Permasalahan melibatkan spritual dalam masyarakat adalah sesuatu yang sukar untuk menemui titik penghujungnya. Terbit dari dalam diri manusia, sulit untuk dimaknakan apatah lagi untuk menanganinya. Bermula dengan pemikiran, lalu membawa kepada tingkah laku dan tuturkata di luar dari lingkungan normal yang boleh menjejaskan diri, masyarakat dan umat manusia secara keseluruhannya. Begitulah digambarkan kepada 'moral' atau 'akhlak' manusia di zaman kekinian. Semakin kompleks, namun hanya melalui kemantapan moral dan akhlak sahaja boleh memandu manusia kepada jalan kebaikan. Persoalannya, mana lebih baik sebagai ikutan demi memastikan keberadaan manusia yang benar-benar cemerlang di dunia dan akhirat.
Pengertian Moral Dan Akhlak
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, moral dapat diertikan sebagai ajaran atau pegangan tentang buruk baik sesuatu perbuatan (kelakuan, kewajipan). Ia juga bermaksud sikap atau cara berkelakuan yang berasaskan atau yang diukur dari segi baik buruk sesuatu akhlak. Bagi memperjelaskan lagi pengertiannya, moral dapat dilihat dalam dua aspek iaitu dari aspek bahasa dan istilah. Pengertian moral dari segi bahasa berasal dari Bahasa Latin iaitu 'Mores' yang merupakan kata jamak dari perkataan 'Mos' bermaksud adat kebiasaan (H. Rosjidi : 1968, 5). Dari segi istilah pula moral bermakna kualiti perbuatan manusia yang dengannya dapat dikatakan samada perbuatan itu salah atau benar, baik atau buruk (Poespoprodjo : 1988, 102).
Selepas memahami serba sedikit mengenai moral, elok dikaji pula makna dan pengertian akhlak. Akhlak menurut Kamus Dewan edisi sama membawa makna budi pekerti, kelakuan atau tabiat manusia. Dalam pengertian yang lebih luas akhlak dari sudut bahasa diambil dari perkataan Arab iaitu kata jamak dari perkataan 'khuluk' yang bermaksud adab perlakuan manusia. Dari sudut istilah ia boleh diertikan sebagai suatu hal keadaan yang tetap dalam jiwa manusia yang dapat mengeluarkan perbuatan samada baik atau buruk tanpa perlu kepada pemikiran dan pengamatan (Mohd Sulaiman : 1992, 19).
Imam Al-Ghazali mendefinisikan akhlak sebagai suatu keadaan yang tetap dalam jiwa manusia dan dapat melahirkan perlakuan dengan senang serta mudah tanpa berhajat kepada pemikiran dan pengamatan terlebih dahulu (Al-Usman : 1963, 356). Melihat kepada pengertian moral dan akhlak yang diutarakan daripada beberapa sumber, jelas menampakkan hakikat perbezaan kedua-duanya. Perbezaannya banyak berkisar dari sudut nilai kesucian, sumber, tujuan, sifat sejagat dan fitrah manusia yang mendominasinya. Perbezaan ini perlu diteliti bagi menentukan mana yang lebih baik demi menjadikan elemen yang ada di dalamnya sebagai panduan kehidupan.
Perbandingan
Dari sudut nilai kesucian, moral dilihat sebagai lahir daripada pandangan sesebuah masyarakat atau berlandaskan kepada pemikiran manusia dan ia tidak terikat kepada sesuatu nilai. Manakala akhlak Islam pula lahir daripada keyakinan dan keupayaan kepada Allah yang akan membawa ketaatan kepadaNya. Melihat kepada perbezaan ini nyatalah bahawa akhlak adalah sesuatu yang luhur dan suci kepada manusia. Moral adalah pandangan masyarakat atau pemikiran manusia yang berlandaskan logik akal tanpa mempunyai nilai yang tetap dan tidak semestinya selari dengan fitrah manusia. Keadaan ini berlainan dengan akhlak Islam yang bersumberkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah dan ia selari dengan fitrah manusia.
Selain itu, moral juga dilihat sebagai mempunyai tujuan yang terhad berdasarkan pemikiran dan kehendak seseorang yang sentiasa berubah. Ia hanya untuk mencapai tujuan tertentu bergantung kepada keadaan semasa dan prinsip ini berbeza dengan tujuan mengamalkan akhlak Islam yang mempunyai matlamat kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Falsafah moral yang diamalkan oleh masyarakat hanya sesuai dan diterima oleh masyarakat itu sahaja. Situasi ini berlainan dengan sifat akhlak Islam yang berbentuk sejagat dan universal. Boleh diterima pakai oleh sesiapa saja tanpa mengira warna kulit, bangsa dan asal keturunan. Tambahan pula akhlak Islam adalah sesuatu yang selari dengan fitrah manusia disebarang masa dan walau di manapun manusia berada. Hakikatnya Islam sendiri menganjurkan umatnya berperilaku dan bertuturkata berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah melalui sabda Rasulullah s.a.w, "Tidak ada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seseorang mukmin pada hari kiamat selain akhlaknya yang baik. Allah sangat membenci orang yang kata-katanya kasar dan kotor". (HR. Tirmidzi). Melihat kepada perbandingan ini, maka jelaslah bahawa akhlak adalah pilihan terbaik sebagai "the way of live".
Agen Akhlak
Pendidikan adalah agen penting membentuk ketinggian dan kematangan akhlak manusia dalam menjadi sebahagian dari perencana kemaslahatan hidup di dunia. Pastinya ia bertitik mula dari pengangan tuntas terhadap Al-Quran dan As-Sunnah. Pendidikan yang dimaksudkan adalah merangkumi pendidikan formal dan pendidikan tidak formal.
Sistem pendidikan formal yang dibentuk haruslah syumul dengan merentasi persoalan bangsa dan agama memandangkan permasalahan yang dihadapi oleh mereka juga tidak khusus kepada bangsa atau agama tertentu sahaja. Sikap jumud dan konsevertif tidak harus menjadi penghalang untuk mempelajari aliran yang bertentangan dengan aliran sedia ada. Apa yang penting adalah aliran tersebut boleh membawa kebaikan kepada semua manusia dan bersesuaian dengan cara hidup bagi memenuhi aspirasi agama dan masyarakat.
Pendidikan tidak formal pula dibentuk melalui institusi kekeluargaan dan penilaian terhadap apa yang berlaku di persekitaran. Ibubapa seharusnya berperanan dalam menerapkan nilai akhlak Islam kepada anak-anak sedari kecil sebagaimana kata pepatah "melentur buluh biarlah dari rebungnya". Pendedahan secara istiqomah yang disertakan dengan amalan secara berterusan akan membentuk 'jiwa' akhlak Islam dalam diri anak-anak sehingga mereka dewasa. Momentum ini secara tidak langsung akan memberi kekuatan untuk membezakan sesuatu yang baik dan buruk di luar institusi tersebut dan seterusnya menghindari dari terjebak kepada anasir negatif di persekitaran.
Akhlak Terbaik
Dalam Islam, akhlak terbaik lagi terpuji adalah akhlak Rasulullah s.a.w. Sosok mulia yang perlu menjadi idola, ikon, ikutan, tauladan dan penanda aras dalam setiap aspek elemen kehidupan manusia. Hakikat ini merujuk kepada kisah yang diriwayatkan bahawa Sa’d bin Hisham bin Amir telah datang ke Madinah dan bertemu dengan Saidatina Aisyah dan bertanya:
يَا أُمَّ المُؤمِنِينَ ! أَنبئِينِي عَن خُلُقِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ ؟
“Wahai Ummul Mukminin, ceritakan kami tentang akhlak Rasulullah ﷺ.”
2. Lalu Aisyah menjawab dan bertanya kepadanya: “Apakah engkau tidak membaca al-Quran?” Sa’d menjawab: Bahkan aku membacanya. Lalu Aisyah berkata:
قَالَت : فَإِنَّ خُلُقَ نَبِيِّ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ كَانَ القُرآنَ .
“Sesungguhnya akhlak Nabi ﷺitu adalah al-Quran.” (HR Muslim). Wassalam.
Akhlak terbaik adalah akhlak Rasulullah s.a.w
Author : Hasron @ Kajang, Selangor
Comments
Post a Comment