Salam keberkatan... |
Jujur -
Definisi jujur dari aspek bahasa adalah lurus hati, tulus, ikhlas (Kamus Dewan Edisi Keempat). Dalam Bahasa Arab diterjemahkan sebagai 'shiddiq' yang bererti benar dan dapat dipercayai. Antonim bagi jujur adalah dusta atau bohong di mana dalam Bahasa Arab dipanggil sebagai 'kidzib'. Jujur adalah berkaitan dengan sifat seseorang terhadap orang lain dan paling utama dengan Allah s.w.t samada melalui perbuatan mahupun tutur kata. Selari dengan peribahasa "putih kapas boleh dilihat, putih hati berkeadaan" yang menjelaskan bahawa kejujuran hanya boleh digambarkan melalui tingkah laku atau sifat seseorang. Sesuatu yang perlu dimiliki oleh semua orang bagi menjadi insan terbaik. Kejujuran merupakan elemen penting dalam kehidupan masyarakat tanpa mengira latar budaya dan agama. Di Malaysia, jujur menjadi antara aspek penting sebagai kod etika dalam sektor awam mahupun swasta sebagai nilai yang perlu amalkan bagi menghasilkan sumber manusia berintegriti dan perkhidmatan yang cemerlang.
Al-Quran Dan As-Sunnah
Namun, apa yang penting pastinya selari dengan seruan Islam. Buktinya Islam tidak menganjurkan umatnya berperilaku tidak jujur atau berdusta sepertimana firman Allah s.w.t yang bermaksud "Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itu ialah orang-orang yang berdusta" (Surah An-Nahl: 105). Manakala melalui hadis dari Abdullah bin Mas’ud r.a, dia berkata: Rasulullah s.a.w bersabda, "Hendaklah kalian selalu berlaku jujur, kerana kejujuran membawa kepada kebaikan, dan kebaikan menghantarkan seseorang ke syurga. Dan apabila seorang selalu berlaku jujur dan tetap memilih jujur, maka akan dicatat di sisi Allah sebagai orang yang jujur. Dan jauhilah oleh kalian berbuat dusta, kerana dusta membawa seseorang kepada kejahatan, dan kejahatan menghantarkan seseorang ke neraka. Dan jika seseorang sentiasa berdusta dan memilih kedustaan maka akan dicatat di sisi Allah sebagai pendusta (pembohong).” (Hadis Riwayat Ahmad dan Bukhari).
Diri Sendiri
Selain fokus yang telah dinyatakan, nilai kejujuran juga perlu meliputi 'jujur kepada diri sendiri' bagi membuka ruang untuk manusia bertindak jujur kepada orang lain atau lain-lain elemen. Jujur pada diri sendiri meliputi apa sahaja yang dilakukan dalam kehidupan seharian samada dalam mengerjakan amal ibadah, bekerjaya dan mengisi keperluan kehidupan. Wajar dilaksanakan dengan 'jiwa' yang ikhlas tanpa diganggu-gugat oleh anasir-anasir yang boleh merosakkan diri sendiri. Ini bagi mengelakkan ketidakjujuran atau dengan kata lain berbohong atau menipu diri sendiri bagi tujuan-tujuan tertentu. Wajar diberi perhatian kerana perkara ini boleh berlaku walau tanpa disedari dan dilihat sebagai satu bentuk pengkhianatan kepada diri.
Ibadah
Tidak dinafikan bahawa dalam konteks Islam, manusia disarankan supaya melakukan kebaikan melalui ibadah dan pada masa sama menghindari keburukan. Ini adalah bagi memastikan kehidupan yang diberkati dan seterusnya menjamin kebahgiaan di dunia dan akhirat. Kejujuran dan keikhlasan amat diperlukan dalam melaksanakan kebaikan dan menghindari keburukan tersebut. Di mana ia tidak perlu bersifat menunjuk-nunjuk dan berpura-pura seolah-olah 'terpaling' baik. Sikap seperti ini adalah satu pembohongan bukan sahaja kepada diri sendiri dan orang lain malah pastinya kepada Allah s.w.t. Jika tersasar melakukan keburukan sekalipun, manusia diwajibkan bertaubat dan menyesal bersungguh-sungguh terhadap dosa yang dilakukan. Dalam hal ini, selain kepada Allah s.w.t manusia seharusnya jujur kepada diri untuk tidak mengulanginya dan seterusnya membawa diri kepada standard yang lebih baik.
Manakala dalam aspek lain, nikmat adalah anugerah atau kurniaan Allah s.w.t kepada manusia dan ia datang dalam pelbagai bentuk. Rasionalnya manusia perlu memanjatkan rasa kesyukuran di atas kurniaan tersebut supaya dengan 'rasa' dari kenikmatan itu akan mendekatkan lagi manusia dengan Allah s.w.t. Harus selalu bersyukur dengan nikmat dan rezeki yang dianugerahkan selain mempergunakan ia kepada perkara-perkara yang memberi kebaikan. Memandangkan nikmat Allah s.w.t dianugerahkan secara individu maka manusia perlu jujur dalam mempergunakan nikmat tersebut sebagai satu penghargaan kepada pemberinya. Sikap tidak menghargai anugerah Allah s.w.t adalah termasuk dalam 'khufur nikmat' yang boleh memberi implikasi buruk dalam kehidupan.
Bekerjaya
Melakukan pekerjaan bagi menghasilkan kehidupan yang baik adalah sesuatu yang dituntut. Asalkan pekerjaan yang dilakukan tersebut selari dengan anjuran Islam dan dikerjakan dengan mendahulukan perkara-perkara yang wajib. Bersikap jujur dan amanah dalam pekerjaan amat dituntut selari dengan balasan yang diterima berupa 'upah' di dunia dan 'pahala' di akhirat. Namun begitu, pekerjaan yang dilaksanakan sambil lewa, acuh tak acuh dan tidak serius yang membawa kepada 'janji siap' atau 'seadanya' pastinya tidak berbaloi dengan upah dan pahala yang diterima. Apatah lagi sekiranya urusan kerja tersebut tidak selesai, sering mencuri masa atau 'culas' untuk hadir bekerja. Natijahnya, pasti berlaku pembohongan yang berlipat kali ganda. Hal ini dilihat sebagai tidak jujur kepada diri sendiri dan keluarga malah organisasi dan agama memandangkan Islam mengiktiraf pekerjaan sebagai suatu ibadah.
Keperluan Hidup
Dewasa ini ramai yang berlumba-lumba mengejar kehidupan dunia sehingga terpalit dengan keinginan memiliki sesuatu melebihi dari kemampuan. Masing-masing bekerja mengatasi normalisasi demi mengisi keperluan tersebut. Namun perlu berhati-hati kerana dibimbangi akan menyebabkan diri hanyut sehingga wujud elemen 'kejar dunia tapi tinggal akhirat' selain risiko mengganggu prinsip hubungan dengan tuhan dan menjejaskan institusi kekeluargaan apabila siang malam memikirkan tentang bagaimana mahu mendapatkan lebih pendapatan. Dalam perkara ini, Islam menganjurkan amalan yang tidak berlebihan dan sebaiknya adalah bersedarhana. Tidak perlu mengikut cara hidup orang lain sebaliknya 'mengukur baju di badan sendiri'. Manusia perlu jujur dan adil kepada diri sendiri selain menjadi diri yang sebenar dengan merancang kehidupan mengikut kemampuan masing-masing. Jika mampu, go ahead tetapi jika tidak mampu jangan mengambil tindakan yang bakal membawa padah. Tidak perlu mendustai diri sendiri semata-mata untuk menunjukkan sesuatu yang 'terpaling hebat' tetapi hakikatnya is nothing.
Akhir Kalam
Ini adalah sebahagian dari senario sifat jujur kepada diri sendiri. Situasi yang luas keadaannya tetapi sangat 'dekat' dan dilakukan 'acap kali' dalam kehidupan seharian seseorang individu iaitu beribadah, bekerjaya dan mengisi keperluan kehidupan. Namun, masih banyak perkara lain yang memerlukan 'sentuhan' kejujuran dalam kehidupan. Seeloknya jujur lah pada semua dan 'paling tidak' kepada diri sendiri supaya kehidupan akan lebih tenang, damai, selamat dari bahaya dan diberkati. Mengungguli kebaikan pahala sebanyak mungkin sementara masih lagi dikurniakan 'nafas' yang menjadi hak mutlak Allah s.w.t kerana sesungguhnya "kejujuran membawa kepada kebaikan, dan kebaikan menghantar seseorang ke syurga" (Hadis Riwayat Muslim). Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor
Asalamulaikum , teruskan menulis kerana seronok saya membacanya . Ada rasa ketenangan terselit balik bait-bait ayat dan ada pengajaran yang boleh menyedarkan. Benarlah kata orang tua-tua dulu membaca itu makanan jiwa .
ReplyDelete