Gambar Hiasan |
“Masyarakat yang terkedepan bukan sahaja dinilai dari aspek kemajuan metarialis semata-mata tetapi turut mengambil kira kekuatan spritualnya meliputi kemuliaan akhlak, keberadaan nilai murni, jatidiri yang ampuh, kemampuan menilai baik atau buruk sesuatu perlakuan dan cakna serta peka kepada tindakan persekitaran. Elemen-elemen ini jika digapai, dihayati dan dipraktikkan maka ia bukan sahaja boleh membantu melahirkan individu, masyarakat dan warganegara yang cemerlang tetapi juga menjadi penyumbang kepada kebaikan dan kemaslahatan manusia keseluruhannya”
(Hasron Nazri Hashim, Berita Harian, 20 September 2000)
Dewasa ini
masyarakat sering didedahkan dengan penularan pelbagai kegiatan jenayah yang
berlaku di persekitaran mereka. Kejadian pembunuhan, rompakan, kecurian,
merosakkan harta awam dan sebagainya adalah antara perlakuan jenayah yang
mengundang pelbagai persoalan dalam masyarakat. Pendedahan permasalahan ini, secara
positif bukanlah bertujuan untuk menakutkan masyarakat, tetapi ia adalah
sebagai wadah kepada masyarakat untuk menilai dan seterusnya mengambil pengajaran
daripadanya.
Jenayah ialah
perbuatan jahat yang salah di sisi undang-undang dan peraturan negara. Membicarakan
mengenai jenayah akan memberi gambaran awal kepada seseorang di mana perilaku
dan pertuturannya adalah cenderung kepada imej keburukan, kemusnahan dan
kejelekan. Gambaran ini diletakkan kepada mereka yang mengamalkan perilaku
jenayah dan implikasi setelah sesuatu jenayah itu dilakukan.
Memandangkan
kegiatan jenayah amat bertentangan dengan undang-undang negara, tidak selari
dengan kehendak budaya masyarakat dan kontras dengan ajaran agama, maka
seharusnya penularan kegiatan ini dibendung. Penularan kegiatan jenayah ini
biasanya akan menyebabkan masyarakat hidup dalam ketakutan, kekalutan dan
kebimbangan. Masyarakat yang merasai situasi sebegini secara tidak langsung
akan menggugat proses pembangunan negara. Apa tidaknya, masyarakat inilah juga
yang menjadi sumber tenaga manusia untuk membangunkan negara.
Negara yang
aman dan masyarakatnya hidup dalam suasana harmonis memainkan peranan yang
penting sebagai daya penarik pelabur asing untuk menanam modal di negara ini.
Kegiatan perniagaan bebas berjalan tanpa gangguan, khususnya kehilangan nyawa
mahupun kemusnahan harta benda sebagaimana yang berlaku di sesetengah negara membangun
yang lain. Masyarakat yang bebas jenayah, beretika, bertatasusila dan ramah
mesra akan mewujudkan keamanan dan kemakmuran seterusnya membolehkan Malaysia dihormati
dan disegani di mata dunia.
Perkembangan
berterusan masalah jenayah telah mengundang pelbagai spekulasi dan
diperbincangkan oleh pelbagai lapisan masyarakat. Tidak adil sekiranya kenapa
dan mengapa masalah ini wujud dituding seratus peratus kepada apa yang ada di
persekitaran tanpa mentelusuri kepada apa yang ada di dalam diri seseorang
individu yang mendominasi masyarakat. Tidak salah seandainya aspek sikap, nilai
dan akhlak individu diambil kira sama memandangkan elemen inilah yang menjadi
agen pengawal untuk mendefinisikan baik buruk atau betul salah sesuatu perkara
sebelum diperlakukan.
Ketiadaan
nilai spiritual yang tuntas berlandaskan prinsip keagamaan dan budaya murni
akan membuatkan seseorang lupa diri dan menghilangkan rasa hormat menghormati sesama
mereka. Sikap bertolak ansur dan sayang menyayangi juga akan terhakis apabila
jiwa dan emosi dikuasai nafsu serakah, kepentingan diri melebihi kepentingan
sejagat dan menjadikan prinsip matlamat menghalalkan cara sebagai landasan
hidup. Amalan hidup seperti ini memberikan ruang yang luas dan jelas kepada
perlakuan jenayah bagi menembusi jatidiri masyarakat.
Menyedari
hakikat ini, sebagai individu yang membentuk masyarakat dan individu yang mempunyai
peranan dan tanggungjawab mereka seharusnya melihat perlakuan jenayah sebagai
masalah yang perlu ditangani. Aspek kerohanian, kejiwaan dan naluri perlu
terlebih dulu diberi perhatian. Menyuburkan ia dengan nilai agama, sistem nilai
dan adat budaya bangsa akan membantu memperkukuhkan keterampilan diri dan
seterusnya menjadi benteng kepada anasir negatif yang pelbagai corak dan
bentuk.
Melihat kepada
implikasi buruk perlakuan jenayah, semua pihak harus berganding bahu berusaha untuk
mengatasinya dengan pelbagai kaedah dan pendekatan. Memang tidak dinafikan,
mewujudkan keamanan dan menjana kemakmuran negara adalah tanggungjawab pihak
keselamatan dengan sokongan peruntukan undang-undang yang sedia ada. Namun
demikian, seandainya masyarakat umum yang lebih besar dari sudut kuantitinya
mengambil sikap sambal lewa, segala perjuangan pihak keselamatan akan menjadi
sia-sia. Ini adalah kerana proses pencegahan jenayah memerlukan kesepaduan yang
kukuh di antara dua unsur iaitu masyarakat dan sudah semestinya pihak keselamatan.
Sebagai sebuah negara yang sedang meneroka era kemajuan, Malaysia seharusnya bangkit dengan acuan yang tersendiri. Salah satu bentuk yang ingin diadaptasi dari acuan itu ialah masyarakatnya yang bebas dari jenayah.
Comments
Post a Comment