Salam Keberkatan... |
Awal Kalam
Peribahasa Melayu 'melepaskan batuk di tangga' menggambarkan sesuatu yang dilakukan dengan sambil lewa. Entiti yang menarik dalam susunan peribahasa ini adalah 'batuk' yang menggambarkan batok, sibur atau gayong yang biasa diletakkan bersama tempayan air di tangga rumah di zaman dahulu. Kegunaan air tersebut adalah untuk membasuh kaki sebelum naik ke rumah. Alkisahnya terdapat segelintir orang 'kita' yang bersikap 'kurang rajin' apabila tidak meletakkan gayong di tempatnya atau melepaskannya begitu sahaja selepas digunakan. Hal tersebut telah menciptakan peribahasa ini bagi tujuan sindiran kepada mereka yang suka berlewa-lewa dalam membuat sesuatu perkara. Semestinya perkataan yang paling serasi dengan maksud peribahasa ini adalah 'lewa' yang bermaksud tidak bersungguh-sungguh (mengerjakan sesuatu dll), sambil-sambilan (Kamus Dewan Edisi Keempat).
Sifat yang berlawanan dengan lewa adalah 'tekun' yang bermaksud melakukan pekerjaan dengan bersungguh-sungguh. Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, tekun bermaksud dengan rajin dan usaha (melakukan sesuatu), bersungguh-sungguh selain dimaknakan sebagai tabah hati, keras hati. Manakala dalam Islam, tekun disebut sebagai 'itqan' yang membawa maksud beramal atau melaksanakan sesuatu pekerjaan secara sempurna dan disertai dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Justeru tekun adalah sifat positif yang seharusnya dimiliki oleh setiap dari manusia dalam melakukan apa sahaja dalam kehidupan meraka berbanding sifat buruk sambil lewa yang perlu dijauhi.
Sudut Pandang Islam
Sesungguhnya Islam amat bersifat syumul di mana ajarannya merentasi segenap sudut kehidupan manusia dari sekecil-kecil hinggalah sebesar-besar perkara. Islam menganjurkan umatnya untuk melakukan pekerjaan dengan bersungguh-sungguh, tidak bersifat sambil lewa apatah lagi bersifat malas menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan. Ini kerana Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui setiap apa yang dilakukan oleh umat-Nya dan memberi peringatan melalui firman-Nya yang bermaksud "Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan" (Surah At-Tawbah: 105). Manakala dari pojok kesungguhan dan ketekunan, hadis daripada Aisyah r.a menjelaskan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda "Sesungguhnya Allah 'Azza Wa Jal kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun" (Riwayat Imam Al-Thabarani). Dari sudut pandang yang sama, dalam satu hadis yang lain Rasulullah s.a.w bersabda "Bersemangatlah kamu melakukan hal yang bermanfaat untuk kamu dan minta tolonglah kepada Allah, serta janganlah engkau lemah (malas)" (Riwayat Muslim).
Sikap sambil lewa dalam pekerjaan dan berorganisasi ini tidak digalakkan memandangkan Islam amat menganjurkan umatnya bekerja dan telah memberi pengiktirafan kepada pekerjaan sebagai suatu ibadah sebagaimana firman Allah s.w.t bermaksud "Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu; mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurnikan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya)" (Surah Al-Mulk: 15). Pengiktirafan ini memerlukan pekerjaan dilakukan dengan jujur, ikhlas dan amanah kerana ia berupaya mendatangkan pahala sekiranya prinsip tersebut dipatuhi. Hal ini sejajar dengan konsep ibadah iaitu ketaatan dan penghambaan serta pengabadian diri seorang hamba secara berterusan kepada Tuhan. Bekerja bukan sahaja untuk mendapat balasan 'upah' sebagai pengisian kehidupan di dunia malah untuk merebut ganjaran pahala di akhirat kelak yang menjadi tujuan paling utama bagi umat Islam yang bermuzafir di bumi Allah s.w.t ini. Bekerja dengan tiada kesungguhan juga akan berisiko membawa kepada 'masalah' dalam pekerjaan samada masalah yang dicipta sendiri atau masalah yang datang tanpa diduga.
Berorganisasi
Realiti senario 'melepaskan batuk di tangga' sememangnya wujud dalam kehidupan manusia malah boleh berlaku di mana-mana dan tanpa mengira masa atau ketikanya. Paling jelas adalah dalam sektor pekerjaan atau dalam berorganisasi bagi memenuhi keperluan kehidupan. Jika dikaji dan diteliti, sikap pekerja yang bekerja sambil lewa dimanifestasikan melalui sifat-sifat nyata seperti tidak bersungguh-sungguh, tiada komitmen dan acuh tak acuh dalam melaksanakan tugas. Implikasi dari sikap seperti ini akan mengakibatkan kerja tidak berjaya diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan, last minutes, tergesa-gesa dan seterusnya menyebabkan standard tugas tidak tercapai sebagaimana yang ditetapkan organisasi.
Organisasi atau institusi juga akan terkesan seandainya pekerja tidak melaksanakan kerja dengan 'jiwa' sebagai seorang 'insan' yang berwibawa, berkeperibadian dan berakhlak mulia. Sifat ini wujud melalui nilai peribadi dan spritual seperti tidak ikhlas, jujur, amanah dan bertanggungjawab dalam 'menjaga' pekerjaannya yang akan mendorong kepada tiada penumpuan terhadap kerja (concentration). Keadaan akan menjadi bertambah buruk apabila terbawa-bawa ke dalam situasi 'lain yang disuruh, lain yang dibuat' atau 'lain yang diarah, lain pula pelaksanaannya'. Implikasi dari sikap seperti ini akan menjelmakan mutu kerja yang 'seadanya', ala kadar, tidak progresif dan jauh dari berkembang mengatasi garis sasaran yang ditetapkan.
Kebaikan
Memelihara pekerjaan dengan amalan kerja yang bersungguh-sungguh akan mendatangkan kebaikan samada secara langsung mahupun tidak langsung. Paling utama ialah mematangkan hubungan di antara manusia dengan Allah s.w.t melalui amalan pekerjaan yang selari dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah bagi meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Menepati perkara tersebut akan mewujudkan keberkatan dalam bekerja dan seterusnya kebahagiaan yang tiada taranya di dunia dan akhirat. Manakala sebagai 'insan' bergelar pekerja, kerja yang bersungguh-sungguh akan meluhurkan integriti, mewujudkan keperibadian yang cemerlang dan seterusnya meningkatkan prestasi serta produktiviti. Hasilnya nanti di samping untuk diri sendiri, kehebatan individu tersebut akan menyumbangkan kepada kekuatan agama, memungkinkan peranan mereka dalam masyarakat dan seterusnya membantu kemajuan serta pembangunan negara.
Akhir Kalam
Masyarakat Melayu sangat serasi dengan susunan kata dalam bentuk kiasan dan berlapik yang mempunyai pengertian tersirat. Ungkapan tersebut bertujuan untuk menggambarkan 'sesuatu' dalam ruang lingkup kehidupan mereka dan sangat sesuai digunapakai dalam pelbagai keadaan. Bertambah unik apabila 'semangatnya' adalah selari dengan kehendak dan tuntutan agama. Salah satunya adalah 'melepaskan batuk di tangga' bagi menggambarkan perihal melakukan sesuatu kerja tetapi tidak sampai selesai, sambil lewa dan tidak bersungguh-sungguh. Gambaran ini dilihat selari dengan anjuran Islam melalui konsep melaksanakan pekerjaan sebagai satu ibadah dengan mementingkan elemen ketekunan dan kesungguhan supaya kerja yang dilakukan tersebut mampu menjadi pemangkin mendekatkan diri dengan Allah s.w.t dan berjaya mencapai matlamatnya.
Meletakkan diri dalam situasi melakukan sesuatu dengan sambil lewa bukan sahaja menggambarkan keperibadian yang naif tetapi juga boleh mendatangkan kerugian kerana pekerja adalah aset penting yang perlu digabung jalinkan dengan amalan murni dalam pekerjaan. Namun, tumpuan dalam hal ini tidak harus terarah kepada ruang lingkup pekerjaan semata-mata malah mencakupi segenap aspek kehidupan manusia yang luas dan kompleks. Oleh yang demikian, sebagai manusia kerdil seharusnya memilih untuk menjadi insan yang diredai Allah s.w.t dalam apa sahaja perbuatannya di dunia bagi mendapatkan pulangan yang paling bermakna iaitu kebahagiaan di akhirat. Dari itu, maka benarlah firman Allah s.w.t "Katakanlah: Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekelian alam" (Surah Al-An'am: 162). Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor
Comments
Post a Comment