Skip to main content

APRISIASI AKU TANPA CINTA MU

Lirik Aku Tanpa Cinta Mu -


Telah kumungkiri janjiku lagi
Walau seribu kali kuulang sendiri
Aku takkan tempuh lagi

Apakah Kau terima?

Cintaku lagi setelah ku berpaling
Dari pandangan-Mu
Yang kabur kerna jahilnya aku
Oh, mengapa cinta-Mu tak pernah hadir?
Subur dalam jiwaku
Agar ku tetap bahagia, oh
Tanpa cintaku tetaplah Kau di sana
Aku tanpa cinta-Mu
Bagai layang-layang terputus talinya

Telah kumungkiri janjiku lagi
Walau seribu kali kuulang sendiri
Aku takkan tempuh lagi

Apakah Kau terima?

Cintaku lagi setelah ku berpaling
Dari pandangan-Mu
Yang kabur kerna jahilnya aku
Kasih dari-Mu kudambakan
Oh, Tuhanku
Oh, masihkah ada sekelumit belas?
Mengemis kasih-Mu, Tuhan
Untuk ku berpaut dan bersandar
Aku di sini kan tetap terus mencuba
Untuk beroleh cinta-Mu
Walau ranjaunya menusuk pedih

Kiasan

Dari kaca mata pengarang bagi merungkai kiasan tiga persoalan utama yang diketengahkan Mujahid Haji Abdul Wahab dalam lagu bertemakan ketuhanan lantunan Mirwana ft Jay Jay ini iaitu:

Apakah kau terima? Menginduksikan bahawa manusia merupakan makhluk yang tidak sempurna. Sering melakukan kesalahan, ketelanjuran mahupun dosa terutamanya terhadap Allah s.w.t. Tidak mengikut suruhan dan perintahNya dengan meletakkan diri kepada kejahilan, kemungkaran, kemaksiatan dan perkara-perkara lain yang bertentangan dengan fitrah agama. Jalan bagi menebus kesalahan tersebut adalah bertaubat kepadaNya dengan berjanji tidak akan mengulanginya kerana selayaknya hanya kepada Allah s.w.t tempat manusia bergantung harap.

Mengapa cinta-Mu tak pernah hadir? Namun, hakikat yang berlaku walaupun manusia telah bertaubat tetapi masih lagi terjadi kesalahan yang sama. Seolah telah memungkiri janji kepadaNya untuk berubah kepada lebih baik atau di sisi lain seperti merasai taubatnya tidak diterima oleh Allah s.w.t.

Masihkah ada sekelumit belas? Bagaimanapun manusia tidak boleh berputus asa untuk mendapatkan keampunan dari Allah s.w.t atas apa yang dilakukannya. Berbekalkan keinsafan yang total, di penghujung jalannya nanti pasti ada simpati dan seterusnya cahaya keampunan dari Allah s.w.t. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak akan membiarkan umatnya dalam kesempitan kerana Dia Maha Pengampun dan Maha Mengasihani.

Realiti

Manusia merupakan makhluk Allah s.w.t yang dijadikan cukup istimewa apabila dianugerahkan akal untuk membezakan di antara baik dan buruk atau dosa dan pahala. Namun, manusia juga dikurniakan nafsu sebagai instrumen bagi menguji kemampuan mereka dalam membuat pilihan berdasarkan kepada keinginan dan kemahuan diri yang tiada sempadan. Perkembangan hidup bersama arus kecanggihan tanpa batasan pula telah memungkinkan banyak pertentangan bukan sahaja dalam konteks undang-undang dan peraturan dunia malah semestinya terhadap hukum-hukum Allah s.w.t. Ironinya, kekuatan iman dan akal ditagih bagi menghindarkan manusia dari dikuasai nafsu yang mencetuskan pertentangan tersebut dan seterusnya membawa manusia ke jalan yang diredaai.

Manusia makhkluk yang lemah...(kredit pexels.com)

Kebenaran bahawa manusia merupakan makhluk yang lemah disebut dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah s.w.t bermaksud "Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumannya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah" (An-Nisaa’: 28). Kelemahan tersebut wujud dalam diri manusia samada di antara manusia dengan Allah s.w.t mahupun di antara manusia sesama manusia yang sedar atau sebaliknya diterjemahkan dalam pelbagai entiti kehidupan dan institusinya. Justeru, sifat kelemahan yang ada dalam diri manusia adalah lumrah kerana tiada manusia 'biasa' yang sempurna di dunia ini atau there is no perfect human being in this world. Lebih-lebih lagi jika mereka diletakkan di samping Allah s.w.t. Namun demikian, apa yang penting adalah sifat merendah diri, mengakui kekhilafan dan bermuhasabah bagi mewujudkan rasa keinsafan yang jitu untuk tidak mengulangi kesilapan yang berlaku. Jalan terbaik menangani situasi tersebut pastinya adalah melalui 'taubat'.

Anjuran Islam

Islam menganjurkan supaya bertaubat selepas menyedari bahawa kesalahan telah dilakukannya tanpa mengira kecil atau besar malah banyak atau sedikit ia berlaku. Merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat, pengertian taubat dalam bahasa merujuk kepada sesal akan dosa (perbuatan jahat dan lain-lain) dan berazam tidak akan berbuat dosa (jahat) lagi. Manakala dari segi istilah, taubat adalah kembali taat kepada Allah s.w.t dan menyesal dengan bersungguh-sungguh terhadap dosa yang telah dilakukan samada dosa besar mahupun kecil serta memohon keampunan dari Allah. Al-Quran menjelaskan perkara ini melalui firman Allah s.w.t "Dan orang-orang yang melakukan kejahatan kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan beriman, (maka) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani" (Surah Al-A'raaf: 153).

"Jadikan taubat bukan hanya untuk dosa-dosa yang telah kamu lakukan,
tapi juga untuk kewajiban yang belum kamu tunaikan" - Ibn Taymiyyah (kredit pexels.com) 

Manakala dalam ayat yang lain Allah s.w.t berfirman "Dan sesiapa yang bertaubat serta beramal soleh, maka sesungguhnya (dengan itu) ia bertaubat kepada Tuhannya dengan sebenar-benar taubat" (Surah Al-Furqan: 71). Kedua-dua ayat ini menegaskan bahawa bertaubat perlu disertakan dengan keimanan dan amalan baik bagi menjamin ketahanan diri agar tidak mengulangi kesalahan lalu. Bukan hanya sekadar lafaz, taubat perlu dilakukan dengan niat yang tetap, tulus dan segenap hati supaya taubat tersebut bukan sahaja didengari malah diterima oleh Allah s.w.t. Bagi menguatkan lagi kenyataan tersebut, dalam satu hadis Rasulullah s.a.w telah bersabda "Setiap anak Adam melakukan kesalahan. Sebaik-baik orang yang berbuat kesalahan adalah orang yang bertaubat" (Riwayat Ibn Majah).

Kelebihan

Jika manusia mahukan kebaikan maka Allah s.w.t akan tunjuk dan permudahkan jalannya. Malah kesan kebaikannya akan dirasai samada secara langsung atau tidak langsung. Asalkan ada kehendak dan kemahuan untuk menuju ke jalan tersebut dan dilakukan dengan memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan. Bagi mereka yang bertaubat akan diberikan shafaat dari Allah s.w.t seperti memperolehi kasih Allah, menjadi orang yang beruntung, diterima segala amalan dan berpeluang memasuki syurga rahmat. Selain itu, mereka juga akan dianugerahi nikmat apabila 
diganti keburukan dengan kebaikan, mendapat hanya yang baik, memperolehi pahala yang banyak, berkat rezeki dan kekuatan serta mendapat doa malaikat. Natijah taubat, apa sahaja yang dilakukan selepas itu akan mendorong ke arah kebaikan dan seterusnya kebahagiaan dunia akhirat yang ditagih dalam kehidupan manusia. Melihat kepada kelebihan dan balasan baik yang sangat lengkap dan komprehensif tersebut, maka ia akan mencitrakan sebenar-benarnya kejayaan bagi manusia. Perkara tersebut terbukti sebagaimana firman Allah s.w.t "Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya" (Surah Al-Nur: 31).

Panjatkan doa agar taubat diterima...(kredit pexels.com)

Kalimah Akhir

Manusia merupakan makhluk yang lemah dan tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Walau bagaimanapun, manusia diberi peluang untuk membersihkan dosa-dosa yang dilakukan melalui taubat kepada Allah s.w.t dengan mengikut mekanisme yang ditetapkan. Taubat tersebut perlu dilaksanakan dengan penuh keikhlasan bersandarkan niat untuk meninggalkan kesilapan yang telah berlaku dan menyesal serta bertekad untuk tidak mengulanginya. Di samping itu, sandarkan juga doa supaya taubat tersebut diterima oleh Allah s.w.t yang Maha Mendengar.

Taubat merupakan kewajipan manusia kepada Allah s.w.t dan perlu menjadi amalan dalam kehidupan memandangkan kesilapan boleh berlaku tanpa disedari oleh manusia. Paling mudah biasakan ungkapan: 'اَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ' (Aku memohon ampunan kepada Allah yang Maha Agung) di setiap masa dan ketika supaya cinta Allah s.w.t akan sentiasa bersama dalam apa sahaja perlakuan dan tindakan. Wassalam.

Author : Hasron @ Kajang, Selangor

Comments