Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Sembah salam kepada seluruh warga Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur (PULAPOL). Sebelum meneruskan bicara, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Sidang Redaksi "BULETIN PULAPOL" kerana memberi kesempatan kepada saya untuk menitip sepatah dua kata sebagai pembuka tirai penerbitan buletin ini. Saya juga ingin menyampaikan sekalung tahniah dan rasa bangga terhadap usaha gigih sidang pengarang sehingga muncul "BULETIN PULAPOL" sebagaimana idea yang dicetuskan oleh YDH SAC 1 Dato' Ahmad Fuaad Bin Mohd Sidek, Timbalan Pengarah Pengurusan (Latihan), PDRM.
Pulapol merupakan sebuah institusi latihan terbesar bagi Pasukan Polis Diraja Malaysia dengan memiliki keanggotaan yang ramai. Situasi ini menyebabkan kita memerlukan satu wadah yang berperanan menyampaikan maklumat dan informasi kepada seluruh warga supaya setiap kegiatan, aktiviti dan perkembangan institusi ini dapat diketahui oleh semua. Matlamat ini sesuai dengan inspirasi kepimpinan negara untuk menjadikan masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang bermaklumat, peka dan sentiasa sensitif terhadap persekitaran yang serba mencabar ini.
Selain itu, penerbitan buletin ini juga diharap dapat memupuk dan memperkemaskan lagi semangat muhibbah, kerjasama dan kemesraan di antara kita di pusat latihan ini. Semangat muhibbah, kerjasaman dan kemesraan yang unggul akan dapat melahirkan mutu kerja dan kehidupan seharian yang sihat dan seterusnya menambah produktiviti dan efisyensi terhadap kerjaya di dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia.
Sebagai anggota polis yang berwibawa, kita seharusnya memiliki pelbagai kelebihan dan ia tidak semestinya bersifat kepolisan semata-mata. Kita juga wajar bersifat idealis dan berkemampuan melahir dan mencerna idea, pandangan dan pendapat yang bernas, tulus dan dinamik untuk kebaikan semua pihak. Sekurang-kurangnya ia boleh ditatapi oleh seluruh masyarakat sebagai satu agenda "iltizam sosial" PDRM ke arah memperkukuh "Mesra Rakyat" sebagaimana yang ditekankan oleh pucuk pimpinan pasukan.
Akhir kalam, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Sidang Redaksi di atas ruang yang diberikan dan seterusnya penerbitan majalah ini. Saya berharap supaya ini tidak akan ada penghujungnya tetapi terus melangkah dengan penuh keyakinan dan menghasilkan kesempurnaan di masa akan datang. Sekian, terima kasih.
C/Insp Wan Muhammad Said Bin Wan Seman
Ketua Pengarang
|
Bil. 2 (April-Jun 2002) |
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Syukur ke hadrat Illahi kerana limpah dan kurnia-Nya telah memberikan ruang kepada kita untuk menatapi 'BULETIN PULAPOL' buat kali ke-2. Ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak khususnya Sidang Pengarang kerana dengan kegigihan telah dapat merealisasikan penerbitan kali ini.
Misi yang menjadi landasan Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur melahirkan pegawai-pegawai polis yang cekap, cergas dan cerdas melalui kecemerlangan latihan. Menzahirkan misi ini bukanlah suatu tugas yang boleh dianggap mudah. Ia memerlukan komitmen dan kerjasama yang erat dari semua pihak sebagaimana kata pepatah 'berat sama dipikul ringan sama dijinjing'.
Tugas melahirkan pegawai-pegawai polis cekap, cergas dan cerdas melabelkan warga kerja Pulapol sebagai pendidik dan ia memerlukan persiapan diri yang merangkumi aspek mental dan fizikal. Menyedari hakikat ini, semua warga Pulapol wajar melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan samada ia bercorak kepolisan, umum, kerohanian dan sebagainya. Tambahan pula pada ketika ini kita berada di daerah kekinian yang memungkinkan pengetahuan-pengetahuan tersebut diimplementasikan.
Penerbitan Buletin Pulapol dilihat sebagai wadah menepati inspirasi tersebut. Selain merakamkan pelbagai peristiwa yang berlaku di persekitaran tugas, buletin ini juga mengenengahkan pelbagai mesej yang berunsurkan ilmu pengetahuan yang diaprisiasi melalui bidang-bidang tertentu seperti pengurusan, undang-undang, agama, teknologi, sastera dan sebagainya. Agenda yang terkandung adalah menepati citarasa semua golongan dan berkemampuan menjadi pemangkin melahirkan generasi PDRM yang berketerampilan, berkarisme, berinformasi, berkeperibadian dan intelek.
Namun apa yang penting di kalangan kita harus memartabatkan agenda-agenda tersebut dengan penghayatan dan kemudiannya mengamalkannya dalam setiap entiti kehidupan seharian. Adalah sesuatu yang malang seandainya ilmu yang diperolehi tidak dipraktikkan dengan membiarkannya layu tanpa usaha memekarkannya.
Oleh yang demikian, sebagai golongan yang boleh dikategorikan sebagai pendidik, marilah kita bersama-sama menyahut seruan ini agar penerbitan ini bakal memaknakan kejayaan dan kecemerlangan kepada setiap dari kita. Wassalam.
C/Insp Hasron Nazri Bin Hashim
Ketua Pengarang
|
Bil. 3 (Julai-Sept 2002) |
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapat kita bersama-sama menatapi "BULETIN PULAPOL" bagi keluaran ke tiga ini. Kalungan jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang turut bekerjasama dalam pembikinan buletin yang menjadi wadah informasi PULAPOL ini.
Agak beruntung kerana keluaran kali ini adalah merentasi "Bulan Kemerdekaan" yang disambut meriah di seluruh negara dengan diwarnai pelbagai acara menarik. Tidak ketinggalan juga PULAPOL yang mengilhamkan aturcara unik dan tersendiri sebagai satu manifestasi mencerminkan Patriotisme dan Semangat Merdeka yang dimiliki oleh warga PULAPOL.
Sebagai salah satu entiti dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia, warga PULAPOL seharusnya memiliki semangat patriotisme yang jitu dan unggul. Tambahan pula Polis Diraja Malaysia merupakan salah satu pasukan keselamatan yang berperanan menentang anasir-anasir subversif yang bermaharajalela samada sebelum atau selepas negara mencapai kemerdekaan.
Semangat patriotisme wajar dikekal dan diperkukuhkan di samping ia diimplementasikan bukan sahaja kepada negara tetapi juga kepada seluruh bidang tugas dan aktiviti kehidupan seharian. Semangat patriotisme yang mapan secara tidak langsung akan memperkasakan masyarakat Malaysia yang setia, perihatin dan bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama, bangsa dan seterusnya negara.
Melihat dari senario ini marilah kita bersama-sama memperkemaskan diri dengan nilai patriotisme walaupun bila dan di mana kita berada agar kita dapat membudayakan kehidupan yang bermakna selamanya. Wassalam.
C/Insp Hasron Nazri Bin Hashim
Ketua Pengarang
|
Bil. 4 (Okt-Dis 2002) |
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Syukur ke hadrat Illahi kerana dengan keizinan serta kehendak-Nya dapat kita bersama-sama menatapi dan seterusnya menghayati "BULETIN PULAPOL" bagi keluaran keempat. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada kepimpinan, sidang pengarang dan seluruh warga PULAPOL kerana memberi komitmen padu terhadap pembikinan buletin ini sebagai landasan informasi bukan sahaja di kalangan kita tetapi juga bagi seluruh warga PDRM di setiap pelusuk negara.
Ketika ini kita berada di tahun 2003 di mana pada masa yang sama tirai 2002 telah ditinggalkan dan tidak mungkin akan kembali. Tertutupnya tirai 2002, tidak seharusnya kita melupakan terus terhadap apa yang berlaku di sepanjang tahun tersebut. Selain menjadi kenangan dan terlipat dalam sejarah, segala yang berlaku seharusnya menjadi pedoman kepada semua. Setiap yang baik seharusnya dijadikan teladan manakala yang buruk semestinya dijadikan pengajaran.
Perjalanan kita masih jauh untuk merialiasikan agenda agama, bangsa dan negara. Selagi kita mempunyai agama, bangsa dan negara, selagi itulah pengorbanan dan daya usaha kita diperlu dan ditingkatkan sepanjang masa. Peredaran zaman bukan penghalang untuk mematikan peranan kita bagi tujuan tersebut kerana sudah menjadi lumrah alam di mana zaman sentiasa beredar tanpa dapat disanggah.
Peredaran zaman perlu dihayati oleh setiap dari kita. Apa yang penting ialah persiapan dan kemantapan kendiri dalam menghadapi setiap cabaran yang mendatang. Pengetahuan harus ditingkatkan, keluhuran peribadi perlu diperkukuhkan dan kekuatan jiwa wajar diperkemaskan supaya kita menjadi insan yang benar-benar telus, dinamik dan progresif di masa akan datang.
Selamat menyambut tahun baru 2003. Semoga kehadirannya bisa mengungkap seribu makna dalam kehidupan kita. Selamat jalan 2002, semoga coretan yang telah tersurat bisa mendewasakan kita. Wassalam.
C/Insp Hasron Nazri Bin Hashim
Ketua Pengarang
|
Bil. 5 (Jan-Mac 2003) |
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Sebagai pembuka bicara, saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana dengan kurnia dan keizinanNya telah membolehkan "BULETIN PULAPOL" Bil. 1 bagi tahun 2003 dapat diterbitkan untuk tatapan kita bersama.
Ucapan ribuan terima kasih saya ucapkan kepada Sidang Pengarang Buletin PULAPOL kerana memberi ruang dan kesempatan kepada saya sebagai pembuka kata pada keluaran kali ini. Sesungguhnya ia amat bermakna kerana penerbitan kali ini adalah yang pertama selepas saya menjawat jawatan sebagai Komandan bagi kali kedua di pusat latihan ini.
Pada hemat saya, penerbitan yang sebegini merupakan salah satu aktiviti yang amat berfaedah memandangkan pembikinannya memerlukan satu bentuk kerjasama yang erat, kukuh dan dinamik di kalangan warga PULAPOL secara keseluruhannya. Kerjasama yang sebegini adalah satu petanda positif lebih-lebih lagi bagi kita yang berada di sebuah Pusat Latihan Polis yang unggul seperti PULAPOL. Lebih dari itu, kerjasama dan komitmen di kalangan kita perlu diperkukuhkan lagi terutama dalam menjana agenda penting iaitu usaha mengubah seseorang awam kepada seorang anggota polis yang berdisiplin, berwibawa dan berkeperibadian.
Adalah menjadi harapan saya, supaya penerbitan ini mampu berperanan sebagai pemangkin kepada perubahan minda, sikap dan nilai di antara kita. Agenda yang dimuatkan bukan sahaja berbentuk informasi tetapi juga mempunyai nilai dan pengetahuan yang berguna untuk perkembangan diri, keluarga dan masyarakat. Nilai diri yang konsisten amat diperlukan bukan sahaja oleh warga PULAPOL tetapi juga oleh seluruh warga PDRM di segenap pelusuk tanahair. Senario ini amat penting apabila melihat peranan dan tugas Pasukan Polis untuk berkhidmat kepada masyarakat dan menumpahkan kesetiaan kepada agama, bangsa dan negara.
Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih dan sekalung tahniah di atas penerbitan buletin ini. Semoga ia akan terus mengungguli kematangan di masa-masa akan datang. Sekian, wassalam.
SAC II Kamaruddin Bin Hj. Alias
Komandan
|
Bil. 6 (April-Jun 2003) |
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah dan kurniaNya telah dapat kita bersama-sama menatapi (BULETIN PULAPOL) yang secara tradisinya muncul setiap tiga bulan sekali. Terima kasih diucapkan kepada semua warga PULAPOL yang secara langsung atau tidak bersama-sama menyumbang idea dan tenaga sehingga mencitrakan (BULETIN PULAPOL) bagi keluaran 2/2003.
Salah satu elemen yang diperlukan khususnya dalam pembikinan buletin ini ialah apa yang disebut sebagai disiplin. Dalam konteks yang luas, disiplin ialah latihan pemikiran dan kelakuan supaya boleh mengawal diri sendiri dan patuh pada tatatertib. Selain itu, ia juga bermaksud peraturan yang ditetapkan untuk melatih seseorang supaya berkelakuan baik.
Rentetan dari pendefinisian ini dapatlah digambarkan bahawa disiplin perlu ada pada setiap individu sebagai agen melatih pemikiran dan membentuk perlakuan yang baik sesuai dengan keperluan diri, norma masyarakat dan kemahuan wawasan negara. Disiplin perlu direkabentuk, diarah dan disematkan ke dalam diri sebelum menjadi sebati di dalam jiwa bagi merealitikan tindakan dan perlakuan tanpa paksaan. Institusi yang berperanan membentuk keutuhan disiplin adalah seperti institusi kekeluargaan, pendidikan formal, latihan kerjaya dan seterusnya kemasyarakatan.
Menyedari akan betapa pentingnya disiplin diterapkan dalam kehidupan maka seharusnya ia diselami dan dipraktikkan di dalam segenap aktiviti seharian terutamanya bagi kita yang berada di Pusat Latihan Polis. Tahap disiplin yang jitu dan luwes bukan sahaja berupaya menjadi model kepada pelatih-pelatih yang menjalani latihan tetapi juga sebagai pendidikan secara tidak langsung kepada anak-anak dan keluarga amnya.
Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama menjadi warga yang berdisiplin. Matlamat dari seruan ini adalah bagi menjanjikan kelahiran generasi yang mapan disiplinnya pada masa depan. Wassalam.
C/Insp Hasron Nazri Bin Hashim
Ketua Pengarang
|
Bil. 7 (Julai-Sept 2003) |
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
BULETIN PULAPOL Kuala Lumpur menemui kembali warga PULAPOL KL bagi kali ke tujuh dengan menampilkan pelbagai berita, aktiviti dan peristiwa di sepanjang bulan Jun-September. Bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaNya telah memungkinkan keluaran pada kali ini.
Sebagai manusia, aspek muhasabah terutamanya terhadap diri sewajarnya ada pada setiap dari kita. Muhasabah bermaksud menilai, meminjam perasaan, pemikiran atau penderian diri sendiri. Pengertian muhasabah ini adalah releven apabila direalisasikan dalam kehidupan melalui pengetahuan terhadap dari mana asal kita, apa tujuan kita hidup di dunia dan ke mana kita selepas kehidupan ini. Apabila muhasabah diri dalam konteks di atas dihayati maka kita akan terjurus melakukan amar makruf nahi mungkar terutama dalam melayari kehidupan ini.
Oleh yang demikian, bermuhasabah merupakan elemen penting dalam segenap aspek kehidupan. Mereka yang selalu bermuhasabah akan sentiasa memperolehi kebahagiaan dalam kehidupan manakala mengenepikannya akan menyebabkan manusia kekal dalam kehilangan punca kehidupan murni. Wassalam.
C/Insp Hasron Nazri Bin Hashim
Ketua Pengarang
|
Bil. 8 (Okt-Dis 2003) |
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Bertemu kembali menatapi BULETIN PULAPOL, KL buat kali ke lapan berturut-turut. Seperti biasa, syukur ke hadrat Illahi kerana limpah dan kurniaNya telah dapat memungkinkan penerbitan tribulanan ini. Ucapan terima kasih ditujukan kepada para penyumbang tenaga, idea dan buah fikir yang tidak jemu-jemu diterima oleh Sidang Redaksi.
Meneliti perkembangan semasa, jelas kelihatan kepincangan yang berlaku terhadap generasi muda dewasa ini. Perkembangan yang bersifat negatif sudah pasti akan memberi implikasi buruk kepada generasi muda dan sedikit sebanyak akan menjejaskan kemajuan dan pembangunan negara. Ini kerana golongan inilah yang bakal mewarisi kesinambungan negara yang terbina dari kepayahan dan penderitaan nenek moyang masa lalu.
Menyedari hakikat ini, maka sewajarnya generasi muda dibentuk dengan nilai murni, keagamaan, budaya ketimuran dan akhlak yang terpuji kerana elemen-elemen ini mampu menjadikan mereka sebagai generasi yang dinamik, progresif dan inovatif dengan bertunjangkan agama dan keperibadian sebagai landasan utama.
Oleh yang demikian, bersama kita menilai, merencana dan merealisasikan generasi yang bermaruah demi memartabatkan agama, bangsa dan negara. Wassalam.
C/Insp Hasron Nazri Bin Hashim
Ketua Pengarang
|
Bil. 9 (Jan-Mac 2004) |
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Kembali menemui pembaca bagi kali ke-9 berturut-turut. Sepanjang bersilih ganti dengan edisi-edisi terbaru, hanya ucapan jutaan terima kasih diucapkan kepada semua pembaca yang turut membantu kemantapan dan keutuhan BULETIN PULAPOL Kuala Lumpur.
Berbicara tentang kemantapan dan keutuhan, satu agenda yang dilihat sinonem dengan kedua-dua elemen tersebut ialah kemantapan dan keutuhan kendiri terutamanya akhlak yang dimiliki oleh seseorang. Dari sudut istilah, akhlak boleh diertikan sebagai satu hal keadaan yang tetap dalam jiwa manusia yang dapat mengeluarkan perbuatan baik atau buruk.
Akhlak terbaik merupakan akhlak Islam yang berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Pengaplikasian akhlak yang baik akan mendorong manusia mengamalkan sifat-sifat mazmudah dalam perbuatan dan pemikiran demi merangkul kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat.
Di mana tahap akhlak yang dimiliki kita? Kita akan tahu jika mengambil pendekatan menilai dan memerhati. Oleh itu bermeditasilah!
C/Insp Hasron Nazri Bin Hashim
Ketua Pengarang
|
Bil. 10 (April-Jun 2004) |
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Kembali menemui pembaca yang dihormati. Syukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita menatapi Buletin PULAPOL Kuala Lumpur, Bil. 10 edisi April-Jun 2004.
Melihat di persekitaran kita dewasa ini, jelas menggambarkan bahawa masyarakat sedang berkomplek dengan pelbagai kejadian ganas, zalim, tidak berperikemanusiaan dan kontras dengan tuntutan agama, undang-undang dan norma masyarakat. Segalanya bercorak negatif dan ia lahir apabila segelintir dari kita gagal membezakan yang baik dengan yany buruk untuk diterjemahkan kepada pemikiran dan perlakuan.
Akibatnya kita berhadapan dengan ketidaktentuan yang memaksa tindakan drastik dan pro aktif diambil dari masa ke semasa terutamanya oleh Polis Diraja Malaysia sebagai badan penguatkuasaan undang-undang. Walau bagaimanapun, segalanya perlu ditentang dengan suci hati, telus dan ikhlas agar keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan dapat dikecapi bersama dan kekal generasi ke generasi. Bermeditasilah!. Wassalam.
C/Insp Hasron Nazri Bin Hashim
Ketua Pengarang
|
Bil. 11 (Julai-Sept 2004) |
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Di daearah kekinian ini, kita sering berhadapan dengan pelbagai kepincangan samada dalam bentuk perlakuan, pertuturan atau kejiwaan. Salah satu puncanya ialah kerana ketiadaan elemen penghayatan dan amalan dalam membuat penilaian terhadap sesuatu.
Penghayatan diperlukan untuk mendalami sesuatu perkara dan seterusnya membezakan baik atau buruk terhadap apa yang ada di persekitaran. Apa sahaja yang positif hasil dari penghayatan hendaklah dibajai, dipraktik dan diamalkan bagi mengelakkan ia menjadi sia-sia manakala sesuatu yang diinterpretasikan sebagai negatif sifatnya hendaklah dielek dan dijauhi.
Penghayatan terhadap sesuatu sebelum mengamalkannya adalah formula penting dalam proses pembangunan dan pengembangan diri. Penghayatan tanpa amalan adalah sesuatu kerugian manakala amalan tanpa penghayatan adalah satu pembaziran.
Penghayatan dan amalan harus seiring dan kombinasi ini penting bagi memastikan apa yang dilihat, didengar dan dipelajari dapat diletakkan pada tempatnya sebelum ia diamalkan sebagai satu kebiasaan yang positif. Meditasilah!
C/Insp Hasron Nazri Bin Hashim
Ketua Pengarang
|
Bil. 12 (Okt-Dis 2004) |
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Bertemu kembali menemui pembaca buat kali ke 12. Syukur ke hadrat Illahi kerana dengan perkenanNya juga telah memungkinkan BULETIN PULAPOL KL meneruskan kelangsungan selama tiga purnama. Di sepanjang tiga purnama BULETIN PULAPOL KL telah merakam pelbagai peristiwa dan menyalurkan berbagai informasi khususnya untuk memenuhi keperluan warga PDRM di seluruh pelusuk tanahair. Namun segalanya kini telah berada di dalam diri setiap dari kita. Sejarah merupakan sesuatu yang perlu dikenang kerana nilai yang terkandung di dalamnya amat berharga dengan pelbagai pengertian, teladan dan pengajaran yang releven walau zaman mengalami perubahan.
Mengingati sejarah bererti kita akan sering menyedari dari mana asal kita, mengetahui apa kelemahan kita dan seterusnya membolehkan kita merancang strategi untuk menjadi yang terbaik. Sambutan 100 Tahun PULAPOL Kuala Lumpur merupakan sesuatu yang kena pada tempatnya memandangkan sejarah selama 100 tahun bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilupakan.
Dalam aspek yang lain, saya bagi mewakili Sidang Redaksi mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga kerja PULAPOL Kuala Lumpur kerana kejayaan mewartakan bangunan-bangunan bersejarah di pusat latihan ini sebagai menumen terpelihara di bawah Akta Benda Purba pada 24 September 2004 lalu. Akhir kata "tidak salah seandainya kita melihat ke belakang untuk mengenali sejarah. Generasi muda yang kaya dengan sejarah bangsanya adalah generasi yang berjiwa kental, matang dan patriotik". Wassalam.
C/Insp Hasron Nazri Bin Hashim
Ketua Pengarang
|
Bil. 13 (Jan-April 2005) |
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Bertemu kembali BULETIN PULAPOL KL untuk Bil. 13 tahun 2005 yang merupakan keluaran pertama bagi tahun keempat yang pastinya telah melalui tranformasi bersesuaian dengan usianya.
Pengeluaran BULETIN PULAPOL KL diharap masih releven dan berkemampuan menjadi pemangkin kepada penyaluran maklumat dan informasi bagi warga PULAPOL KL khasnya dan warga PDRM amnya. Melihat daripada fungsi tersebut buletin ini boleh menjadi perintis kepada usaha melahirkan pegawai dan anggota polis yang terbuka mindanya serta matang idea fikirnya demi memastikan PDRM tampak berwibawa, dihormati dan disegani.
Selain cekap menjalankan tugas, petah dalam segala aspek undang-undang dan dedikasi dalam melaksanakan visi dan misi pasukan, PDRM menuntut warganya memiliki pelbagai kemahiran lain khususnya sains sosial sebagai alternatif melahirkan pegawai dan anggota yang berketerampilan dalam pelbagai bidang atau 'super natural'.
Di kesempatan ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak kerana telah menyumbang tenaga dan idea dalam pembikinan BULETIN PULAPOL KL selama ini. Semoga ia ada kesinambungan pada masa akan datang. Sekian, wassalam.
C/Insp Hasron Nazri Bin Hashim
Ketua Pengarang
|
Bil. 14 (Mei-Ogos 2005) |
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Bersyukur kita ke hadrat Illahi kerana dengan keizinanNya telah mengizinkan kita menatapi BULETIN PULAPOL KL Bil. 14 bagi bulan Mei hingga Ogos 2005. Semoga ia terus menjadi wadah untuk setiap dari kita dalam merealisasikan kendiri cemerlang, pasukan gemilang dan negara terbilang.
Kendiri cemerlang, pasukan gemilang dan negara terbilang jelas memperlihatkan kesalingan yang kukuh di antara satu sama lain. Kendiri cemerlang dalam konteks ini ialah kecemerlangan pegawai dan anggota PDRM terutamanya dalam aspek-aspek disiplin, integriti, penugasan dan pelaksanaan matlamat pasukan. Kecemerlangan ini secara langsung atau tidak akan dapat meningkatkan kegemilangan pasukan melalui pencapaian visi dan misi yang diperolehi dari kecemerlangan kendiri tersebut.
Kegemilangan pasukan seterusnya bakal menjadikan negara terbilang apabila pasukan dapat menyumbang kepada tahap keamanan dan keselamatan yang membolehkan kemajuan dan pembangunan berjalan lancar.
Melihat dari kesalingan tersebut, kecemerlangan kendiri harus diberi perhatian terlebih dahulu sebelum pasukan menjadi gemilang dan negara menjadi terbilang. Oleh itu, renungilah di mana tahap kecemerlangan kita. Bermeditasilah!. Sekian, wassalam.
C/Insp Hasron Nazri Bin Hashim
Ketua Pengarang
|
Bil. 15 (Sept-Dis 2005) |
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Bertemu kembali buat kali ke 15. Harapan Sidang Redaksi, semoga pembaca masih setia menatapi coretan-coretan yang tidak seberapa ini.
Di kala negara sedang rancak mengejar pembangunan dan kemajuan dewasa ini, pemimpin-pemimpin kita tidak pernah lupa kepada pengisian pembangunan insan yang tidak kurang pentingnya. Pembangunan insan yang ditekankan ialah pembanguna mental, kematangan minda, keharmonian hati, keluhuran jiwa dan ketinggian budi pekerti di kalangan masyarakat yang mendominasi pembangunan metarial.
Betapa pentingnya pembangunan insan dilihat melalui kelahiran amalan dan perbuatan yang mempunyai nilai positif dan selari dengan norma masyarakat serta peraturan negara. Melaluinya juga akan dapat mewujudkan insan yang seimbang dan dapat menilai baik atau buruk terhadap sesuatu.
Sebagai entiti PDRM seharusnya hasrat murni kerajaan ini diambil perhatian dan seterusnya dipraktikkan di dalam apa sahaja lapangan yang diceburi memandangkan entiti kepolisan sentiasa diperhatikan dewasa ini. "Infrastruktur kelas pertama, mentaliti kelas pertama"
Wassalam.C/Insp Hasron Nazri Bin Hashim
Ketua Pengarang
|
Bil. 16 (Jan-April 2006) |
DO THE RIGHT THING, RIGHT TROUGH TRAINING
Latihan merupakan satu usaha berterusan untuk membawa perubahan ke atas tingkahlaku melalui proses pembelajaran. Latihan yang berterusan akan menghasilkan kecekapan yang lahir melalui pengetahuan dan kemahiran samada ia diperolehi secara formal atau tidak formal. Dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia, latihan memainkan peranan penting dalam membekalkan kemahiran sebagai persiapan menjalankan tugas di tengah-tengah senario masyarakat yang semakin tinggi ekspektasinya terhadap keselamatan dan kesejahteraan persekitaran.
Latihan Asas Kepolisan di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur merupakan alternatif untuk merealisasikan ASK (Attude, Skill, Knowledge) kepada pelatih-pelatihnya. Kekuatan ketiga-tiga komponen ini akan dapat menghasilkan sistem tugas yang cekap dan berkesan. Dalam latihan asas, komponen Attude, Skill dan Knowledge akan dapat diperkembangkan melalui pemikiran, tindakan dan pengaplikasian yang betul melalui latihan.
Pemikiran, tindakan dan pengaplikasin yang betul, bermakna berfikir dan seterusnya mempraktikkan sesuatu yang selari dan selaras dengan matlamat latihan. Melaksanakan sesuatu yang selari dengan kehendak-kehendak falsafah dan doktrin latihan yang telah digariskan akan dapat menghasilkan pelatih yang peka kepada peraturan, celik undang-undang dan seterusnya dapat mengawal diri dari perkara-perkara yang boleh membinasakan diri sendiri. Segala bentuk perlakuan yang berpaksikan kepada amalan turun-temurun atau tradisi perlu dielakkan sebaliknya perlu diganti dengan perlakuan yang selari dengan "authority" yang membolehkan sesuatu itu dilakukan.
Latihan asas merupakan tapak mula bagi melahirkan seseorang pegawai dan anggota yang berwibawa dan berketerampilan untuk berkhidmat kepada masyarakat. Sebagai tapak mula, latihan asas perlu disuntik dengan elemen-elemen kepatuhan, kesetiaan dan ketaatan kepada peraturan kerana jika tiada elemen-elemen tersebut "efficiency" dan "effectiveness" latihan tidak akan tercapai. Apabila matlamat tersebut tidak tercapai maka ia akan memberi impak yang besar kepada mutu perkhidmatan yang akan diberikan selepas tamat latihan nanti.
Para pelatih diibaratkan sebagai kain putih yang bakal dicorakkan melalui latihan asas. Bagi memastikan kain putih tersebut sentiasa bernilai, ia perlu dicorakkan dengan elemen-elemen yang betul dan selari dengan kehendak PDRM, masyarakat dan negara.
Perlakuan yang betul akan dihasilkan apabila adanya elemen-elemen yang betul di dalam latihan asas. Apabila segala pemikiran dan perlakuan yang betul diimplimentasikan melalui latihan ia secara tidak langsung akan menjadi satu kebiasaan dan seterusnya akan berupaya melahirkan kekuatan yang akan membawa kecemerlangan di dalam kerjaya.
C/Insp Hasron Nazri Bin Hashim
Ketua Pengarang
|
Bil. 17 (Mei-Ogos 2006) |
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Bertemu lagi pembaca Buletin PULAPOL Kuala Lumpur Bil. 17 (Mei-Ogos 2006). Keluaran ini merupakan wadah rujukan dan lambang kecemerlangan yang sentiasa menjadi tunjang kepada setiap apa yang dilakukan di pusat latihan ini.
Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur merupakan pusat latihan asas yang utama bagi Polis Diraja Malaysia. Dari aspek usia ia telah pun melewati 100 tahun manakala dari sudut peranan dan tanggungjawab ia telah pun menghasilkan ribuan pegawai dan anggota polis yang mampu mencorakkan hala tuju PDRM masa kini dan akan datang.
Kekuatan yang dimiliki PULAPOL Kuala Lumpur menjadikan ia bakal muncul sebagai "center of reference" dan "center of excellence" bagi PDRM dan masyarakat keseluruhannya. Kecemerlangan yang ditumpukan adalah meliputi pelbagai aspek seperti kualiti pelatih yang bakal dilahirkan, ahli-ahli sukan yang berwibawa, program dan silibus yang terancang dan seterusnya corak latihan yang mantap dalam matlamat penghasilan tenaga kerja.
Melihat dari kesungguhan pucuk pimpinan PULAPOL Kuala Lumpur untuk merealitikan kedua-dua mauduk tersebut maka sewajarnya ia menjadi agenda utama setiap dari kita. Wassalam.
ASP Hasron Nazri Bin Hashim
Ketua Pengarang
|
Bil. 18 (Sept-Dis 2006) |
Assalamualaikum dan Selamat SejahteraAlhamdulillah, bertemu lagi sidang pembaca yang masih setia menatapi BULETIN PULAPOL Kuala Lumpur seadanya ini. Keluaran kali ini merupakan edisi ke 18 dan mewarnai setiap aktiviti pusat latihan ini dan Polis Diraja Malaysia amnya bagi sepanjang bulan September hingga Disember 2006.
Di kesempatan ini, Sidang Pengarang BULETIN PULAPOL Kuala Lumpur mengucapkan selamat menyambut tahun baru 2007 kepada seluruh warga PDRM di seluruh pelusuk negara. Semoga dengan kehadiran tahun baru 2007 bukan sahaja bakal menjadikan diri semakin dewasa malah turut juga memberikan kedewasaan dari aspek minda, emosi, tutur kata dan perlakuan supaya ia bergerak selari dengan penampilan fizikal yang dimiliki.
Satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah sebagai warga PDRM, kehadiran tahun 2007 seharusnya dinanti memandangkan usia PDRM akan mencapai ke angka 200 pada tahun tersebut. Tarikh keramat 25 Mac 2007, perlu dinanti dengan 1001 penghayatan supaya nilai yang tersirat di sebaliknya dapat dijadikan pedoman, panduan dan iktibar dalam mentelusuri perjalanan globalisasi dan kemajuan yang tidak bertepi. 'Selamat Tahun Baru 2007' dan wassalam.
ASP Hasron Nazri Bin Hashim
Ketua Pengarang
Comments
Post a Comment