"Isu keselamatan bukanlah sesuatu yang muncul secara bermusim tetapi adalah sesuatu yang bersifat berterusan. Selagi terdapatnya elemen sosiologi dan antropologi dalam sistem kehidupan dan bernegara maka 'demand' nya adalah sangat tinggi. Situasi ini akan membawa kepada wujudnya sistem perundangan sebagai agen kawal selia dan penguatkuasa sebagai agen melaksanakan apa yang terkandung dalam sistem perundangan tersebut. Namun, peranan masyarakat juga tidak kurang pentingnya terutama sebagai pencetus kepada keadaan yang tidak selamat atau tidak sensitif terhadap faktor yang menjadi penyumbang kepada keadaan yang tidak selamat tersebut. Justeru, peranan semua pihak sangat penting dalam menentukan wujudnya keselamatan dan keamanan negara termasuk semua entiti negara tersebut"
(Kemaskini Artikel Asal Hasron Nazri Hashim, Surat-Harian Pembaca, Berita Harian, 22 Mac 2008)
Keselamatan adalah satu daripada agenda penting dalam kehidupan manusia sejagat. Isu keselamatan merangkumi aspek kehidupan manusia seperti keselamatan diri, keluarga dan harta benda selain agama, masyarakat dan negara dalam konteks yang lebih luas. Keadaan ini adalah berketepatan dengan pengertian keselamatan itu sendiri yang diambil daripada perkataan selamat yang membawa maksud 'terpelihara atau terhindar daripada bencana, terlepas daripada bahaya'. Ia juga membawa pengertian 'aman, sentosa, sejahtera dan tidak mendapat apa-apa gangguan.
"keselamatan adalah 'harta' yang menyumbang kepada kehidupan lebih baik"
Dewasa ini pelbagai peringkat masyarakat mula menyedari betapa pentingnya keselamatan dalam kehidupan mereka walaupun berbeza tahap ekonomi, ideologi politik dan amalan budaya. Masyarakat mula menuntut persekitaran hidup yang selamat dan ini disuarakan dalam pelbagai dialog, forum, seminar dan perjumpaan yang dibuat dengan pihak berkaitan termasuk polis. Keadaan ini menjadikan fenomena persekitaran yang lebih selamat adalah satu perkara yang wajar diberi perhatian.
"muafakat antara penguatkuasa dan masyarakat agenda menjamin keselamatan bersama"
Melihat kepada perkembangan terkini di dalam masyarakat, tidak hairan jika kerajaan khususnya dalam konteks Malaysia menjadikannya sebagai agenda utama dalam merencanakan pembangunan negara. Namun aspek keselamatan tidak harus dilihat sebagai tanggungjawab kerajaan, khususnya polis atau agensi penguatkuasa lain semata-mata tetapi perlu menjadi sebahagian daripada amalan hidup masyarakat itu sendiri. Tanpa kerjasama padu daripada semua entiti masyarakat pastinya segala usaha mewujudkan persekitaran yang selamat dan aman tidak akan menjadi kenyataan.
Suasana tidak aman boleh berpunca daripada pelbagai sudut meliputi faktor dalaman mahupun faktor luaran, samada ia berlaku secara terang-terangan ataupun tanpa disedari. Semua perlakuan yang mempunyai nilai negatif di sisi agama dan norma masyarakat juga boleh dianggap bakal mengundang bencana keselamatan, apatah lagi jika sesuatu itu nyata bertentangan dengan prinsip perundangan negara.
Dari segi lokasi pula, aspek keselamatan diperlukan tanpa mengira tempat. Ia merangkumi keselamatan di dalam dan di luar rumah serta di mana-mana pun di setiap penjuru bumi ini. Melalui percakapan misalnya, ia boleh membawa kepada suasana tidak aman terutama apabila ia mengguris perasaan atau menimbulkan provokasi kepada pihak tertentu. Begitu juga sebaliknya apabila seseorang itu gagal mengawal perasaan amarah lalu bertindak mencetuskan keadaan yang boleh dikategorikan sebagai mengganggu ketenteraman dan keselamatan.
"keselamatan seperti penyakit, mencegah lebih baik dari mengubati"
Selain punca yang sehalus itu, banyak lagi faktor yang boleh mengganggu gugat keselamatan yang diwujudkan oleh individu dan masyarakat atau yang diwujudkan oleh persekitaran seperti sistem nilai, pengaruh pembangunan dan anasir negatif yang berada di dalam mahupun di luar negara. Semua ini jika tidak ditangani dengan bijak boleh mencetuskan rasa kurang selesa dan tidak tenteram dalam kehidupan seharian masyarakat.
"empat peranan masyarakat bagi memastikan keamanan dan keselamatan terus terpelihara adalah
1. mengelakkan dari menjadi pencetus,
2. tidak membuka dan memberi ruang dan peluang 3. sensitif dan peka kepada situasi penyumbang dan 4. bekerjasama dengan pihak penguatkuasa undang-undang"
Dalam melihat kepada pencetus kepada ketidakamanan itu, satu perkara yang dilihat sebagai pemangkin untuk mempercepatkan keadaan berkenaan ialah faktor kejiwaan yang gagal dipergunakan dengan baik. Elemen kejiwaan meliputi hati, perasaan, akal (pemikiran) dan emosi yang berfungsi untuk menterjemahkan sesuatu sebelum menjelmakan sesuatu itu sebagai tindakan fizikal (perlakuan) samada ia bersifat baik atau buruk.
"warganegara yang bertanggungjawab akan melihat keselamatan dalam konteks diri sendiri dan orang lain"
Masyarakat yang mampu mengawal diri daripada melakukan perkara di atas dilihat sebagai satu bentuk peranan dan tanggungjawab terbesar mereka. Mewujudkan keselamatan dan keamanan seharusnya direalisasikan dengan hubungan kerjasama yang baik di kalangan masyarakat dan pihak berkuasa. Sikap semberono masyarakat dilihat tidak akan berjaya mencapai matlamat mewujudkan keamanan yang berkekalan. Amalan yang negatif seperti tidak sensitif, kurang peka dan mementingkan diri terutama di dalam hal-hal membabitkan orang lain masih menjadi citra masyarakat. Dalam erti kata lain, masyarakat hanya akan bertindak apabila keselamatan diri terancam tetapi membiarkan sahaja apabila terlihat keselamatan orang lain tergugat.
"keselamatan umpama api, perlu dipadamkan dari kecil kerana ia sangat mudah merebak menjadi besar"
Sifat seperti ini seharusnya dikikis sebaliknya menjadikan tugas mewujud dan mengekalkan keselamatan berkenaan sebagai tanggungjawab bersama semua warganegara bagi menjamin kemakmuran Malaysia yang mantap hari ini, esok dan selama-lamanya. Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor
Comments
Post a Comment