Pembawa Barokah |
Latar Belakang
Dunia hari ini telah menyaksikan wujudnya persaingan pesat dari pelbagai sektor samada ekonomi mahupun perkhidmatan. Pelbagai industri baru muncul selari dengan keperluan kehidupan manusia yang semakin kompleks dan tidak terbatas sifatnya. Perkembangan yang dinamik ini secara tidak langsung telah menyediakan ruang pekerjaan yang lebih terbuka kepada manusia. Umumnya, pekerjaan terbahagi kepada dua tujuan iaitu pertama untuk mengisi keperluan diri dan kedua untuk mengisi keperluan orang lain. Rasionalnya, pekerjaan akan menjadikan kehidupan manusia lebih baik akan tetapi pekerjaan juga boleh menyebabkan kehidupan menjadi lebih sempit dan sengsara. Seolah-olah tidak dirahmati dan direstui, menyebabkannya hasilnya tidak bertambah bahkan 'bermasalah' dan jauh dari mendatangkan kebahagiaan. Apakah model atau pelan strategik dalam konteks agama Islam bagi merealitikan pekerjaan sebagai alternatif kehidupan yang lebih bermakna kepada manusia?
Islam sebagai agama yang syumul iaitu bersifat menyeluruh dan sempurna di mana turut menitik beratkan aspek pekerjaan bagi mengisi keperluan kehidupan manusia. Islam menggalakkan manusia berusaha mencari kehidupannya melalui apa sahaja pekerjaan selari dengan tujuan kewujudan manusia bagi memakmurkan muka bumi yang sangat luas ini. Manifestasi berkaitan perkara ini dijelaskan melalui firman Allah s.w.t bermaksud "Dialah yang menjadikan bumi untuk kamu yang mudah dijelajahi, maka jelajahilah di segala penjurunya dan makanlah sebagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan" (Surah Al-Mulk: 15). Bidang pekerjaan tersebut pula perlulah halal dan tidak bertentangan dengan ketetapan hukum Islam serta wajib mengutamakan perkara-perkara fardu sebagaimana firman Allah s.w.t bermaksud "Apabila salat telah dilaksanakan, maka bertebaranlah kamu di bumi; carilah kurnia Allah dan ingatlah banyak-banyak agar kamu beruntung" (Surah Al-Jumu'ah: 10). Berpegang kepada kalam Allah s.w.t tersebut, maka jelaslah bahawa pekerjaan merupakan suatu ibadah yang perlu ditunaikan oleh manusia dengan matlamat akhir bagi mendapat keuntungan samada di dunia mahupun di akhirat.
Selain dari ketetapan bahawa pekerjaan sebagai suatu ibadah, pelaksanaanya juga perlu selari dengan beberapa nilai teras lain bagi mendukung 'jiwa' pekerjaan tersebut dengan prinsip keislaman yang jitu. Tujuannya juga adalah untuk mencapai keberkatan yang tuntas hasil dari pekerjaan yang dilakukan dan seterusnya membawa manusia mengungguli kebahagian di dunia dan di akhirat. Antara nilai teras tersebut adalah ikhlas, usaha, doa dan tawakal yang rapat berkait di antara satu sama lain. Bermula dengan 'keikhlasan' maka akan datangnya 'usaha' yang perlu disusuli dengan 'doa' sebelum diakhiri dengan 'tawakal' kepada Allah s.w.t. Ibarat sebuah rumah yang diperkukuhkan dengan empat tiang seri yang saling memerlukan bagi menjunjung atapnya yang diumpamakan sebagai sebuah 'keberkatan".
Ikhlas datang dari hati manusia dan perlu dilatih untuk terus kekal berada dalam diri tanpa mengira masa dan keadaan. Ikhlas berasal dari perkataan Arab yang bermaksud suci hati, tidak menipu atau tidak berpura-pura manakala dalam konteks beragama, ikhlas adalah suatu niat murni dan tulus dalam melakukan sesuatu untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. 'Sesuatu' yang dimaksudkan adalah perkara yang dilaksanakan oleh manusia dalam segenap urusan kehidupan seharian mereka termasuk dalam melakukan pekerjaan. Melaksanakan pekerjaan dengan penuh keikhlasan secara tidak langsung akan memperteguhkan keimanan terhadap Allah s.w.t sepertimana firman-Nya dalam Surah Al-Bayyinah, ayat 5 yang bermaksud "Padahal mereka hanya diperintahkan menyembah Allah, dengan ikhlas mentaati-Nya semata-mata kerana (menjalankan) agama, dan juga agar melaksanakan salat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus (benar)". Ironinya, dengan sifat keikhlasan dan keimanan tersebut maka akan terlahirlah perlakuan baik dan boleh mengelakkan elemen negatif yang melibatkan akhlak, integriti, perlanggaran peraturan dan undang-undang yang boleh menjejaskan proses pekerjaan. Selainnya, jika tiada keikhlasan secara tidak langsung akan menyebabkan seseorang itu menjadi 'tiada keinginan' untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam pekerjaannya.
Dalam pengertian mudah, usaha bermaksud daya upaya untuk mencapai sesuatu. Berusaha dengan menggunakan sepenuhnya kekuatan kendiri yang dimiliki samada fizikal atau akal fikir demi mempertingkatkan prestasi dan produktiviti amat dituntut dalam pekerjaan. Perkara ini bukan sahaja bagi memastikan hasil pekerjaan tersebut mencapai matlamat yang ditetapkan tetapi juga mampu memberi kebaikan serta manafaat kepada masyarakat dan umat manusia secara keseluruhannya. Islam menekankan usaha yang bersungguh-sungguh dalam melakukan apa sahaja perkara kebaikan kerana usaha yang baik akan dijanjikan balasan yang baik sebagaimana firman Allah s.w.t bermaksud "Dan barang siapa menghendaki kehidupan akhirat dan berusaha ke arah itu dengan bersungguh-sungguh, sedangkan dia beriman, maka mereka itulah orang yang usahanya dibalas dengan baik" (Surah Al-Isra': 19).
Doa adalah memohon kepada Allah s.w.t dengan meminta kebaikan dari sisi-Nya dengan penuh ketulusan hati dan penuh pengharapan. Seusai usaha yang dilakukan, manusia perlu bermohon kepada Allah s.w.t supaya segala usaha tersebut diberkati, diterima dan bakal mendatangkan hasil yang diimpikan. Dari pojok yang luas, doa adalah mekanisma untuk mempermudah segenap urusan pekerjaan, mengelak mara bahaya dan diberikan kekuatan akal fikir supaya dapat menyampai idea-idea bernas untuk disumbangkan kepada kemaslahatan agama, masyarakat dan negara. Peranan doa tidak boleh dikesampingkan dalam kehidupan memandangkan Allah s.w.t telah berjanji untuk memakbulkan permintaan umat-Nya sepertimana firman-Nya yang bermaksud "berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Aku perkenankan bagimu" (Surah Gafir: 60).
Sesungguhnya Allah s.w.t itu maha mendengar dan maha mengasihi bagi mereka yang meminta...(Gambar Hiasan) |
Tawakkal
Selepas melaksanakan pekerjaan dengan penuh keikhlasan, usaha dan doa maka tibalah saatnya bertawakal yakni bergantung dan berserah kepada Allah s.w.t untuk mengurniakan balasan yang setimpal terhadap apa yang telah dilakukan. Tawakal di sisi Islam bermaksud berserah kepada Tuhan setelah berikhtiar dan percaya dengan sepenuh hati kepada Tuhan. Lebih dari itu, bertawakal kepada Allah s.w.t adalah tanda keimanan bagi umat Islam sepertimana firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Ma'idah, ayat 23 bermaksud "Dan bertawakallah kamu hanya kepada Allah, jika kamu orang-orang yang beriman". Di sisi lain, sesungguhnya Allah s.w.t itu maha pemberi rezeki (Ar-Razzaq) bila mana mereka yang bertawakal akan dijanjikan balasan yang berlipat ganda sebagaimana firman Allah s.w.t bermaksud "Barang siapa bertakwa kepada Allah niscaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya, dan Dia akan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya" (At-Talaq: 2-3).
Islam tidak melarang malah menggalakkan umatnya untuk mengejar kehidupan di dunia melalui pekerjaan kerana ini lebih baik dari meminta-minta sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w "barang siapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama" (Riwayat Al-Baihaqi dan Al-Tabarani). Namun, proses tersebut perlu dilaksanakan mengikut garisan yang ditetapkan oleh syarak bagi mendatangkan kebaikan hidup di dunia malah yang lebih utama untuk memperolehi balasan pahala di akhirat kelak. Justeru, pelaksanaan sesuatu pekerjaan memerlukan model ampuh dengan menekankan sifat keikhlasan, berusaha, berdoa dan bertawakal bagi mendambakan keberkatan dari Allah s.w.t. Hasilnya nanti kehidupan akan bahagia, tenteram, mencukupi malah bertambah dan faedahnya dapat dirasai orang lain. Akhir kalam, sesungguhnya perjalanan hidup ini sangat 'keras' tetapi bukan pada mereka yang sering bermeditasi melihat kekuasaan Illahi. Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor
Comments
Post a Comment