comments