Skip to main content

SANTAI-SANTAI EMPANGAN SEMENYIH

Lokasi Empangan Semenyih

Gah pada namanya gah juga pada fungsinya dalam melestarikan kehidupan manusia. Begitulah nama yang cukup sinonem dengan sebuah tempat berlokasi di negeri Selangor iaitu Empangan Semenyih. Merupakan empangan tadahan air terbesar di Malaysia iaitu berkeluasan kira-kira 1500 ekar dan telah disiapkan pembinaanya pada tahun 1986. Berperanan membekalkan air kepada penduduk sekitar Lembah Kelang yang semakin bertambah kian masa dan merupakan nadi kepada kerancakan pembangunan ekonomi di kawasan persekitarannya. Mengetahui tentang kewujudan empangan ini namun belum pernah meneroka dengan lebih dekat apa yang ada di sebalik nama gah Empangan Semenyih. Selepas lebih lapan tahun menetap di Kajang, akhirnya pada 03 Disember 2023 'admin' tergerak menuju ke destinasi yang sering digembar gembur khususnya oleh masyarakat setempat.

Pemandangan di waktu pagi...

Menikmati...

Santai-santai...

Ringkasnya, berlokasi di pertengahan perjalanan di antara Semenyih di Kajang, Selangor ke Kuala Kelawang, Jelebu, Negeri Sembilan. Terletak kira-kira 16 kilometer atau lebih kurang 22 minit dari Pekan Semenyih, 30 kilometer atau lebih kurang 39 minit dari Bandar Kajang dan 36 kilometer atau lebih kurang 50 minit dari ibu kota Kuala Lumpur melalui Pekan Batu 18 Hulu Langat dan Ampang. Memiliki sistem jalan raya yang baik bagi menghubungkan lokasi empangan ini dengan lokasi-lokasi di sekitarnya. Tidak banyak kenderaan yang melalui jalan ini dalam sesuatu masa. Lebih digunakan oleh penduduk sekitar bagi menjalankan kegiatan ekonomi, pengunjung yang beriadah sambil menikmati keindahan alam dan pengguna jalan raya lain sebagai laluan pintas khususnya bagi mereka yang ingin lari dari kesesakan lalu lintas di jalan-jalan biasa. Jika berada di jalan tersebut, sesekali akan terserempak dengan kumpulan-kumpulan kecil rider motosikal berkuasa tinggi memecah kesunyian melayan selekoh yang ada di sepanjang jalan. Tetapi 'awas' rider perlu berhati-hati dan peka memandangkan terdapat haiwan-haiwan yang tidak diundang melintasi jalan tanpa 'menoleh' ke 'kiri' dan 'kanan'. Melihat kepada persekitaran jalan yang dipenuhi pokok dan onak, pastinya keadaan agak sunyi pada malam hari dan tidak begitu sesuai dilalui atau memberhentikan kenderaan di atas faktor-faktor keselamatan. Hanya Stesen Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd beroperasi 24 jam di kawasan ini.

Jarak dari Stesen Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd, Empangan Semenyih ke Pekan Batu 18 dan Kuala Kelawang

Air Selangor

Masih terpelihara dengan khazanah flora dan fauna selari dengan peranannya sebagai lokasi tadahan air. Pengunjung yang berhenti berpeluang menikmati irama unggas rimba yang berpanjangan dan bersahutan khususnya dari kawasan hutan di seberang empangan. Air yang cukup tenang kehijauan dan saujana mata memandang sangat menarik bagi mereka yang gemar merakam keindahan panorama alam dan ingin mencari ketenangan selepas penat bekerja saban hari. Namun orang ramai adalah dilarang memasuki atau mencerobohi kawasan empangan tanpa kebenaran pihak berkuasa ekoran beberapa kejadian yang tidak diingini pernah berlaku di kawasan tersebut bak kata setenang air di kali, ada masanya bergelora juga.

Pemandangan matahari terbit...

Bagi mereka yang inginkan aktiviti-aktiviti rekreasi, ada beberapa lokasi yang menyediakan kemudahan tersebut di kawasan berdekatan empangan ini. Antaranya adalah Taman Eko Rimba Sungai Tekala yang menyediakan lokasi perkelahan keluarga dan tapak perkhemahan, Kolam Air Panas Sungai Lalang, Asia Camp (Team Building Camp), Fishing Joran Rimba Tekala, Semenyih Ecoventure Resort & Recreation dan beberapa lagi. Pengunjung boleh menjalankan aktiviti-aktiviti rekreasi sambil menikmati persekitaran rimba dengan kadar yang sangat berpatutan. Kawasan ini juga sangat sesuai bagi mereka yang gemar aktiviti berbasikal khususnya di hujung minggu kerana bentuk jalan yang landai dan sedikit berbukit. Biasanya para riding yang kebanyakkannya dari luar akan menjadikan kawasan parkir di Taman Eko Rimba Sungai Tekala sebagai Recreational Vehicle (RV). Ini kerana di kawasan tersebut terdapatnya kemudahan parkir yang agak luas dan kedai menjual minuman dan makanan ringan bagi kemudahan para riding.

Taman Eko Rimba Sungai Tekala

Santai...

Tapak Perkemahan

Tapak Parkir

Di Taman Eko Rimba Sungai Tekala, pengunjung boleh menjalankan aktiviti rekreasi bersama keluarga dengan bayaran serendah RM 2 bagi dewasa dan RM 1 bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun. Manakala kadar bayaran sewaan tapak perkhemahan akan dikenakan sebanyak RM 10 selain dewan terbuka yang turut  disediakan dengan bayaran sebanyak RM 100 sehari. Walau bagaimanapun, kawasan ini kini ditutup kepada pengunjung ekoran musim tengkujuh dan dijangka akan kembali beroperasi pada bulan Februari 2024. Sementara itu, Hotsprings Sungai Lalang pula mengenakan kadar bayaran sebanyak RM 5 bagi dewasa, RM 3 kanak-kanak dan RM 6 warganegara asing.

Pintu masuk ke Taman Eko Rimba Sungai Tekala

Hotsprings Sungai Lalang...

Alhamdulillah, walaupun agak santai, ringkas dan tidak mengambil masa yang lama, misi menambah koleksi penerokaan lokasi-lokasi yang 'rare' di Selangor khususnya telah tercapai. 


Author : Hasron @ Kajang, Selangor

Comments