Skip to main content

BATU DAN API : UNSUR KEHIDUPAN MANUSIA

Salam Keberkatan...

Sifat - 

Batu adalah benda keras yang berasal dari bumi. Dari aspek saintifik, batu merujuk kepada bahan yang terdiri daripada mineral dan dikelaskan mengikut komposisi mineral berdasarkan kandungan mineral, tekstur dan struktur batuan (Wikipedia). Terdapat tiga kumpulan batu yang utama iaitu batuan igneus, batuan enapan dan batuan metamorfosis. Salah satu dari batu yang tergolong dalam kategori batuan enapan adalah batu galian kuarza yang banyak terdapat di kerak bumi. Batu kuarza mempunyai sifat piezoelektrik yang kuat iaitu percikan api akan dihasilkan apabila dipukul keras atau digosok. Ini adalah salah satu kaedah membuat api dengan menggunakan sumber semulajadi. Biasa digunakan oleh masyarakat primitif, tradisional dan konsevatif dalam menghasilkan api. Antara jenis batu lain yang boleh diklasifikasikan sebagai bahan api atau boleh digunakan sebagai sumber menghasilkan api adalah seperti batu gambut, bitumen, arang batu lignit dan antrasit.

Batu boleh menterjemahkan api (kredit pixabay.com)

Dewasa ini berpaksikan teknologi, penghasilan api telah ditranformasikan dengan lebih mudah dan selamat. Bukan sekadar batu malah juga bersumberkan kepada penggunaan unsur alam yang lain seperti air, angin dan solar. Segala-galanya berada di hujung jari. Api yang dihasilkan sangat berguna dalam kehidupan manusia. Menerangi dari kegelapan, melestari gerak kerja dalam pelbagai sudut kehidupan dan sumber utama dalam menjana sistem peradaban manusia. Namun demikian, api juga merupakan unsur yang menggambarkan kebinasaan, kerosakan, kehancuran, pembalasan dan sebagainya. Ini kerana, api ketika kecil menjadi kawan, ketika besar menjadi lawan. Manusia perlu peka dengan sifat api kerana boleh merebak dengan pantas jika tidak dikawal dengan baik ketika ia masih kecil.

Sangat agresif jika tidak dibendung (kredit pexels.com)

Kontradiksi

Walaupun dunia semakin maju samada dari aspek metarial mahupun pemikiran, penggunaan batu untuk menghasilkan api masih digunapakai dan singnifikan sehingga kini. Namun bukan secara nyata tetapi sebagai kiasan untuk menyatakan sesuatu keadaan yang sering berlaku dalam kehidupan manusia. Sangat berpengaruh dan mampu mempengaruhi hati dan jiwa serta condong ke arah gelora nafsu manusia. Muncul apabila terzahirnya sifat-sifat buruk dalam diri seperti hasad dengki, iri hati, dendam, cemburu dan sebagainya. Bersifat kontra dengan manfaat api dalam kehidupan bila mana tidak berperanan untuk menerangi tetapi mampu membawa kepada kegelapan. Uniknya sekarang, batu tersebut bukan merujuk kepada objek kaku tetapi merujuk kepada sesuatu yang bernyawa iaitu manusia yang merupakan makhluk istimewa yakni mempunyai akal fikiran. Apabila dua atau lebih manusia diketemu dan dilaga-lagakan ia akan menghasilkan api dan fenomena ini sangat popular di kalangan masyarakat dengan istilah Batu Api. Justifikasi manusia seperti ini boleh disaksikan melalui elemen yang berada pada diri mereka meliputi interpersonal communication, inter-relationship, social interaction, gesture dan seumpamanya.

Definisi

Batu api mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat mentaktifkannya sebagai batu pencetus api (pada pantik api dll) dan kiasan kepada penghasut. Manakala batu api dalam konteks simpulan bahasa merujuk kepada orang yang suka menghasut. Dari pengertian tersebut dapatlah dibuat telahan awal bahawa batu api adalah menggambarkan sifat yang ada dalam diri manusia. Lebih cenderung kepada perlakuan yang negatif dan bertentangan dengan norma kehidupan biasa masyarakat. Perkara ini merujuk kepada pengertian menghasut itu sendiri yang bermaksud menjadikan orang sakit hati atau marah kepada orang lain (Kamus Dewan Edisi Keempat). Dalam konteks yang berkaitan, amalan fitnah juga boleh diselarikan dengan perbuatan menghasut yang membawa maksud tuduhan (khabar, kisah, dll) yang diada-adakan (dibuat-buat) untuk memburukkan atau membencanakan seseorang dll (Kamus Dewan Edisi Keempat). Walaupun dari sudut bahasa diterjemah secara berbeza tetapi rasional kepada matlamat dan kesannya adalah sama dan berkaitan.

Pandangan Islam

Batu api dari pengertian Islam berdasarkan pendapat ulama adalah merujuk kepada sebaran sesuatu bertujuan merosakkan hubungan orang lain. Sementara di sisi lain, perkataan 'mengadu domba' digunakan bagi menggambarkan seseorang yang melakukan perbuatan memperlagakan seseorang. Terdapat beberapa 'nas' yang menerangkan perkara ini antaranya firman Allah s.w.t bermaksud "sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu" (Surah Yusuf: 53). Selain itu, perkara ini juga disebut dalam hadis daripada Huzaifah Bin Yaman r.a berkata, Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda "Tidak akan masuk syurga orang yang menghasut (mengadu domba)". Manakala dalam hadis yang lain pula Rasulullah s.a.w bersabda "Mahukah aku khabarkan kepada kamu orang yang paling jahat dalam kalangan kamu? Iaitu mereka yang suka mengadu domba, yang suka memecah belahkan antara orang-orang yang berkasih sayang, yang mencacatkan orang-orang yang suci dengan kata-kata yang jahat" (Riwayat Ahmad). Berdasarkan kepada keterangan yang ada maka tidak boleh disanggah malah jelaslah bahawa golongan ini sememangnya benar-benar wujud dan bukanlah retorik tetapi realiti dalam kehidupan dari dulu hingga sekarang.

Implikasi

Tempat kerja...lokasi berisiko tinggi

"Membiarkan diri menjadi batu" yang apinya membawa kebinasaan sangat besar kesannya bukan sahaja kepada individu tetapi kepada umat masyarakat, agama, organisasi dan negara. Berajakan sifat ini boleh memutuskan silaturahim sesama manusia, memecah belahkan masyarakat, memusnahkan kesucian agama, menidakkan peranan institusi dan memudaratkan keselamatan negara. Natijah tersebut amat berlawanan dengan anjuran Islam yang amat mementingkan amalan persaudaraan dan kesepaduan umat yang akan membawa kepada kekuatan agama dan negara dalam memastikan kehidupan yang diredai samada di dunia mahupun di akhirat. Sesungguhnya sifat batu api, menghasut, mengadu domba dan seangkatan dengannya sangat ditegah dan pastinya si pelaku akan menerima balasan seksa sebagaimana firman Allah s.w.t "Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)" (Surah An-Nur: 19). Manakala dalam hadis Nabi Muhammad s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim menjelaskan mereka yang suka mengadu domba akan mendapat azab kubur dan terhalang dari masuk syurga. Sememangnya menjadi kelaziman kepada perbuatan yang bertentangan dengan ajaran Islam akan dijanjikan pembalasan yang setimpal dengan perbuatan yang dilakukan tersebut.

Penggalak Dan Penyampai

Dengan kecanggihan kehidupan manusia dewasa ini, kekuatan batu api sebagai catalyst memecah belah dan memudaratkan masyarakat tampak lebih nyata apabila wujudnya agen 'penggalak' atau instrument booster iaitu media sosial atau 'medsos'. Sesuatu yang boleh disebar luaskan dengan mudah, pantas dan sekelip mata, lebih-lebih lagi seandainya terdapat nilai sensasi dan glamour. Sangat berpengaruh sehingga boleh dipercayai dan diyakini tanpa usul walaupun jelas ia dari sumber tidak rasmi atau boleh diragukan kebenarannya. Senario ini menjadikan peranan batu api semakin 'menjadi-jadi' dan sukar dibendung. Apa tidaknya "bukan hanya sekadar dua ketul batu tetapi melibatkan ratusan malah ribuan batu".

Penyalahgunaan boleh memusnahkan silaturahim

Walau bagaimanapun, batu api boleh dikawal dari terus menyala dan membakar melalui kekuatan akal dalam berfikir dan memahami sebelum membuat tafsiran terhadap sesuatu yang diterima. Jalan terbaik, kurangkan melihat atau mendengar perkara-perkara yang 'separa masak' dan seterusnya membuat kesimpulan secara direct. Ini kerana kehendak dan keinginan manusia untuk mencuit dan memberi reaksi terhadap sesuatu yang 'menarik' adalah amat tinggi. Seeloknya berdiam diri kepada perkara yang tidak pasti sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah ia berkata baik atau diam..." (Riwayat Bukhari dan Muslim). Namun, jika terdengar sekalipun elakkan untuk mempercayainya tanpa alasan munasabah dan lebih penting jauhi dari menjadi penyampai kepada orang lain. Dengan usaha tersebut, adalah diharapkan supaya perlakuan buruk seperti menjadi batu api dapat dihindarkan dari terus mengganggu kemaslahatan ummah, kesejahteraan agama dan keselamatan negara secara keseluruhannya. Wassalam.


Author : Hasron @ Kajang, Selangor 

Comments