Latar Belakang
Jika dilihat dalam konteks Malaysia, slogan banyak di ketengahkan ketika era 80an dan 90an iaitu semasa Malaysia sedang bergerak dari sebuah negara membangun kepada negara maju selari dengan mauduk besar Wawasan 2020. Di era tersebut, slogan sangat berguna dalam mempengaruhi pemikiran masyarakat khususnya untuk bersama menyokong dasar-dasar yang dicetus dan dilaksanakan oleh pihak pemerintah. Salah satunya adalah 'Kepimpinan Melalui Teladan' yang sejak akhir-akhir ini sangat jarang diguna dan diungkapkan namun pengaruhnya masih releven dan cukup besar dalam pembangunan sesebuah entiti, institusi atau organisasi.
Objektif
Ringkasnya, objektif slogan ini diperkenalkan adalah untuk menanam dan memupuk sifat kepimpinan yang berkesan bagi dicontohi, dihayati dan diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat. Dibentuk berteraskan kepada kekuatan nilai etika, pemikiran, akhlak dan tindakan yang positif khususnya bagi pekerja di sektor awam yang menjadi penggerak utama kepada usaha membangunkan Malaysia dalam pelbagai disiplin ekonomi dan perkhidmatan. Di akhirnya nanti adalah diharapkan supaya teras-teras tersebut akan menjadi pemangkin kepada pembangunan diri pekerja dan seterusnya meningkatkan daya pengeluaran negara. Semua pihak mempunyai nilai tersendiri. Namun jika diselarikan dengan keyword slogan, pemimpin akan menjadi watak utama di mana mereka inilah yang harus menunjukkan sikap dan etika yang baik kerana setiap nilai yang ditonjolkan nanti akan menjadi contoh dan ikutan oleh pekerja di bawahnya.
Mula diperkenalkan pada 19 Mac 1983 oleh Perdana Menteri Malaysia ke-4. Pada tanggal ini, proses membawa Malaysia dari sebuah negara membangun kepada negara maju bukan sesuatu yang mudah. Evolusi tersebut memerlukan kesepaduan nilai dan spritual dari pelbagai kelompok sumber manusia dalam pelbagai sektor terutamanya kakitangan dalam organisasi awam. Semua peringkat dalam organisasi tersebut memiliki strata khusus meliputi golongan 'pembuat dasar' yang mantap di samping golongan 'pelaksana' yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdisiplin bagi memastikan produktiviti sentiasa berkembang. Kedua-dua golongan ini memerlukan satu bentuk chemistry supaya matlamat yang disasar ke atas fungsi dan peranan mereka dapat dicapai.
Realiti Masyarakat
Mengapa masyarakat Malaysia masih memerlukan satu slogan seperti 'Kepimpinan Melalui Teladan' walaupun telah 30 tahun diperkenalkan? Dalam hal ini, masyarakat Malaysia sejak dahulu sangat senonim dengan etika dan tradisi dalam kehidupan mereka. Adakalanya etika dan tradisi tersebut berubah mengikut keperluan dan keadaan. Dimensi yang sering dilihat adalah mereka mudah 'terikut' atau 'terpengaruh' dengan apa yang ada di persekitaran mereka dan suka 'meniru' terutamanya dari aspek amalan dalam pelbagai sudut pekerjaan dan kehidupan. Selain itu, persoalan bernada sinis yang sering juga kedengaran adalah ungkapan 'kalau orang lain boleh kenapa saya tidak boleh' atau 'jika bos boleh kenapa pekerja tidak boleh' bagi menggambarkan keadaan interpersonal di tempat kerja. Walau bagaimanapun, wajar dipastikan bahawa perkara yang diikuti atau ditiru tersebut adalah perkara yang baik dan berfaedah kepada diri dan berupaya meningkatkan prestasi kerja. Sebaliknya, perkara yang kurang elok dan tidak membina perlu diketepikan lebih-lebih lagi jika nilainya bertentangan dengan budaya dan norma dalam pengurusan pekerjaan. Perkara ini boleh dielakkan sekiranya kedua-dua belah pihak bijak 'meletakkan diri' di posisi yang tepat mengikut keperluan di persekitaran pekerjaan.
Nilai Kepimpinan
Realitinya, dalam usaha mengelakkan 'tabiat buruk' menjadi ikutan, seorang pemimpin perlu terlebih dahulu berkebolehan menetapkan nilai teladan selain nilai kepimpinan sediada supaya mampu mendekati pekerja untuk mencontohinya. Menganggap diri dan pekerja sebagai satu 'kesatuan' yang sama memerlukan dan saling kebergantungan umpama 'aur dengan tebing' manakala dalam 'keadaan tertentu' pemimpin perlu meletakkan status mereka di tepi atau untuk 'sementara waktu' mentransisikan diri mereka 'berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah' dengan pekerja bawahan. Hakikatnya, status tidak akan 'luak' malah tambah 'berkat' sekiranya wujud 'jiwa' keikhlasan melalui sifat kerendahan diri seseorang. Selain itu, pemimpin juga perlu meletakkan dirinya dalam situasi susah, senang, suka atau duka bersama-sama pekerja mereka sebagaimana kata pepatah 'cubit peha kiri, peha kanan terasa sakitnya'. Sifat seperti ini akan lebih pantas disenangi, didekati dan seterusnya bakal menjadi pemangkin kepada contoh teladan yang baik.
Jalinan kerjasama dalam organisasi akan lebih mudah apabila ia bermula dari atas dan kemudiannya menjalari ke peringkat bawah. Pemimpin perlu bijak membuka 'ruang' dan menunjukkan 'jalan' kerjasama tersebut di mana tindakan seperti ini berupaya memecahkan tembok pemisah yang sedia mungkin wujud dalam organisasi. Apabila adanya kerjasama yang tuntas, pemimpin perlu berusaha mengelakkan pula amalan 'seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul' atau 'guru kencing berdiri, murid kencing berlari'. Elakkan dari menjadi pemimpin yang mahukan pekerja berusaha keras mencapai sasaran organisasi tetapi pemimpin pula 'culas' dalam memayungi perkara-perkara pokok sehingga menampakkan sikap sebenar dan tanpa disedari mereka telah memberikan contoh yang kurang baik di persekitarannya. Seandainya perkara ini disedari dan prinsip ini dipatuhi, hasilnya pemimpin akan lebih dihargai, disegani dan menjadi ikon oleh semua golongan pekerja. Kesan yang baik akan membawa kepada kelancaran penugasan dan seterusnya memberi impak terbaik sepertimana yang dimahukan.
Nilai Pekerja
Dalam mencapai 'teladan' yang diinginkan, golongan pekerja pula perlu memiliki nilai tersendiri. Nilai tersebut adalah menjurus kepada kebolehan dalam mendefinisikan sesuatu situasi yang terhidang di hadapan mereka. Tidak mudah terpengaruh dengan apa yang mereka lihat tetapi sebaliknya menggunakan kewarasan akal fikir untuk membuat tafsiran dan penilaian. Meresapi teladan yang baik dan menjauhi teladan yang tidak baik perlu dijadikan asas dalam meningkatkan prestasi pekerjaan seperti kata hikmah yang sinonem di kalangan masyarakat 'yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan'. Perkara yang baik wajar dicontohi dan dipraktikkan supaya ia menjadi amalan segar yang berkekalan. Namun lebih dari itu, seusai membuat penilaian pekerja perlu menumpahkan taat setia kepada pemimpin dan organisasi lebih-lebih lagi dengan berpandukan kepada result yang diperolehi.
Diduksi
Pekerja adalah aset yang sangat berharga bagi sesebuah negara yang bercita-cita menjadi negara yang serba maju seperti Malaysia. Namun untuk merealisasikan agenda tersebut, kekuatan aset yang dimaksudkan perlu digembeling dengan sistem nilai yang ampuh supaya agenda tersebut dapat dicapai sepenuhnya. Salah satunya adalah melalui kepimpinan yang bukan sahaja berkapasiti tinggi tetapi juga boleh menjadi contoh yang baik kepada pekerja bawahan yang menjadi penentu kepada pencapaian matlamat organisasi. Citra seorang pemimpin akan mencorakkan pekerjanya. Bagi menyerlahkan citra tersebut pemimpin seharusnya terlebih dahulu boleh didekati supaya proses menyampaikan teladan menjadi mudah dan bakal memberikan impak yang besar kepada aspek penugasan. Kesinambungan dari perkara ini akan meningkatkan keyakinan "i follow you" dalam slogan 'Kepimpinan Melalui Teladan' khususnya dalam menyemarakkan proses berorganisasi. Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor
Comments
Post a Comment