Skip to main content

PEKERJA BERJIWA POSITIF


Proses pekerjaan bukan sahaja dilihat kepada gerakan minda dan tingkah laku fizikal semata tetapi perlu lebih jauh dari itu. Minda dan tingkah laku merupakan sesuatu yang boleh dicipta momentumnya dan aspek tugas tetap boleh diselesai dan dilaksanakan walaupun ia digerakkan dengan minda dan tingkah laku ciptaan manusia tersebut. Namun manusia tidak boleh mempermainkan jiwa yang ada dalam diri kerana jiwa adalah subjektif sifatnya.

Menurut Kamus Dewan Bahasa Pustaka, jiwa bermaksud batin (perasaan, fikiran, cita-cita dan lain-lain yang terkandung dalam hati manusia). Melihat kepada pengertian tersebut, pastinya manusia tidak mampu untuk memaknakan apa yang tersirat di sebalik perasaan, fikiran dan hati manusia lain. Jika boleh dinilai sekalipun adalah melalui tindak balas gesture seseorang namun ia tidak semestinya tepat. Sebaliknya sifat ini akan dirasai dan difahami sendiri oleh mereka yang memiliki dan seterusnya boleh menghasilkan nilai keikhlasan serta kecintaan terhadap sesuatu.

Dalam dunia kerjaya, 'bekerja dengan jiwa' adalah sangat penting melebihi minda dan tingkah laku. Adakalanya manusia dilihat sangat rajin, petah berhujjah dan bijak menggunakan daya pemikirannya tetapi belum tentu mampu menghasilkan kualiti kerja sebagaimana yang ditetapkan. Ini kerana kualiti akan terhasil apabila adanya keikhlasan yang terbit dari jiwa yang positif. Dalam sudut kerjaya, senario ini juga boleh diselarikan dengan ungkapan "quality is better than quantity". Sementara dalam situasi yang lain, juga terdapat perbezaan 'gaya kerja' bagi mereka yang bekerja dengan jiwa yang positif melalui kerja yang berperancangan berbanding kerja keras selari dengan ungkapan "work smart is better than word hard".

Bagaimana menidentitikan pekerja yang dimaksudkan? Maka di sini diperturunkan sepuluh ciri-ciri pekerja yang berjiwa positif seperti berikut :
  • Mementingkan keberhasilan kerja tanpa berkira tentang cabaran dan masa;
  • Membudayakan nilai murni kendiri dan etika kerja bagi membantu meningkatkan kapasiti keberhasilan kerja;
  • Mementingkan kualiti dan kuantiti dalam aspek pekerjaannya;
  • Mempunyai sifat menghargai pekerjaannya;
  • Mengutamakan 'kepuasan' dalam melaksana dan apabila menyelesaikan kerja tanpa mengira balasan;
  • Memahami dengan terperinci sifat, keperluan dan objektif aspek pekerjaannya;
  • Menghargai peluang dan penghormatan di atas kerja yang diamanahkan;
  • Melihat aspek kerja dalam ruang lingkup yang lebih luas, fleksibel dan berupaya melakukan keluarbiasaan;
  • Mengutamakan idea dan amalan baru dalam pekerjaanya; dan
  • Menganggap kerja sebagai ibadah dan kewajipan yang perlu ditunaikan.

Pekerja yang berpengetahuan, berpengalaman dan multi telanted sangat didambakan oleh industri masa kini. Ini kerana kelebihan tersebut akan membawa kepada keuntungan dalam pelbagai aspek terutamanya kepada organisasi. Namun begitu, nilai sebenar pekerja sewajarnya diterjemahkan dari keberhasilan dan kualiti kerjanya samada di atas kertas mahupun secara fizikal hasil sentuhan dari jiwa yang positif. 

Author : Hasron @ Kajang, Selangor





Comments