Fitrah kewujudan manusia adalah sebagai khalifah yang berperanan memakmurkan muka bumi ini dengan amalan-amalan baik dan terpuji yang dianjurkan oleh Islam. Manusia dijadikan Allah SWT dengan sebaik-baik kejadian dan penuh kesempurnaan meliputi aspek rohaniah mahupun jasmaniah sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud : "sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya". (At-Tin : 4).
Walau bagaimanapun, bagi menentukan nilai sebenar kesempurnaan tersebut ia hanyalah milik Allah SWT secara kekal dan anugerahNya kepada insan-insan yang sangat 'terpilih' dan 'terpimpin'. Lumrahnya dalam kehidupan, semua manusia mengimpikan perkara-perkara yang baik sahaja dan tiada seorang pun manusia yang ingin berperilaku tidak baik atau bertentangan dengan fitrah. Namun, mengapa keburukan tetap berlaku walaupun manusia tidak mengharapkannya sedangkan manusia adalah sebaik-baik kejadian.
Keadaan ini berlaku kerana manusia gagal bertindak dengan konsisten untuk menyempurnakan kesempurnaan tersebut ke arah kebaikan sehingga samada sedar atau tidak mencitrakan pula kelemahan. Justeru, disebabkan ketidaksempurnaan tersebut, maka manusia akan terdedah kepada kelalaian yang akan menjelmakan kelemahan melalui kesilapan samada senjaga atau tanpa senjaga dan samada sedar atau tanpa sedar. Perkara ini selari dengan firman Allah SWT yang bermaksud : "Dan apabila Kami beri manusia merasai sesuatu rahmat, mereka bergembira dengannya (sehingga lupa daratan); dan jika mereka ditimpa sesuatu bencana disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa". (al-Rum : 36).
Semua manusia pernah dan akan melakukan kesilapan atau kekhilafan walaupun mereka yang dikatakan baik dan cemerlang sehingga boleh berperanan untuk membawa orang lain ke arah kebaikan. Senario ini berlaku tanpa mengira siapa atau kedudukannya dalam masyarakat kerana ia adalah sifat manusia yang direncanakan secara tuntas oleh sang Penciptanya.
Ibubapa yang mendidik anaknya menjadi sebaik-baik manusia, guru-guru yang mengajar muridnya menjadi pintar, ahli agama yang menyeru manusia kepada kehidupan yang diredai atau perancang dan penguatkuasa undang-undang semua boleh terpalit dengan kesilapan dan kekhilafan. Kesempurnaan seseorang tidak boleh dinilai dari perbuatan dan tuturkata yang baik, peranan mereka dalam masyarakat atau bidang pekerjaan yang dilakukan tetapi lebih kepada kawalan naluri kejiwaannya.
Bagi memastikan kesempurnaan itu menjadi benar-benar sempurna aspek kejiwaan perlu diletakkan sebagai asas utama sebelum diterjemahkan kepada praktis. Mendekatkan diri ke jalan Allah SWT, mengawal nafsu dan kehendak yang tidak terbatas, berfikir sebelum bertindak, mendidik diri untuk membezakan baik atau salah sesuatu dan memupuk semangat menghormati dan berkasih sayang adalah terapi jiwa yang perlu dicari dan disemai sebaiknya.
Maka tidak perlu bagi kita untuk menghakimi seseorang itu sebagai teramat sempurna dan mengkritik sekiranya mereka melanggar kesempurnaan tersebut. Apa yang lebih penting mendoakan perkara-perkara yang baik supaya kita bersama-sama mendapat keredaan Allah SWT di sepanjang kehidupan yang mencabar ini dan mampu menyempurnakan sebuah kesempurnaan.
Author : Hasron @ Putrajaya, Malaysia
Comments
Post a Comment