Skip to main content

BERJAYA TETAPI TIDAK BAHAGIA


Salam Barokah -

Latar

Kejayaan adalah sesuatu yang sangat diimpi dan didamba oleh manusia. Merupakan lambang bagi memperlihatkan pencapaian, kemenangan dan kecemerlangan terhadap setiap apa yang dilakukan manusia dalam kehidupan yang tidak terbatas. Pastinya kejayaan yang diidamkan-idamkan akan menjadi kebanggaan kepada diri kerana telah dapat menyempurnakan salah satu dari episod kehidupan. Maklum sahaja, untuk mengapai kejayaan tersebut memerlukan kerja keras dan nilai pengorbanan yang bukan calang-calang. Namun sedar atau tidak, masih banyak lagi onak dan duri yang harus ditembusi memandangkan kejayaan bukanlah indikator 'hakiki' kepada kebahagiaan dan kesempurnaan hidup terutamanya di sisi Allah s.w.t.

Konteks

Dalam konteks Islam, kejayaan adalah anugerah Allah s.w.t kepada manusia yang sentiasa 'berusaha'  ke arah kebaikan dalam apa jua aspek kehidupan. Pemberian Allah s.w.t kepada manusia berlandaskan usaha dan amalan baik yang dilakukan dengan matlamat untuk mencapai kebahagiaan di dunia mahupun di akhirat. Perkara ini dijelaskan melalui firman-Nya dalam Surah Al-Ankabut, ayat 69 yang bermaksud "Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya". Sementara dalam ayat yang lain pula, Allah s.w.t berfirman "Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia" (Surah Al-Qasas: 77). Ini bermakna kejayaan yang 'total' adalah anugerah kekayaan yang darinya boleh mendatangkan pahala demi mencapai kebahagian yang utama iaitu di akhirat kelak selain sebahagiaannya sahaja untuk kegunaan dunia.

Al-Quran sebagai pegangan hidup...

Kekuatan Dan Kelemahan

Bagi mereka yang berjaya, jangan keterlaluan mengagung-agungkan kejayaan kerana ia boleh hilang sekelip mata. Hal ini terbukti melalui kewujudan golongan yang berjaya tetapi tidak bahagia, tidak tenteram, resah gelisah dan tidak berasa cukup dalam menguruskan kehidupannya. Kejayaan sebenarnya satu unsur yang sangat subjektif, bukanlah sesuatu yang kekal sifatnya dan perlu diterjemahkan mengikut acuan yang dianjurkan oleh Islam. Manusia tidak selama-lamanya mengecapi kejayaan dan momentumnya banyak bergantung kepada kekuatan atau kelemahan 'sifat' yang ada dalam diri manusia itu sendiri. Oleh itu, kejayaan seharusnya dipelihara dengan sebaik-baiknya supaya tidak dicemari dari 'kesongsangan' spritual yang terbit dari hati-hati manusia yang 'rapuh'.

'Roh' kejayaan akan terkesan seandai manusia leka dengan puji-pujian sehingga lalai dalam mempertingkatkan tahap keimanan kepada Allah s.w.t yang berkuasa memberikan pertolongan yakni kejayaan. Kelalaian dalam menguruskan kejayaan dunia sehingga melupakan akhirat akan meletakkan kejayaan tersebut dalam kerugian memandangkan matlamat utama kejayaan adalah untuk memperolehi keuntungan di akhirat. Kelebihan bagi mereka yang mengutamakan akhirat berbanding dunia ini dijelaskan melalui firman Allah s.w.t "Barang siapa yang menghendaki keuntungan di akhirat, akan Kami tambahkan keuntungan itu baginya, dan barang siapa menghendaki keuntungan di dunia, Kami berikan kepadanya sebagian darinya (keuntungan dunia), tetapi dia tidak akan mendapat bagian di akhirat" (Surah Asy-Syura: 20). Hal ini merupakan peringatan Allah s.w.t bahawa kurniaan keuntungan yang berlipat ganda hanya bagi mereka yang mengutamakan urusan akhirat berbanding sebahagian keuntungan dunia bagi mereka yang mengutamakan urusan dunia dan lebih malang apabila tiada langsung keuntungan akhirat bagi mereka.

Natijah lalai, sombong dan tidak bersyukur
(kredit Pixabay)

Bersikap sombong dengan kejayaan yang dicapai juga adalah sifat yang sangat tidak disukai Allah sebagaimana firman-Nya "Dan janganlah kamu memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong;. sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membangga diri" (Surah Luqman: 18). Manakala dalam satu hadis ada menjelaskan bahawa "Salamah bin Al-Akwa berkata, Nabi Muhammad s.a.w bersabda, maksudnya: Apabila seseorang itu selalu bersikap sombong, akhirnya dia dimasukkan ke dalam golongan orang yang bongkak. Dia ditimpa bahaya sama sebagaimana bahaya yang menimpa orang yang bongkak" (Hadis Riwayat At-Tirmidzi). Apakah balasan bagi mereka yang sombong? Imam An-Nawawi dalam kitabnya Riyadhus Shalihin menjelaskan balasannya adalah mereka tidak akan masuk syurga, menjadi penghuni neraka, tidak akan dipandang Allah s.w.t di hari kiamat dan diseksa dengan azab yang sangat pedih.

Nikmat kejayaan pula tidak akan terus 'dirasai' apabila tidak disertakan dengan rasa bersyukur kepada Allah s.w.t. Kepentingan bersyukur ini dijelaskan melalui firman Allah s.w.t "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu memaklumkan, 'Sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan menambah (nikmat) kepadamu, tetapi jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka pasti azab-Ku sangat berat" (Surah Ibrahim: 7). Kejayaan yang diselarikan dengan kesyukuran kepada Allah s.w.t di atas segala pemberianNya akan ditingkatkan nikmat keimanan, ketenangan hati dan kesejahteraan hidup selain sebagai alternatif menzahirkan penghormatan di atas kurniaan kejayaan tersebut.

Kesedarhanaan Dan Etika

Kejayaan perlukan kesederhanaan dan etika
(gambar hiasan)

Kejayaan yang penuh kesedarhanaan dengan diideologikan etika hidup berlandaskan kebenaran adalah sesuatu yang dituntut. Mereka yang sedar akan hakikat ini pastinya mengambil langkah berhati-hati dalam mencorak kehidupan dari sebelum atau selepas dikurniakan kejayaan. Ini kerana, manusia tidak akan mampu mencapai kejayaan secara berterusan dalam kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi tanpa keimanan yang ampuh, kepatuhan kepada prinsip Islam yang sejati dan kekuatan diri jitu serta berterusan, maka ada saja yang menjadi penghalang. Tambahan pula, di zaman ini manusia berada di zon kekinian yang memungkin akan segala-galanya. Penularan masalah sosial, kegeloraan naluri, kepincangan sistem kekeluargaan, kegawatan ekonomi dan seribu satu 'penyakit jiwa' yang sedar atau tidak bakal mendatangkan bala bencana dalam kehidupan.

Bersandarkan nilai komersil, manusia akan melakukan apa sahaja untuk meraih kejayaan sehingga ada segelintirnya sanggup menggadaikan maruah diri, berajakan nafsu dan mempermainkan hukum Allah s.w.t bak 'matlamat menghalalkan cara' dan akhirnya memakan diri sendiri. Adalah lebih bermakna sekiranya kejayaan yang diperolehi lahir daripada penat lelah dan hasil usaha sendiri kerana bisa menjanjikan kebahagiaan yang sebenar-benarnya. Lebih mulia lagi seandainya ia disulami sifat-sifat tawadhuk, tidak alpa dan bersyukur bagi menambah keimanan kepada Sang Pencipta. Dalam hal ini, manusia perlu lebih berusaha mencapai ilmu-ilmu keagamaan dan spritual bagi menepis sikap-sikap negatif agar tidak mengganggu proses memperolehi dan menyempurnakan sebuah kejayaan.

Akhir Kalam

Meletakkan kejayaan di tempatnya (kredit LovePic)

Bagi mereka yang berjaya, tahniah diucapkan dan teruskan perjuangan untuk kejayaan-kejayaan seterusnya. Akan tetapi bagi mereka yang gagal, bukan bermakna hidup akan gelap gelita kerana kata orang, 'sekali gagal bukan bermakna gagal buat selama-lamanya'. Asalkan ada impian dan usaha yang direncana berlandaskan nilai keislaman pasti kuntuman-kuntuman kejayaan akan muncul bersama kebahagian yang kekal dan abadi. Tidak dinafikan manusia memiliki kelemahan selari dengan status mereka sebagai insan kerdil di bumi Allah s.w.t ini. Mendambakan kejayaan tetapi ada ketikanya gagal menyempurnakan atau meletakkan kejayaan tersebut dalam bentuk kebahagian yang 'hak'. 

Sesungguhnya Allah s.w.t berfirman "Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar; niscaya Allah akan memperbaiki amal-amalmu dan mengampuni dosa-dosamu. Dan barang siapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sungguh, dia menang dengan kemenangan yang agung" (Surah Al-Ahzab: 70-71). Wassalam.


Author : Hasron @ Kajang, Selangor

Comments