Skip to main content

MERDEKA 118 : STANDING IN THE EYES OF THE WORLD


Menara Merdeka 118 ikon kebanggaan

 Ikon

Menara Merdeka 118 merupakan 'ikon' terbaru negara yang bakal mengubah lanskap pembangunan ke arah kemajuan yang mampan. Ikon 118 tingkat yang berketinggian 678.9 meter tersebut merupakan bangunan tertinggi di Malaysia dan di Asia Tenggara. Manakala di dunia ia muncul sebagai menara kedua tertinggi selepas Burj Khalifa di Dubai. Sesuai dengan statusnya sebagai binaan pencakar langit sehingga boleh kelihatan dengan jelas sejauh lebih 30 kilometer. Pembinaan yang menelan kos sebanyak 5 bilion tersebut bakal menjadi pusat strategik pembangunan di kawasan sekitar Kuala Lumpur apabila beroperasi secara berperingkat kelak. Secara spesifik, ikon yang mula dibina pada tahun 2014 oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) tersebut dijangka akan merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan Petaling Street, Kampung Attap dan Pudu.

Unik...(Sumber - Wikipedia)

Dibina di atas tapak seluas 40 ekar, turut merangkumi pembangunan Stadium Merdeka dan Stadium Negara yang menjadi lokasi pengistiharan kemerdekaan Malaysia oleh Perdana Menteri pertama kira-kira 67 tahun yang lalu. Ikon tersebut membawa bersama keunikan senibinanya apabila diilhamkan sebagai Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sedang berdiri sambil mengangkat tangan ketika mengistiharkan kemerdekaan negara. Namun jika direnung, rekabentuk bangunan tersebut terlihat juga seperti telapak tangan sebagaimana gambaran tapak tangan sebenar almarhum ketika melaksanakan upacara gilang-gemilang tersebut. Apapun bentuk strukturnya, ia tetap sebuah binaan yang sememangnya unik dan menyumbang kepada rangkaian ikon-ikon menarik yang ada di sekitar ibu negara Malaysia.

Simbol

 Gah...menggapai awan(Sumber - Pengarang)

Kehadirannya dilihat bukan sekadar ikon tetapi merupakan simbol kebanggaan, kemegahan dan kegigihan keseluruhan 33.4 juta rakyat Malaysia. Bermula dari masyarakat yang serba kekurangan tetapi dengan semangat dan jati diri yang kental telah berjaya bangkit, berjalan, berlari dan kini 'melompat lebih tinggi' untuk menggapai sebuah impian. Membangun dalam mengejar kemajuan demi kemajuan untuk meletakkan negara dan entitinya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju lain. Walaupun terdapat bicara yang bernada sinis, namun ia hanyalah bersifat sementara kerana sejarah telah membuktikan bahawa setiap ikon yang wujud akan menjadi tumpuan juga suatu hari nanti tanpa mengira sudut pandang sebelum ini. Lihat sahaja kepada Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas dan yang terbaru Tun Razak Exchange (TRX) dengan bersandarkan tarikan tersendiri, ikon-ikon tersebut akan dikunjungi saban masa samada oleh masyarakat tempatan mahupun luar negara.

Ikonik (Sumber - Kosmo Digital)

Menara Merdeka 118 yang berkeluasan 292,000 meter persegi ini juga mengetengahkan simbol kesepaduan, persefahaman dan perpaduan rakyat berbilang kaum negara ini dalam mendukung aspirasi untuk meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara maju. Kesepaduan ini kemudiannya menjelmakan semangat kerjasama, saling membantu dan iltizam yang padu dalam melaksanakan apa sahaja perkara yang boleh membawa kebaikan kepada masyarakat dan negara. Saling berusaha dan bersaing secara sihat bagi memajukan diri dalam pelbagai bidang sehingga menjadi 'pencipta' teknologi untuk dimanfaatkan di dalam setiap ruang kehidupan. Kelebihan yang dimiliki telah memungkinkan 'sesuatu' di luar kotak pemikiran sebelum ini dan secara tidak langsung membuka mata masyarakat dunia terhadap Malaysia. Ironinya, 'semangat' tersebut wajar diterus dan dikekalkan dalam menzahirkan sesuatu yang lebih bermakna pada masa depan.

Tanggungjawab

Namun, sebagai warganegara yang bermaruah dan patriotik, setiap kemajuan perlu dipertahankan dengan spirit yang ada. Bagaimana praktisnya untuk mempertahankan kemajuan tersebut? Dalam hal ini, tidak perlu tindakan yang bersifat agresif dan semberono sehingga boleh mendatangkan implikasi buruk tetapi dengan menggunakan pendekatan yang berhemah, bijaksana dan 'tenang' umpama 'menarik rambut di dalam tepung'. Memadai dengan menggunakan ilmu, jiwa dan spritual yang sudah sedia ada dalam diri masing-masing. Wajar diaprisiasikan melalui semangat cintakan negara, kesetiaan yang tidak berbelah bahagi dan menyumbang idea konkrit bagi memberi nilai tambah kepada kemajuan tersebut. Di sisi yang lain, bersama-sama mengelakkan perbuatan-perbuatan negatif yang boleh memberi impak kepada kemajuan yang ada dan seterusnya mencalar imej baik negara di mata dunia samada melalui perbuatan atau tuturkata secara nyata mahupun melalui 'papan kekunci' (keybord).

Megah...(Sumber - Pengarang)

Infrastruktur yang 'gah' sifatnya perlu disertakan dengan tahap pemikiran atau 'mentaliti kelas pertama' supaya pencapaian yang ada lebih dihormati seantero dunia. Dalam ertikata mudah, kemajuan yang ada perlu diiringi dengan masyarakatnya yang berpengetahuan, berdaya saing, berbudaya kerja cemerlang, berintegriti dan mempuyai kekuatan moral yang tinggi. Pencapaian berintensiti tinggi juga haruslah bersama amalan budaya murni dan tradisi turun temurun untuk diselarikan dengan kelebihan yang ada dari segi pembangunan metarialnya. Meskipun agak 'rumit' memandangkan fenomena dunia tanpa sempadan di mana wujud 'keterpaksaan' menerima tetapi ia perlu diinterpritasikan ke dalam acuan yang tersendiri. Hal ini bagi memastikan input yang diterima lebih bercorak local dan elastik di mana boleh digunakan dalam perbagai keadaan dan menjadi rujukan dalam mengharungi cabaran-cabaran mendatang. Nilai-nilai pesimistik, vendalisme, hedonisme dan jelek pula perlu di ketepikan kerana sedar atau tidak ia boleh memusnahkan identiti bangsa dan konsep bernegara. Pabila semuanya 'sempurna' maka rakyat Malaysia pastinya akan merasa bangga untuk merakam kenangan di ikon tersebut.

Harapan

Adalah menjadi harapan supaya kehadiran Menara Merdeka 118 mampu memberi nilai positif bukan sahaja kepada pembangunan ekonomi dan kemajuan yang berterusan tetapi bakal mengubah lanskap dunia yang terarah kepada Malaysia sebagai sebuah negara maju. Merupakan ikon kebanggaan dan menjadi simbol kepada kekuatan masyarakat Malaysia secara keseluruhannya. Namun bagi menjamin kemajuan secara berterusan, kekuatan aspek sikap dan nilai masyarakat juga perlu mengalami tranformasi bagi memastikan infrastruktur dan mentaliti bergerak selari dan mengelakkan 'indah khabar dari rupa' tetapi sama cantik, sama padan 'bagai pinang dibelah dua'.

'Berdiri di mata dunia' seharusnya menjadi matlamat setiap dari masyarakat Malaysia. Ikon dan simbol yang perlu dijadikan idola dan dipelihara bagi diwarisi kepada generasi akan datang. Rakyat Malaysia seharusnya berbangga dengan pencapaian-pencapaian yang mengatasi paradigma tanpa melupakan mekanisme untuk memanfaatkannya selain mengekalkannya sebagai sebahagian dari entiti kehidupan. Tahniah dan Syabas Malaysia. Wassalam.


Author : Hasron @ Kajang, Selangor
Sumber Fakta : Wikipedia

Comments