Skip to main content

RIDE JERAM REKREASI SG TALAN, REMBAU


Pada tanggal 07 Oktober 2023 telah berlangsung ride santai ke Jeram Rekreasi Sg Talan, Rembau, Negeri Sembilan. Sebuah daerah beradat yang kaya dengan tradisi adat perpatih sejak turun temurun. Pemilihan lokasi adalah berdasarkan kepada jarak yang tidak terlalu dekat dan tidak terlalu jauh dari Pusat Bandar Kuala Lumpur. Program anjuran USKPN (R&D) yang disertai seramai 20 riders memulakan perjalanan pada jam 8.30 pagi dari Tasik Perdana, Kuala Lumpur dengan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Bertemankan cuaca yang sedikit panas dan berjerebu, perjalanan mengambil masa lebih kurang 1 jam 45 minit termasuk masa berhenti untuk rest time di Hentian Rehat & Rawat Seremban.


Sampai di Pekan Rembau pada lebih kurang jam 10.15 pagi. Lokasi pertama dikunjungi adalah di Dataran Rembau sebelum bergambar di lokasi kedua iaitu di Mercu Tanda Daerah Kampar yang terletak di Persimpangan Lampu Isyarat Pekan Rembau di Jalan Seremban-Tampin. Dari sini riders meneruskan perjalanan ke Restoran B40 yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari Pekan Rembau untuk mengambil sedikit kudapan bagi mengalas perut kerana belum lagi bersarapan di sepanjang perjalanan tadi. Sememangnya sesuai dengan namanya kerana harga makanan di restoran ini boleh dikira amat berpatutan.


Selesai menjamu selera, riders meneruskan perjalanan ke lokasi sebenar iaitu di Jeram Rekreasi Sg Talan yang terletak di Kampung Bintongan, Rembau. Terletak kira-kira 5 kilometer atau 10 minit perjalanan dari Pekan Rembau dan 14 kilometer atau lebih kurang 20 minit perjalanan dari Plaza Tol Pedas Linggi. Merupakan lokasi tumpuan pengunjung samada di sekitar mahupun dari luar Daerah Rembau khususnya pada hujung minggu untuk beriadah dan membawa keluarga untuk bermandi manda.



Antara kemudahan yang terdapat di lokasi tersebut adalah seperti camping side, surau lelaki dan perempuan, bilik air dan tandas, tempat pakir, pondok selain beberapa gerai yang menjual makanan dan minuman. Penyediaan makan tengahari bagi para riders ditempah dan disediakan oleh katering dengan kerjasama rakan seperjuangan yang masih bertugas di Balai Polis Rembau. Antara menu makan tengahari yang disediakan adalah daging salai masak lemak, ayam masak merah, ayam bakar black pepper, sambal belacan, ulaman, ikan masin, nasi putih, buah tembikai dan disertakan dengan dua jenis kuih melayu. Penyediaan dengan harga yang berpatutan setanding kualiti dan kuantiti makanan yang disediakan sesuai dengan konsep makan selagi boleh.


Program dipenuhi dengan aktiviti bebas dan berakhir dengan simbolik memotong kek 1 tahun 9 bulan dan 25 hari yang mempunyai pengertian yang tersendiri. Riders bergerak balik ke Kuala Lumpur pada jam 3.30 petang. Program telah mencapai matlamat sebagai wadah mengeratkan silaturrahim, memperluaskan jaringan persahabatan, menambah pengalaman dan pengetahuan khasnya berkaitan lokasi-lokasi unik di Malaysia. Wassalam...





Author : Hasron @ Kajang, Selangor

Comments