Skip to main content

BERHATI-HATI DALAM BICARA

Salam Keberkatan...

Mukadimah -

Percakapan atau pertuturan merupakan sesuatu yang diungkapkan dari seseorang individu kepada individu atau kepada kelompok individu yang lain. Digunakan sebagai medium utama untuk menyampaikan sesuatu perkara sebelum wujud instrumen lain sesuai dengan perkembangan teknologi masa kini. Sangat besar pengaruhnya di dalam kehidupan bermasyarakat kerana percakapan boleh menggambarkan identiti seseorang dan mempunyai impak yang besar bukan sahaja kepada individu malah kepada masyarakat dan negara. Buktinya apabila wujud beberapa peribahasa yang khusus memberi 'bayangan' berkaitan percakapan individu. Antaranya adalah "menanam tebu di tepi bibir, "bercakap siang pandang-pandang, bercakap malam dengar-dengar", "bercakap memandang-mandang, silap lidah jiwa hilang", "terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya", "cakap tak serupa bikin" dan "kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa". Adunan kata yang 'indah' namun mempunyai konotasi buruk jika diperhalusi akibatnya.

Pandangan Islam

Islam bersifat komprehensif dalam membawa umatnya ke jalan kebenaran dan diredai dalam pelbagai bidang kehidupan samada secara individu mahupun bermasyarakat. Dalam konteks method percakapan, terdapat beberapa adab dan larangan yang perlu dipatuhi oleh individu dalam pelbagai dimensi sepertimana dijelaskan melalui hadis-hadis berikut:

"Bukanlah seorang mukmin yang sempurna, yang suka mencaci, mengutuk, berbuat, dan berkata kotor" 
(HR Ahmad, Bukhari & Tirmidzi)

"Sesungguhnya orang yang paling aku benci dan paling jauh dariku di hari kiamat ialah orang yang banyak bercakap dan bersifat sombong dalam bercakap" 
(HR Tirmidzi)

"Bukanlah seorang mukmin jika suka mencela, melaknat dan berkata-kata keji" 
(HR Tirmidzi)

"Janganlah kalian saling mendengki, dan janganlah saling membenci, dan janganlah kalian saling berkata-kata keji, dan janganlah kalian saling menghindari, dan janganlah kalian saling mengghibah satu dengan yang lain, dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara" 
(HR Muttaafaq'alaih)

"Keselamatan manusia tergantung pada kemampuannya menjaga lisan" 
(HR Al-Bukhari)

"Barang siapa yang beriman dengan Allah s.w.t dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam" 
(HR Al-Bukhari & Muslim).

Umumnya, key point hadis-hadis di atas adalah merujuk kepada 'sifat' kata-kata manusia yang menjurus unsur-unsur negatif seperti berkata keji, kotor, mencaci, mengutuk, bercakap sombong, mencela dan memfitnah. Sesuatu yang boleh membawa keburukan dan risiko besar jika diamalkan dalam kehidupan seharian.

Amalan

Mutiara Figura

Dalam kehidupan biasa, percakapan yang elok perlu melalui akal selepas difikirkan terlebih dahulu baik atau buruknya. Berkontradiksi dengan percakapan terus dari hati atau perasaan boleh mengundang bahaya samada kepada diri sendiri atau kepada orang lain bersesuaian kata Pepatah Melayu "ikut hati mati, ikut rasa binasa". Belakangan ini, kata imbuhan awalan 'ter...' banyak mempengaruhi budaya hidup masyarakat terutamanya sebagai alasan demi mengelak sesuatu isu. Secantiknya, percakapan dilakukan tidak secara tergopoh-gapah dan terburu-buru sebaliknya tenang, sopan dan jelas supaya mudah difahami seterusnya objektif percakapan tersebut mencapai matlamatnya. Paling utama butiran percakapan perlulah sesuatu yang benar, bersederhana, boleh membawa kebaikan dan berfaedah kepada semua selain mengelakkan dari menyentuh perkara-perkara yang boleh memberi kesan permusuhan dan mengundang perpecahan dalam masyarakat.

Implikasi

Banyak bercakap lebih-lebih lagi tanpa arah tujuan perlu dielakkan kerana dibimbangi situasi ini akan menyebabkan terbukanya aib sendiri atau aib orang lain samada sedar atau tidak. Tambahan pula jika berlaku dalam keadaan tidak terkawal terutamanya di luar lingkungan akal nan normal. Dalam hal ini, Islam memandangnya sebagai sesuatu yang perlu dielakkan sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud "Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan Allah tutub aib hamba yang pertama tadi pada hari kiamat" (Hadis Riwayat Muslim). Ini kerana, sesungguhnya menjadi kewajipan bagi seseorang muslim untuk melindungi dan menjaga keaiban diri dan sesama muslim yang lain. Lebih buruk jika apa yang diucapkan tersebut merupakan 'perkara tidak benar' yang disampaikan oleh si pengadu domba dan dikembangkan secara 'berantai' kepada orang lain. Perkara ini akan mewujudkan sengketa yang mengundang kerosakan lebih besar. Islam memandang serius terhadap bahaya yang bakal berlaku dan menyediakan balasan yang setimpal sepertimana hadis daripada Huzaifah bin Yaman r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda "Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)" (Hadis Riwayat Al-Bukhari).

Mutiara Figura

Sementara itu, setiap manusia telah dianugerahkan dengan kelebihan dan kekurangan masing-masing. Perkara tersebut perlu diterima dan dihormati lebih-lebih lagi perihal kekurangan seseorang. Percakapan yang bernada mempersenda kekurangan individu lain adalah ditegah kerana ia bukan sahaja menjatuhkan martabat seseorang tetapi juga seolah-olah mempersendakan anugerah Allah s.w.t. Ini kerana manusia adalah mahkluk ciptaan Allah s.w.t yang paling sempurna. Islam tidak melihat kepada fizikal dan luaran seseorang tetapi jaminan menuju ke jannah adalah melalui nilai keimanan dan ketakwaannya. Hal ini selari dengan sabda Rasulullah s.a.w "Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa kamu, tidak kepada keturunan dan harta kekayaan kamu, sebaliknya Allah memandang kepada hati kamu. Maka sesiapa memiliki hati suci bersih, nescaya Allah amat mencintai orang tersebut. Ketahuilah! Wahai Anak Adam bahawa orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bertakwa dalam kalangan kamu" (Hadis Riwayat Muslim).

Percakapan juga perlu dikawal kerana kekhilafannya mampu membawa kerosakan kepada hubungan silaturahim di antara sesama manusia. Kadang kala situasi ini boleh berlaku tanpa disedari kerana reaksi orang tidak ditunjukkan secara nyata atau 'depan-depan'. Apatah lagi jika mencederakan hati dan perasaan yang parutnya tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Dibimbangi seandainya hubungan silaturahim tersebut terputus akibat dari butiran percakapan yang 'palsu' atau kurang tepat dan sengaja digembar-gemburkan. Natijahnya, balasan yang amat berat bagi orang yang memutuskan silaturahim sepertimana hadis dari Jubair bin Muth'im r.a bahawa Rasullullah s.a.w bersabda "Tidak masuk syurga orang yang memutuskan silaturahim" (Hadis Riwayat Al-Bukhari). Bermula dengan kebinasaan dari aspek hubungan silaturahim lalu boleh membawa kepada pepecahan dalam masyarakat dan seterusnya memberi kesan kepada negara. Kekuatan negara adalah datangnya dari kesepaduan masyarakatnya manakala kekuatan masyarakat adalah lahir dari ketinggian personaliti individu sebagai entiti akar umbinya.

Mutiara Figura

Kesimpulan

Kehidupan manusia di dunia ini adalah sangat kompleks. Semua elemen perlu dinilai, dikawal dan dipelihara demi sebuah kebaikan. Islam is a way of life mempunyai panduan yang lengkap dalam segenap lapangan kehidupan termasuklah berkaitan tingkahlaku dan pertuturan. Dewasa ini, musibah percakapan yang membawa kemudaratan semakin disedari bahayanya sehingga wujud undang-undang konvensional bagi mengawalnya dari terus berleluasa. Kesudahannya, balasan bagi mereka yang tidak menjaga adab pertuturan bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Justeru, berhati-hatilah ketika berkata-kata, bercakap, berbicara atau bertutur untuk menyampaikan sesuatu kerana jika tidak 'kena pada tempatnya' ia akan membawa padah. Sesungguhnya "kata-kata lebih tajam daripada mata pedang". Wassalam.

Author : Hasron @ Kajang, Selangor

Comments