Skip to main content

SIKAP JADI PENENTU KESELAMATAN JALAN RAYA

"Musim perayaan akan kembali lagi dan pastinya jalan raya di Malaysia akan mengalami kesesakan luar biasa. Bukan sahaja dipenuhi dengan kenderaan tetapi juga manusia yang mempunyai dimensi spritual yang pelbagai. Ketidaktentuan spritual tersebut adakalanya boleh mengundang bencana kemalangan apabila tidak dikawal dengan sebaik mungkin sehingga boleh mendatangkan kesan kepada nyawa samada diri sendiri, keluarga dan orang lain. Dianggarkan sebanyak 5,671 kes kemalangan maut telah berlaku pada tahun 2022 dengan melibatkan sebanyak 6,080 kematian. Jumlah kematian tersebut telah meningkat sebanyak 1,541 orang berbanding tahun 2021 (Laporan Tahunan PDRM 2022). Dari banyak aspek, persoalan sikap manusia telah muncul sebagai foktor utama yang menjadi punca kepada permasalahan ini. Kenyataan ini selari dengan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang menyatakan lebih 80 peratus faktor utama kemalangan jalan raya melibatkan kematian di negara ini adalah berpunca daripada SIKAP manusia".

(Kemaskini Artikel Hasron Nazri Hashim, Surat-Harian Pembaca, 22 Januari 2001)

Setiap kali tiba musim perayaan yang membabitkan pelbagai kaum, masyarakat Malaysia sering didedahkan dengan berita kemalangan jalan raya yang meningkat saban tahun. Rutin kepada peningkatan statistik kemalangan jalan raya ini akan diikuti dengan peningkatan kadar kematian, kecederaan dan kerugian harta benda yang bukan sedikit jumlahnya. Kesannya pula, sudah semestinya kepada diri, keluarga dan negara samada berbentuk kehilangan nyawa ataupun kemusnahan material.

Sumber : bharian.com.my

Jika diteliti, pelbagai faktor telah dikenal pasti sebagai punca yang menyebabkan kemalangan samada secara langsung atau tidak yang dicetuskan oleh pengguna jalan raya sendiri dan tidak kurang juga melibatkan pengurusan sistem jalan raya di Malaysia. Antara yang terpenting ialah faktor kemanusiaan yang membabitkan sikap sebagai elemen utama. Sikap sangat sinonem dengan tingkah laku, perasaan dan emosi serta boleh berubah mengikut keadaan. Selari dengan itu, persoalan sikap yang mempunyai hubung kait dengan kemalangan jalan raya boleh meliputi hal-hal yang berkaitan kepekaan dan kepatuhan kepada peraturan, kesabaran, bertolak ansur dan beretika. Tanpa disedari unsur ini juga sebenarnya amat diperlukan dalam membentuk hubungan silaturrahim sesama manusia.

Menyedari hakikat fenomena kemalangan jalan raya sebagai tidak asing lagi terutamanya pada musim perayaan, adalah wajar masyarakat yang juga pengguna jalan raya berusaha, berikhtiar dan mencari solusi bagi mengelakkannya daripada berlaku. Antaranya melalui peningkatan rasa toleransi, hormat menghormati dan berbudi bahasa ketika memandu. Tambahan pula, sikap seperti ini amat dituntut sebagai sebahagian daripada unsur kemanusiaan dan keagamaan. Kegagalan mendidik sikap yang positif ketika memandu akan menyebabkan emosi dan fizikal seseorang itu tidak dapat dikawal sehingga boleh mendatangkan musibah kepada orang lain.

Satu kebenaran yang tidak dapat disanggah bahawa jalan raya bukan milik individu, tetapi ia kepunyaan semua yang saling memerlukan persefahaman yang jitu dan bersepadu. Keselamatan tidak akan terjamin jika satu pihak sahaja yang mengamalkan sikap berhati-hati dan hormat menghormati. Sebarang kesilapan dan ketidakmampuan mengawal diri ketika di jalan raya akan mendatangkan tragedi kepada diri dan keluarga, meningkatkan statistik kemalangan dan seterusnya menyebabkan kerugian kepada nyawa dan harta benda. Oleh yang demikian, bagi mengelakkan situasi seperti ini, semua pihak khususnya pengguna jalan raya perlu menyemai nilai murni sebagaimana dituntut ketika memandu. 

Semoga hikmah yang diperolehi dari kejadian-kejadian kemalangan yang berlaku akan mewujudkan nilai keinsafan yang tinggi dan seterusnya mendatangkan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Pergunakan sepenuhnya amalan mengeratkan huhungan silaturrahim bersandarkan kepada sikap yang positif pada musim perayaan dan elakkan bencana akibat dari penilaian dari pojok yang sempit dan terkongkong.


Author : Hasron @ Kajang, Selangor

Comments