Jalan menuju 2024 - |
Mukadimah
2023 akan menutup tirainya tidak berapa lama lagi sebelum menjelma pula 2024, umpama putaran masa yang telah 'ditetapkan' seperti Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anbiya, ayat 33 yang bermaksud "Dan Dia-lah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas)". Meninggalkan pelbagai 'rasa' samada kejayaan, kegemilangan dan kegembiraan mahupun kedukaan, kepahitan dan kesengsaraan mengikut 'bahagian' yang telah 'ditentukan'. Namun, setiap yang terjadi tidak seharusnya luput terus daripada ingatan terutamanya kepada yang mengalaminya kerana apa yang berlaku akan memberikan nilai untuk dialami, dirasai dan dtempuhi sebagai sesuatu yang dipanggil 'pengalaman'.
Pengalaman
Seringkali kedengaran ungkapan past is past atau masa lalu adalah masa lalu bagi memberi gambaran bahawa apa yang telah berlaku biarlah ia berlalu pergi dan tidak perlu diulangi lagi. Namun bagi memenuhi tujuan tersebut, pengalaman masa lalu terlebih dahulu perlu dipelihara bagi menjadi rujukan dalam menentukan 'arah tuju' demi merealisasikan masa depan yang lebih baik. Pengalaman lalu perlu dijadikan benchmarking dalam menentukan tindakan yang bersesuaian supaya sesuatu itu akan menjadi baik atau lebih baik dari sebelumnya. Praktisnya adalah dengan melihat dan memperbaiki kesilapan serta menilai dan membuat penambahbaikan sebagaimana peribahasa 'yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan' atau 'buang yang keruh ambil yang jernih'.
Merealisasikan pengalaman silam dan kemudian menjadikannya sebagai pedoman dan panduan dalam kehidupan akan mendewasakan peribadi dan mematangkan minda untuk terus melangkah menghadapi hari yang mendatang. Sebagai individu yang mempelopori ummah dan negara, pengalaman lalu adalah agen yang paling ampuh untuk meletakkan kedua-dua elemen itu di landasan yang sewajarnya. Umpama sepohon pokok yang diibaratkan sebagai negara dan ummah di mana kekuatannya ditunjangi oleh individu yang merupakan akarnya. Kemampuan untuk memanifetasikan pengalaman pula adalah kewajaran yang perlu diiringi dengan nawaitu yang ikhlas, jujur dan telus. Persoalan utama yang perlu diberi perhatian ialah apakah sesuatu yang berlaku atau dilakukan itu wajar atau tidak, membawa kebaikan atau keburukan dan adakah ia mencapai matlamat disasarkan.
Pengisian
Dalam konteks kendiri, sepanjang masa lalu adakah ia terisi dengan agenda untuk meletakkan diri di tahap yang sebagaimana dituntut oleh agama dan selari dengan keperluan ummah dan negara. Apakah pengalaman masa lalu mampu menjadikan seseorang individu itu sebagai 'insan kamil' dan seterusnya menjelmakan sifat keterampilan, karisma dan penyumbang kepada keutuhan dan kekuatan hasil dari keimanan yang teguh dan akhlak yang mulia. Atau hanya sekadar 'melepaskan batuk di tangga' untuk mengisi rongga-rongga kosong sepurnama kehidupan yang berkiblatkan nilai yang membawa kepada keruntuhan, kebobrokan dan perpecahan.
Sifat menghormati hak sebagai manusia semakin terhakis(kredit pixabay.com) |
Melihat kepada pengalaman lalu, jelas membuktikan bahawa masih banyak lagi lompang yang perlu diperbaiki. Beberapa rentetan peristiwa yang berlaku samada dalam mahupun luar negara umumnya telah memperlihatkan kezaliman dan kelalaian manusia sehingga mengundang tragedi. Sifat ketamakan dan kerakusan masih bermaharajalela sehingga mengundang penindasan selain perlakuan yang berpaksikan nafsu semakin menjadi-jadi yang membawa kepada kemusnahan dan seumpamanya. Senario yang terjadi seolah-olah tiada penghujung, menebal di jiwa dan bertahta di hati yang maha gelap. Andai dibiarkan menjadi tradisi tahun demi tahun, maka ia akan menjadi citra negatif khususnya bagi generasi masa depan dan seterusnya mendatangkan kerugian total kepada agama, ummah dan negara dalam jangka masa panjang.
Mekanisma
Bagaimana menokhtahkan perkara ini? Jawapannya ada dalam diri manusia yang dilabel sebagai insan yang sempurna. Sesungguhnya tempoh kehidupan manusia adalah sangat singkat sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Umur-umur umatku di antara 60 hingga 70 tahun dan amat sedikit yang lebih daripada itu" (Riwayat Al-Tirmizi). Justeru, selagi masih dianugerahi usia, maka manusia perlu menilai diri atau 'bermuhasabah' untuk kembali kepada fitrah manusia yang diutuskan Allah s.w.t sebagai khalifah di muka bumi ini. Persoalan dari mana asal kita, apa tujuan kita diutuskan, ke mana kita selepas ini dan apakah matlamat akhir kita sebagai manusia perlu di letakkan sebagai agenda terpenting kehidupan. Namun, adakah ruang-ruang tersebut telah disempurnakan dengan hayat yang ada atau masih lagi tercari-cari mana hujung atau mana pangkalnya.
Menjawab segala persoalan tersebut, pastinya dengan melaksanakan amalan mulia dan luhur berlandaskan anjuran Islam. Mengisi tempoh-tempoh kritikal dengan iman dan takwa di samping bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah s.w.t selain mencorakkan kehidupan dengan akhlak dan peribadi Islam yang mengutamakan 'al-amru bil ma'ruf wa al-nahyi a'nil mungkar'. Mempraktik elemen-elemen tersebut akan membersihkan hati dan jiwa untuk memandu 'perlakuan' manusia ke arah jalan kebenaran dan mengelakkan mereka dari terbabas ke lembah kebinasaan. Diberikan 'kewarasan' akal bagi membezakan kebaikan dan kemungkaran serta dikurniakan 'daya tahan' yang ampuh terhadap godaan nafsu yang sentiasa condong kepada kejahatan tanpa kawalan. Hasilnya bukan sahaja baik dalam menjamin kekuatan diri dan spritual malah memungkinkan kelangsungan kehidupan di dunia dan sekaligus menjamin kebahagiaan di alam akhirat.
Kekuatan kendiri ini seterusnya akan mendorong kewujudan ummah dan negara yang bukan sahaja hidup aman, selamat dan harmonis tetapi juga berdaya maju dan mampu bersaing serta dihormati masyarakat seantero dunia. Islam perlu disegani bagi membolehkan syiarnya terus berkembang dan mengelakkannya saban tahun ditindas oleh mereka yang 'dikatakan' terpaling berkuasa di dunia ini. Islam seharusnya dicerminkan dengan nilai-nilai kesyumulan dalam segenap aspek kehidupan manusia agar mudah diikuti dan dicontohi oleh semua. Umat Islam harus bangkit dari lena yang berpanjangan mempertahankan kesucian agama, melestarikan ummah dan seterusnya mempertahankan kedaulatan negara. Apabila semua perkara tersebut dipenuhi dan tercapai maka ia akan merealitikan peranan sebenar dan sejati manusia sebagai khalifah di muka bumi ini di sepanjang zaman.
Akhir Kalam
Kehadiran tahun baru adalah putaran waktu yang pasti dan ia tidak dapat ditepis lagi. Pengalaman yang ada ketika melayari kehidupan saban tahun akan memberi ruang kepada setiap individu untuk memperbaiki, meningkat dan memperbanyakkan kebaktian kepada diri, ummah dan negara. Kekhilafan masa lalu haruslah ditinggalkan dan dijadikan pengalaman merasainya sebagai wadah untuk diisi dengan sesuatu yang bermakna pada masa akan datang. Jalan terbaik adalah muhasabah bagi memandu diri kepada kebaikan berdasarkan ajaran Islam yang berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah. Kekuatan individu tersebut pula secara langsung akan menyumbang kepada keutuhan agama, ummah dan negara secara keseluruhannya.
2024 pastinya tahun yang lebih mencabar bagi umat Islam bukan sahaja di negara ini malah di seluruh dunia apabila melihat perkembangan semasa dalam pelbagai entiti kehidupan. Justeru, umat Islam khususnya perlu mempersiapkan diri dengan amalan-amalan terbaik untuk menghadapi cabaran yang menanti. Langkah proaktif perlu diambil dan dimulakan sedari awal supaya kesannya nanti boleh dinilai dan diperbaiki secara terus bagi memastikan outcome kehidupan yang cemerlang. Sesungguhnya, ketahuilah bahawa firman Allah s.w.t "Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan" (Surah Al-Hasyr: 18).
Author : Hasron @ Kajang, Selangor
Comments
Post a Comment