Lagu DOA sangat sinonem di kalangan warga generasi retro Malaysia di era tahun 80an. Lagu bermotifkan ketuhanan dengan ungkapan penuh puitis diaprisiasi dari puisi penyajak ulung Indonesia Chairil Anwar (1922) dan kemudiannya dilantunkan oleh penyanyi dan komposer terkenal dari Malaysia Allahyarham Zubir Ali.
Senikatanya digarap dengan ringkas tetapi membawa pengertian yang sangat padat dan mendalam. Berketepatan bagi mereka yang masih tercari-cari pengertian hidup yang sebenar dan peri penting mengingati Sang Pencipta dalam usaha mengubah kehidupan yang lebih baik. Berikut merupakan rangkap-rangkap indah lagu Doa:
Tuhanku
Dalam termangu
Ku sebut namaMu
Biar susah sungguh
Mengingati Kau
Penuh seluruh
Tuhanku cahayaMu
Panas suci
Bagai kerdip lilin
Di kelam sunyi
Tuhanku
Aku hilang bentuk
Kembara di negeri asing
Tuhanku
PintuMu ku ketuk
Aku tak bisa berpaling
Melalui bait-bait kata lagu ini, dapatlah dimanifestasikan bahawa betapa perlu untuk mengingati Sang Pencipta dengan sepenuh hati. Berketepatan dengan judul lagu, pastinya ingatan tersebut diterjemahkan melalui doa terutamanya di kala manusia kehilangan arah dalam melayari kehidupan di dunia ini. Berdoa dengan harapan supaya memperolehi keredaan untuk membawa manusia keluar dari kegelapan dan seterusnya meraih kesejahteraan. Doa perlu dilakukan sepanjang masa ketika hidup tanpa mengira di mana sekalipun kerana 'dialog' dengan Sang Pencipta ini akan terputus apabila berlakunya sebuah kematian.
Dalam bahasa yang mudah, doa adalah permohonan sesuatu kebaikan dari Allah s.w.t. Manusia harus mengutamakan doa dalam kehidupan kerana agama Islam sendiri menganjurkannya melalui firman Allah s.w.t dalam Surah Gafir, ayat 60 yang bermaksud "berdoalah kepadaKu, niscaya akan Aku perkenankan bagimu". Allah s.w.t telah menjanjikan perkenanNya dan sewajarnya kesempatan serta peluang ini digunakan sebaik mungkin oleh manusia dalam memohon apa sahaja kebaikan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.
Tanpa menafikan kebenarannya, doa adalah pemangkin kepada kekuatan umat Islam dalam memastikan kemaslahatan kehidupan di muka bumi ini sebagaimana hadis dari Ali r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda" doa adalah senjata bagi orang-orang mukmin, tiang bagi agama dan nur bagi langit dan bumi" (Hadis Riwayat Hakim). Kebahagian dan kesejahteraan kehidupan manusia pula akan terus dipelihara oleh Allah s.w.t sepertimana sabda Rasulullah s.a.w "mohonlah kepada Allah s.w.t keampunan serta kesejahteraan. Sesungguhnya kurniaan yang terbaik untuk seseorang itu selepas mendapat keyakinan ialah mendapat kesejahteraan hidup" (Riwayat Tirmizi).
Sesungguhnya doa adalah senjata dan sumber kekuatan umat Islam secara keseluruhannya. Ertinya doa bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga digalakkan kepada orang lain samada bagi memohon keberkatan dan kebaikan mahupun menyelamatkan mereka dari mara bahaya. Manafaatnya, kedua-dua pihak berpeluang memperolehi shafaat dan kebaikan seperti dijelaskan melalui hadis daripada Abi Dardaa r.a, Rasulullah s.a.w bersabda "Tidak ada seorang muslim pun yang mendoakan kebaikan bagi saudaranya (sesama muslim) yang berjauhan (tanpa pengetahuannya), melainkan malaikat akan mendoakannya pula"
Melihat kepada besarnya peranan doa dalam kehidupan maka sewajarnya ia dilaksanakan sepanjang masa. Doa akan mendekatkan manusia kepada Allah s.w.t dan menandakan kerdilnya mereka di sisi Sang Pencipta. Doa adalah senjata dan doa juga adalah perisai kepada orang mukmin. Sesungguhnya satu kerugian bagi mereka yang terkhilaf menormalisasikan peluang ini. Justeru, berdoalah tanpa rasa jemu selagi hidup dikandung badan dan jika sudah "tak bisa berpaling" lagi seperti bait akhir lagu DOA. Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor
Comments
Post a Comment