Skip to main content

MENGURUS MASA KE ARAH KEBAIKAN

Dalam konteks Islam, masa adalah sesuatu yang sangat di beri perhatian sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Asr ayat 103:13 yang bermaksud "demi masa sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati supaya mentaati kebenaran dan saling menasihati supaya menetapi kesabaran". Ayat ini menjelaskan betapa tingginya masa sebagai sesuatu yang perlu dimartabatkan dalam kehidupan manusia. Hal ini kerana, manusia perlu mengguna dan menguruskan masa dengan amalan dan perbuatan yang baik selari dengan tuntutan agama. Sebaliknya, manusia akan berada dalam kerugian dan kehinaan seandainya masa yang ada diisi dengan perlakuan-perlakuan mungkar dan bertentangan dengan kehendak agama. Perbuatan dan perlakuan yang dimaksudkan adalah melingkari fitrah dan seluruh aspek kehidupan manusia dalam melangsaikan tanggungjawab mereka di dunia.

Kehidupan manusia di dunia adalah bersifat sementara dan masa yang singkat perlu digunakan sebaiknya demi meraih sebanyak mungkin keberkatan dan keredaan dari Allah SWT. Perkara ini diperincikan melalui hadis riwayat Iman Ahmad "rebutlah 5 perkara sebelum 5 perkara : masa muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit, sihat sebelum sakit dan hidup sebelum mati". Hadis ini memperlihatkan bahawa masa tidak menunggu manusia tetapi sebaliknya manusia perlu mengejar masa sebelum terlambat iaitu ketika manusia tidak lagi terdaya untuk mengembali atau mengulangi semula masa yang telah berlalu.  

Berbicara berkaitan pekerjaan sebagai salah satu entiti kehidupan, menghargai dan menghormati masa bukan sahaja dituntut melalui peraturan-peraturan bercetak oleh pihak penguasa bagi mengawal selia pekerja tetapi juga lebih dari itu apabila menjadikan pekerjaan sebagai suatu 'ibadah'. Dari perspektif ibadah pastinya ia akan mendatangkan pahala jika dikerjakan dengan sempurna mengikut aturan yang ditetapkan dan sebaliknya berlaku jika kehendak ibadah itu tidak diberi perhatian.


Menepati dan mematuhi masa bekerja adalah bagi sesuatu tempoh sebagaimana yang ditetapkan oleh majikan. Sebagai contoh dalam sektor awam mahupun swasta, majoriti masa bekerja yang ditetapkan adalah selama sembilan jam termasuk satu jam masa rehat. Pekerja perlu memastikan keberadaan di tempat kerja mengikut tempoh masa tersebut. Walaupun urusan tugas telah diselesaikan dalam tempoh yang diperuntukan tetapi ia bukan bermakna pekerja boleh mengambil kesempatan pulang awal atau 'keluar' awal. Sebaliknya perlu memastikan mereka terus berada di tempat kerja sehingga melewati waktu yang ditetapkan dengan melakukan perkara-perkara yang berfaedah.

Kehadiran tugas pula perlu lebih awal dari masa yang ditetapkan di mana tempoh yang paling ideal adalah 15 minit sebelum waktu tugas sebenar. Tugas yang dimaksudkan merujuk kepada kehadiran di tempat kerja, mesyuarat, perbincangan, program dan sebagainya. Hal ini perlu diberi perhatian memandangkan tempoh 15 minit tersebut adalah ruang yang sesuai untuk membuat persiapan akhir sebelum tugas dimulakan. Ia juga merupakan tempoh terbaik untuk menyemak dan melihat kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku atau di luar jangka yang boleh mengganggu kelancaran penugasan yang bakal dijalankan nanti.

Pekerja yang bijak dalam menguruskan pekerjaannya adalah mereka yang boleh menilai dengan baik di antara sesuatu aspek tugas dengan masa yang diperlukan untuk melangsaikan tugasan tersebut. Logiknya, jika sesuatu tugas boleh diselesaikan dalam tempoh satu jam atau satu hari maka mereka perlu memastikan ia dapat diselesaikan dalam tempoh tersebut. Mengambil masa yang lama bagi sesuatu tugasan yang 'mudah' adalah tidak praktikal dan perkara ini akan menggambarkan ketidakcekapan pekerja dan seterusnya mengganggu produktiviti. Lebih buruk seandainya pekerja mempunyai sifat mencela masa apabila tugasan yang diamanahkan tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan. Sesungguhnya perbuatan mencela masa adalah dilarang sebagaimana hadis dari Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda "Allah 'Azza wa Jalla' berfirman, Aku disakiti oleh anak Adam. Dia mencela waktu, padahal Aku adalah (pengatur) waktu, Akulah yang membolak-balikkan malam dan siang".

Senario tersebut adalah sebahagian dari pemerkosaan waktu bekerja yang boleh dilihat di persekitaran tempat tugas. Banyak lagi situasi negatif akibat tindakan memperalatkan masa yang berlaku di sekeliling kita. Persoalan yang timbul adalah bagaimana melatih diri untuk memastikan pengurusan masa di tahap terbaik di kalangan pekerja? Pastinya ia perlu kembali kepada elemen kejiwaan dan spiritual manusia dengan memahami dan mempraktiskan nilai disiplin, jujur, amanah dan ikhlas dalam melakukan sesuatu serta apa yang lebih penting adalah menyemai etika 'Kerja Kerana Allah'. Kejayaan menelusuri nilai dan etika ini akan meningkatkan lagi kapasiti kesempurnaan dalam mempergunakan masa ke arah kebaikan demi mencapai kecemerlangan duniawi dan ukhrawi. Wassalam.


Author : Hasron @ Kajang, Selangor

Comments