Salam Keberkatan... |
Pengertian -
Salah satu 'masalah' yang membelenggu kehidupan individu dan masyarakat 'kita' dewasa ini adalah apa yang dikatakan sebagai 'hangat-hangat tahi ayam'. Ungkapan yang diambil dari Peribahasa Melayu tersebut digunakan untuk menggambarkan 'sikap' individu yang melakukan sesuatu dengan sungguh-sungguh hanya pada permulaan. Lama-kelamaan ditinggalkan apabila sudah mula bosan (Kamus Peribahasa Dan Simpulan Bahasa Melayu). Manakala dalam keadaan biasa, perumpaan ini sinonim dengan istiqamah iaitu ketaatan menjalankan sesuatu suruhan secara terus menerus (termasuk urusan agama) (Kamus Dewan Edisi Keempat). Manakala di era kecanggihan ini pula, istilah lain yang sering digunakan adalah 'konsisten' yang dimaknakan sebagai berpegang kepada pendirian yang sama.
Konteks Islam
Secara lebih terperinci, dalam konteks Islam istiqamah adalah berkaitan akhlak manusia yang merujuk kepada lurus, tekad, teguh dan terus dalam mematuhi dan melaksanakan suruhan Allah s.w.t. Pematuhan dan pelaksanaan tersebut meliputi pelbagai entiti kehidupan dan tidak menjurus kepada mengerjakan amal ibadat semata-mata. Memfokus kepada perkara-perkara yang baik dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Tujuannya supaya manusia terarah melakukan kebaikan secara berterusan dan seterusnya mendatangkan pahala secara berpanjangan. Di samping itu, istiqamah juga berperanan sebagai agen mengawal manusia dari terjerumus kepada hal-hal yang mendatangkan keburukan dan dosa. Perkara ini selari dengan Firman Allah s.w.t dalam Surah Hud, ayat 112 bermaksud "Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan".
Senario Masyarakat
Manusia memerlukan istiqamah dalam kehidupan mereka. Hal ini kerana, manusia sering terdedah kepada tindakan yang tidak konsisten dan tidak tetap akibat dari sifat hati yang tidak teguh dan tiada pendirian. Umpama melakukan sesuatu ketika 'rajin' dan mengenepikan perbuatan tersebut seandainya diri dibelenggu sifat kemalasan. Melakukan sesuatu dek kerana 'terpaksa' atau berdasarkan kepada 'peluang' semata. Bersikap culas di belakang atau sering mengelak dari melakukan sesuatu jika ada ruang berbuat demikian. Natijahnya dalam ibadah, terutamanya amalan-amalan fardu seperti mengerjakan solat lima waktu, solat jumaat, puasa, zakat dan mendalami ilmu agama dilaksanakan secara tidak konsisten, sekali sekala atau kadang-kadang. Sedangkan mengerjakan amalan-amalan fardu adalah kewajipan dan mesti dilaksanakan oleh setiap individu dan anggota masyarakat di sepanjang masa. Apatah lagi mengerjakan yang fardu itu akan memperolehi pahala dan jika mengabaikannya pula akan mendapat dosa.
Sewajarnya nilai istiqamah diterap dengan meluas dalam kehidupan seharian lebih-lebih lagi dalam sektor pekerjaan yang berstatus ibadah di sisi Islam. Dalam senario tersebut, elemen konsistensi amat diperlukan bagi memastikan penghasilan dan prestasi kerja dapat ditingkat dan dikekalkan dalam suatu tempoh yang disasarkan. Konsisten dari sudut ini meliputi usaha mencapai matlamat dan objektif organisasi, meningkatkan kualiti dan kuantiti serta kepatuhan kepada arahan dan peraturan yang ditetapkan. Tidak kurang juga konsisten dari aspek pengamalan nilai murni dan etika bagi mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, dinamik dan harmonis. Tuntutan-tuntutan positif di tempat kerja bukan sahaja wajar dipatuhi dan diamalkan tetapi perlu dikekalkan sebagai satu 'kebiasaan' supaya momentumnya bersifat berterusan dan mampu mencapai outcome yang diharapkan.
Samada dalam berorganisasi mahupun ketika menjalani kehidupan di luar organisasi, peraturan atau rules merupakan keperluan yang perlu dipenuhi. Ironinya, peraturan merupakan garis rujukan bagi memacu manusia agar melakukan sesuatu dengan matlamat supaya menjadi lebih baik selain memelihara manusia dari melakukan perkara yang bertentangan norma. Hakikat ini menjadikan kehidupan manusia dan peraturan sebagai dua unsur yang saling berpaut dan tidak boleh dipisahkan. Hidup tanpa peraturan bagaikan berkelana di lautan luas yang tidak berketepian. Sukar dilihat menyebabkan manusia bebas melakukan 'apa sahaja' tanpa sebarang halangan. Justeru, peraturan diwujudkan dan ia perlu diikuti serta dipatuhi sepenuhnya tanpa kompromi. Namun, pematuhan kepada peraturan perlu telus dan beristiqamah. Bukan bersikap indifferent dan bermusim kerana ia berkelangsungan selama mana kehidupan manusia di dunia.
Sekali pun ada 'suruhan' dan 'peraturan' yang mengawal, sebagai 'insan' yang mempunyai kelemahan 'terkadang' manusia juga bisa tersadung melakukan kesilapan. Namun apabila menyedari ketelanjuran itu, manusia dikehendaki memohon keampunan atau bertaubat dan berusaha memperbaikinya dengan berakar umbikan kepada nilai istiqamah yang tinggi. Tanpa istiqamah, berkemungkinan kesilapan tersebut akan berulang kembali dan berterusan menghantui kehidupan. Tambahan pula, sudah menjadi salah satu dari syarat taubat di mana seseorang itu perlu berazam dengan bersungguh-sungguh untuk tidak mengulangi kesilapan tersebut selama-lamanya. Firman Allah s.w.t bermaksud "Sungguh, permohonan kamu berdua telah diperkenankan, sebab itu tetaplah kamu berdua pada jalan yang lurus, dan jangan sekali-kali kamu mengikuti jalan orang yang tidak mengetahui" (Surah Yunus: 89).
Bagaimana Beristiqamah
Bagaimana merebut keistimewaan beristiqamah? Umum mengetahui bahawa apa sahaja pekerjaan yang dilaksanakan harus bermula dengan niat atau tujuan mengapa sesuatu itu dilakukan. Berbekalkan nawaitu yang betul maka akan timbulnya keinginan atau kemahuan yang kuat untuk mengamalkan sesuatu dengan bersungguh-sungguh sebelum melangsaikannya sebagai amanah dan tanggungjawab. Namun demikian, untuk mendambakan keinginan dan kemahuan tersebut, perlu adanya kekuatan spritual dan keimanan ampuh yang berfungsi 'menetapkan' jiwa dan akal bagi mengubah sikap dan melahirkan akhlak yang jitu. Lebih advance, pastinya kekuatan tersebut akan menjadi benteng kepada mengelakkan diri dari terpalit dengan perbuatan buruk dan mungkar. Dalam usaha mengekalkannya pula, perlu ada disiplin yang merupakan latihan pemikiran dan kelakuan untuk mendidik diri bagi melakukan perkara-perkara kebaikan. Tegasnya, sesuatu yang baik perlu dilatih dari pojok pelaksanaannya supaya menjadi kebiasaan dan 'sebati' dalam diri.
Akhir Kalam
Islam menggalakkan umatnya melakukan sesuatu secara tetap, berterusan dan bersungguh-sungguh. Tidak berhenti di tengah jalan dan tidak terhad di peringkat-peringkat tertentu sahaja sebagaimana yang terkandung dalam nilai di sebalik 'semangat' istiqamah. Jurusannya pula tidak harus tertumpu kepada amal ibadah sahaja tetapi perlu menelusuri segenap aspek kehidupan samada individu mahupun bermasyarakat. Sikap negatif seperti 'nak tak nak', malas, patah semangat, tiada pendirian, tidak berprinsip dan putus asa harus dikesampingkan kerana ia membawa kepada tidak istiqamah dalam melaksanakan sesuatu. Rasionalnya, jalan menuju istiqamah telah pun ada dalam diri setiap individu. Cuma yang tinggal bagaimana merealisasikannya untuk didedikasikan dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi. Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor
Comments
Post a Comment