Skip to main content

NOWHERE KISAH KECEKALAN


Sebuah triller lakonan mantap Anna Castillo dan Tamar Novas merupakan sentuhan tuntas Albert Pinto. Mengisahkan Mia dan suaminya Nico melarikan diri dari ancaman bunuh oleh pihak rejim negaranya yang mengalami krisis kemanusiaan. Mereka menggunakan khidmat pihak ketiga dengan menaiki sebuah lori kontena. Di pertengahan perjalanan sebahagian penumpang kontena telah dipaksa untuk menaiki lori kontena lain dengan tanpa diduga kejadian tersebut telah memisahkan Mia dan Nico "tanpa sengaja".

Kejadian tersebut telah memulakan kisah kecekalan Mia untuk menyelamatkan diri dari pihak rejim selepas semua penumpang kontena yang dinaikinya telah dibunuh di sekatan jalan menuju ke pelabuhan. Mia yang terselamat dari kejadian tersebut "tertinggal" sendirian sehingga kontena diangkut dan dimasukkan ke kapal. Di pertengahan perjalanan kapal telah dibadai ribut menyebabkan kontena yang dinaiki Mia terjatuh dan terlepas ke lautan. Sejak itu, maka bermulalah survival Mia untuk menyelamatkan diri dan kemudiannya terpaksa menyelamatkan bayinya yang dilahirkan seorang diri di dalam kontena. Apa tidaknya, terkurung di dalam kontena besi yang dimasuki air dan menanti masa untuk tenggelam. Namun di atas kecekalan, Mia dan bayinya diselamatkan selepas 23 hari berada di lautan oleh sebuah bot yang dinaiki sepasang suami isteri.

Melalui kisah ini penonton telah disajikan dengan semangat dan kecekalan Mia dalam menghadapi situasi yang sangat mencabar dan terpaksa melakukan apa sahaja untuk terus hidup. Bukan hanya seorang diri malah bersama bayi yang baru dilahirkan. Pelbagai masalah muncul di ruangan sempit dan kritikal tersebut namun berjaya dihadapi dan ditangani satu persatu berbekalkan kebolehan daya fikir, kewarasan mental dan kekuatan fizikal yang terhad serta limitasi makanan, sistem perhubungan dan peralatan yang ada di dalam kontena tersebut.

Manusia perlu melakukan apa sahaja untuk terus hidup dan ia ditonjolkan dengan penuh dramatik dalam filem ini. Adegan Mia terpaksa memakan uri kandungannya, menikmati ikan mentah sehingga muak dan menghirup air hujan untuk terus hidup telah berjaya memberikan kesan yang mendalam di jiwa penonton. Usaha yang tidak pernah lekang dan kemampuan melihat ruang serta peluang juga banyak membantu Mia keluar dari kemelut yang dihadapinya. Olahan dari elemen tersebut telah membuatkan penonton ingin bersama-sama Mia untuk terus mencuba sesuatu tanpa rasa jemu.

Selain itu, penonton juga dibawa untuk menyelami kemampanan hubungan spritual di antara sesama manusia khususnya seorang anak dan ibu selain di antara manusia dengan haiwan. Perkara ini ditonjolkan melalui pergerakan bayi dalam kandungannya ketika Mia hampir-hampir mengelar tangannya akibat berputus asa seolah-olah tidak membenarkan Mia bertindak demikian. Tangisan anak kecil tersebut juga telah menyelamatkan nyawa ibunya ketika pasangan suami isteri kembali melakukan bantuan pernafasan selepas melihat Mia seolah-olah tidak menunjukkan respon positif. Ikan paus pula bertindak membawa Mia kepada bayinya ketika mereka terpisah selepas kontena tenggelam ke dasar lautan.

Jangan lepaskan peluang menonton filem yang sedang hangat diperkatakan di media sosial khususnya di saluran Netflix ini. Selamat Menonton...09/10.

Author : Hasron @ Kajang, Selangor

Comments