Skip to main content

POSITIVE DISCIPLINE & NEGATIVE DISCIPLINE



Dalam memastikan segala urusan kehidupan berjalan lancar salah satunya adalah terletak kepada sejauh mana kekuatan disiplin yang ada dalam diri seseorang individu. Dari sudut istilah, disiplin bermaksud latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada tatatertib. Selain itu, disiplin juga membawa erti kepatuhan kepada peraturan yang telah ditetapkan dan hukuman atau denda kerana melanggar sesuatu peraturan yang di­tetapkan (DBP). Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979 menjelaskan disiplin bermakna kesanggupan seseorang untuk melakukan sesuatu dengan tertib, menghormati hak orang lain, mengamalkan tingkah laku yang baik dan tidak mengganggu kepentingan orang lain. (Abdullah Sani, 2006)

Disiplin terbahagi kepada dua kategori iaitu disiplin positif (positive discipline) dan disiplin negatif (negative discipline). Dalam konteks pekerjaan, disiplin positif merujuk kepada kaedah di mana majikan berkomunikasi dengan jelas kepada pekerja tentang tingkah laku yang sesuai, yang tidak sesuai dan ganjaran untuk tingkah laku yang baik dan akibat untuk tingkah laku yang buruk. Manakala disiplin negatif adalah penalti yang digunakan untuk memaksa pekerja mematuhi peraturan. Dalam erti kata lain, pekerja cuba mematuhi peraturan kerana takut akan amaran, penalti dan bentuk hukuman. Melihat kepada pengertian kedua-dua kategori disiplin tersebut, dengan mengambil contoh kepada beberapa senario ia diperincikan seperti berikut:

Disiplin Positif

Disiplin Negatif

Kesimpulan dari senario tersebut, pekerja perlu mengikut peraturan yang digariskan oleh majikan yang mewakili organisasi. Jika gagal patuh kepada peraturan tersebut maka pekerja akan berdepan dengan tindakan. Namun, seandainya pekerja telah terbukti melakukan perkara yang melanggar peraturan tersebut maka tindakan atau panalti tertentu dikenakan kepada mereka. Mematuhi peraturan adalah disiplin dan menerima penalti atau denda yang dikenakan di atas ketidakpatuhan juga adalah satu bentuk disiplin. Kedua-duanya bertujuan membentuk jatidiri bagi melatih dan mengawal pemikiran serta perlakuan supaya selari dengan kehendak peraturan yang ditetapkan.

Sebagai pekerja, kepatuhan kepada kedua-dua kategori disiplin ini sangat diperlukan dalam membentuk pekerja yang berwibawa, berketerampilan dan seterusnya meningkatkan prestasi serta produktiviti. Mereka wajar menghayati kenapa peraturan tersebut dibuat dan mengapa perlu mereka mematuhinya. Apakah kesan baik atau buruk jika mematuhi atau tidak mematuhi peraturan tersebut. Di sisi lain pula, mereka juga perlu tahu 'nilai' dan 'tujuan' disebalik penalti atau denda yang dikenakan dan apakah kesan positif kepada diri dan prestasi pekerjaan khususnya pada masa depan. Jika perkara ini diberi perhatian oleh pekerja maka ia akan mengurangkan ketakakuran atau perlanggaran kepada peraturan. Penumpuan secara total boleh dilakukan bagi usaha-usaha lain yang lebih penting seperti peningkatan kualiti dan produktiviti yang akan membawa kepada pencapaian objektif dan matlamat organisasi.

Namun dalam perkara ini, peranan majikan juga penting dalam memastikan pekerja melestarikan peraturan melalui konsep disiplin positif dan disiplin negatif ini. Komunikasi majikan terhadap pekerja melalui motivasi, peringatan dan tindakan selepas dibuktikan akan memandu pekerja agar dapat memenuhi kedua-duanya. Memberi penekanan kepada disiplin positif tetapi pada masa sama memberi pertimbangan sewajarnya kepada disiplin negatif sebagai langkah melahirkan pekerja yang cemerlang. Mendidik pekerja tidak harus tertumpu dari sudut punitif semata-mata tetapi bagaimana menterjemahkan aspek positif dalam diri mereka bagi memberi impak kepada bidang pekerjaan yang lebih menyeluruh.  

Natijahnya, pekerja akan merasa lebih dihargai, majikan akan lebih fokus dan organisasi akan mencapai matlamat sebagaimana yang disasarkan. Keberhasilan ini akan menjadi kesalingan terbaik untuk semua pihak terus maju ke hadapan.

Author : Hasron @ Kajang, Selangor


Comments