Skip to main content

'JAHILIAH MODEN' DAN GENERASI PEWARIS


Pembawa Keberkatan

Prolog - Sifat Jahiliah

Masyarakat jahiliah wujud lebih kurang 1500 tahun dahulu iaitu sebelum kedatangan Islam dan mereka amat sinonim dengan nilai-nilai kehidupan yang bertentangan dengan fitrah manusia dan tidak selari dengan ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Umumnya sifat pertentangan tersebut terdapat dalam amalan hidup dan kepercayaan mereka yang terarah kepada tidak berakhlak, tidak berilmu, tidak beradab dan tidak bertamadun. Selari dengan sifat-sifat tersebut telah membawa mereka kepada kehidupan yang mencintai dunia melebihi akhirat, suka melakukan kemungkaran, kemusyrikan dan kemaksiatan.

Gambaran Masyarakat Jahiliah
(Gambar: soscili.my)


Selepas 1500 tahun, istilah jahiliah muncul kembali dalam kehidupan manusia tetapi dengan istilah yang lebih terkini iaitu 'jahiliah moden'. Tanda pengenalan ini sering dimomokkan dalam masyarakat kita hari ini bagi menggambarkan sifat-sifat jahiliah di zaman silam yang seolah-olah telah dan masih meresapi amalan dan cara hidup masyarakat hari ini. Dengan kata lain, masyarakat kini hidup dalam era kemajuan dan teknologi yang serba sofestikated tetapi cara hidup dan tahap pemikiran masih lagi di takuk lama. Tahap kompleksitinya bukan melingkari 30 atau 50 tahun sebelumnya malah menjalari 1500 tahun kebelakangan iaitu di zaman sebelum munculnya syiar Islam.

Dimensi

Fenomena jahiliah dalam masyarakat moden bertapak di pelbagai dimensi kehidupan terutamanya perlakuan atau perbuatan yang jelas menampakkan tahap kejahilan tersebut. Banyak kupasan dan ulasan dari pelbagai sudut berkaitan perkara ini di dalam hasil-hasil penulisan ilmiah mahupun di media-media sosial. Namun, seperkara yang agak menarik untuk di ketengahkan adalah perkaitan di antara jahiliah moden dengan kehidupan kanak-kanak yang dimaknakan sebagai budak lelaki atau pe­rempuan yang masih kecil (biasanya belum berumur lebih daripada 7 atau 8 tahun). Perkaitan ini diberi fokus memandangkan kes-kes penganiayaan dalam berbagai bentuk terhadap kanak-kanak semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Masalah berkenaan dirasai hangat apabila muncul beberapa kes terbaru penganiayaan kanak-kanak seperti pembuangan bayi, penderaan (samada fizikal, emosi atau seksual) dan pengabaian kanak-kanak secara berterusan dan semakin membimbangkan. Melihat kepada perkembangan semasa, masih belum ada symptoms yang mampu dilihat sebagai wadah untuk menyelesaikan masalah ini secara konkrit.

Kenapa perkara ini dikaitkan dengan jahiliah moden? Jawapannya kerana sifat masyarakat jahiliah dahulu sangat mendiskriminasi kanak-kanak khususnya perempuan sehinggakan anak perempuan akan dibunuh hidup-hidup dan sebaliknya anak-anak lelaki akan diberi penghormatan. Situasi sama berpanjangan sehingga ke zaman ini apabila terdapat segelintir dari masyarakat sanggup membuang bayi yang baru lahir dan mendatangkan kekerasan kepada kanak-kanak sehingga membawa kecederaan dan kematian. Tidak seperti masyarakat jahiliah yang memfokuskan hanya kepada kanak-kanak perempuan, masyarakat kini tampak lebih kronik sifatnya apabila melibatkan kedua-dua jantina iaitu lelaki dan perempuan. Senario yang berlaku bukan sahaja nyata bertentangan dengan undang-undang dan norma masyarakat tetapi juga amat jelas tidak diizinkan secara total dari sudut hukum Allah s.w.t. Ini kerana anak adalah anugerahNya yang merupakan perhiasan, kebanggaan dan penyejuk hati setiap manusia yang hidup berpasangan sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah al-Furqan, ayat 74 yang bermaksud: "dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyenang hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa". 

Pewaris

Dalam hal ini, Islam sangat memuliakan dan mengasihi kanak-kanak. Peranan mereka tidak kurang penting sebagai 'pewaris' yang akan membawa, memelihara dan menentukan hala tuju cahaya Islam pada masa depan. Jika tiada generasi muda manakan ada golongan tua yang akan diamanahkan sebagai khalifah bagi memakmurkan muka bumi ini. Selain itu, fungsi mereka cukup besar dalam memperteguhkan sistem atau pengurusan keagamaan, kenegaraan dan kemasyarakatan khususnya dengan nilai-nilai keislaman yang jitu dan komprehensif. Samada kanak-kanak lelaki mahupun perempuan, peranan mereka sama penting dalam konteks beragama sebagaimana pentingnya peranan Baginda Rasulullah s.a.w dan Saidinatina Aisyah r.a menyebarluaskan amalan dan akhlak Islam kepada seluruh umat manusia.

Keindahan dunia mereka....
(Gambar Hiasan)

Sifat kemuliaan Rasulullah s.a.w terhadap kanak-kanak terpancar sepertimana hadis daripada Anas r.a, suatu ketika dia berjalan melalui kumpulan kanak-kanak lalu beliau memberi salam kepada mereka dan berkata: "Bahawa Rasulullah s.a.w sentiasa lakukan seperti yang aku lakukan ini (iaitu memberi salam kepada kanak-kanak)" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Manakala pada satu ketika lain, semasa Ibnu ‘Abbas r.a masih kanak-kanak, beliau bercerita: "Rasulullah bangun bersolat malam aku turut serta bersamanya. Aku berdiri di sebelah kiri baginda. Baginda memegang kepalaku lalu menjadikan aku berada di sebelah kanan baginda” (Riwayat al-Bukhari). Islam juga menganjurkan peri pentingnya peranan anak-anak kepada kedua ibubapa mereka sepertimana sabda Rasulullah s.a.w: "apabila seseorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara, iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya dan anak soleh yang mendoakan untuknya" (Riwayat Muslim). Rasionalnya, manusia perlu memuliakan anak-anak yang kemudiannya anak-anak tersebut akan memberi manfaat kepada kedua-dua ibubapa mereka khususnya di alam baqa apatah lagi di alam akhirat.

Penderaan fizikal, emosi, seksual...
(Gambar Hiasan)

Mana mungkin manusia sebagai makhluk yang lemah di sisi Allah s.w.t boleh mengingkari ketetapan Al-Quran dan As-Sunnah dengan sewenang-wenangnya bersikap jahil melakukan perbuatan di luar batas terhadap sesama makhluk khususnya kanak-kanak yang dianggap sebagai lemah fizikal dan spritualnya. Melainkan mereka mewarisi sifat-sifat jahiliah yang meletakkan nafsu dan kezaliman sebagai teras dalam setiap perbuatan dalam kehidupan. Melakukan perbuatan yang dikategorikan sebagai 'jahil' dan tidak selaras dengan anjuran agama pastinya akan mendatangkan dosa serta natijahnya pembalasan yang setimpal di dunia mahupun di akhirat. Sesungguhnya Allah s.w.t ingin melindungi manusia dari azab tersebut seperti dijelaskan melalui firmanNya dalam Surah Al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud: "dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan (bertingkah laku) seperti orang-orang jahiliah dahulu, dan laksanakan solat, tunaikan zakat dan taatilah Allah dan Rasul-Nya. Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, hai ahlulbait dan membersihkan kamu sebersih bersihnya".

Epilog

Maka dengan itu, sempena Hari Kanak-Kanak Tahun 2023 yang baru berlalu, mari bersama menteladani prinsip Islam memuliakan kanak-kanak sebagaimana yang digambarkan melalui Al-Quran dan As-Sunnah di mana praktisnya telah ditunjukkan melalui perlakuan dan tuturkata Baginda Rasulullah s.a.w tersebut. Kanak-kanak merupakan insan-insan terpilih yang dilahirkan untuk bersama-sama mewarnai dan mevariasikan dunia ciptaan yang maha Esa sebagaimana makhluk lain. Jangan diizinkan sikap jahiliah moden melingkari hati-hati rapuh manusia dan seterusnya membatasi seruan ini. Semoga wujud masyarakat yang lebih baik jiwanya bersama generasi pewaris yang sempurna rohani dan jasmaninya untuk kecemerlangan umat duniawi dan ukhrawi. Wassalam.


Author : Hasron @ Kajang, Selangor

Comments