Skip to main content

CEGAH SEBELUM PARAH : MENGAPA PERLU KERJA LEBIH

Salam Keberkatan...

Pengertian

'Cegah Sebelum Parah' merupakan peribahasa Melayu yang disesuaikan kepada "menolak atau menghalang sesuatu daripada berlaku lebih buruk". Dua kata kunci dalam peribahasa ini adalah 'cegah' atau prevent yang membawa maksud tegah, halang; mencegah menghalang (menegah, menolak). Manakala 'parah' atau worse pula bermaksud susah, sukar, teruk (keadaan) (Kamus Dewan Edisi Keempat). Memberi gambaran terhadap suatu 'keadaan' yang boleh membawa 'keburukan' dan 'kesulitan' samada kepada diri, masyarakat, agama dan negara. Perlu memastikan keadaan tersebut tidak berlaku dengan mengutamakan elemen 'sebelum' melalui pendekatan yang sesuai selari situasi berbangkit. Ini kerana jika 'telah berlaku' mungkin agak sukar untuk kembali kepada sedia kala, menghalang kelancaran urusan dan seterusnya mendatangkan kemudaratan lebih besar.

Sinonim

Dalam Islam, elemen mencegah ini juga disentuh melalui istilah 'nahi munkar' yang membawa maksud mencegah manusia dari melakukan perkara mungkar atau yang ditegah oleh agama Islam. Ditegaskan dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah s.w.t bermaksud “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)”  (Surah A-Li' Imraan: 110). Selari dengan itu, Islam juga menekankan kepada tatacara mencegah keburukan atau kemungkaran sepertimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud “Sesiapa daripada kamu yang ternampak kemungkaran maka hendaklah dia mengubahnya atau mencegahnya dengan tangannya (kuasanya). Sekiranya dia tidak mampu dengan tangannya maka hendaklah dia mengubahnya (mencegahnya) juga dengan lidahnya. Jika dia tidak mampu juga maka dengan hatinya. Itulah selemah-lemah iman”  (Hadis Riwayat al-Muslim).

Urusan

Dalam masyarakat, cegah sebelum parah sangat popular bagi menggambarkan tindakan mencegah penularan 'penyakit' dari sudut amalan perubatan. Namun ungkapan tersebut sebenarnya turut melingkari ke segenap bidang kehidupan manusia meliputi kemanusiaan, keagamaan, kemasyarakatan, berorganisasi dan bernegara. Jika difokuskan kepada budaya organisasi, kaedah mencegah keburukan dan kesulitan dari berlaku atau dari terus berlaku sangat diperlukan terutamanya apabila melihat kepada cabaran dan demand luaran dan dalaman dasawarsa ini. Keperluan pencegahan dilihat dalam pelbagai fungsi dan peranan pemain organisasi seperti polis mencegah jenayah, bomba mencegah kebakaran, pengamal perubatan mencegah penyakit, penguasa agama mencegah kemungkaran dan banyak lagi. Masing-masing harus bertanggungjawab kepada fungsi dan peranan tersebut kerana pelanggan organisasi perlu diutamakan dalam apa jua keadaan sekalipun.

Tumpuan kepada cabaran dan demand

Selain entiti luaran, perhatian juga perlu terarah kepada mencegah keburukan atau kemungkaran yang mungkin akan berlaku di dalam organisasi sendiri. Hakikatnya keburukan boleh berlaku tanpa mengira masa, tempat atau siapa yang menguruskan sesuatu tugasan dalam sesebuah organisasi. Selagi manusia yang dilabelkan sebagai insan kerdil, tidak sempurna dan memiliki banyak kekhilafan selagi itulah kelemahan, kekurangan dan kemudaratan boleh berlaku. Di tambah lagi dengan wujudnya sifat-sifat tamak, rakus, kemaruk, individual dan seumpamanya yang bertapak di jiwa nurani manusia sejak azali. Implikasinya bukan calang-calang khususnya kepada organisasi dan pemainnya. Menyedari akan hal tersebut, maka akan lahirnya keperluan untuk mencegah sesuatu keburukan dan kemungkaran itu dari dibiarkan terus bermaharajalela.

Sembarangan

Kelemahan spritual manusia seperti leka, lalai, cuai, kurang peka dan tidak cakna dilihat menjadi pemangkin kepada gagalnya usaha mencegah sesuatu dari menular menjadi lebih buruk. Lebih malang apabila ada sesetengah pemain organisasi bersikap semborono apabila mengambil pendekatan berbeza dengan membiarkan sesuatu terjadi terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan sewajarnya. Dalam hal ini, kenapa perlu 'kerja lebih' sedangkan hasilnya belum tentu mendatangkan sesuatu yang 'positif' kerana seolah-olah 'berjudi' dengan nasib. Tidak perlu ego, sombong, bongkak atau over confidence kerana seeloknya mencegah dahulu sebagaimana yang disarankan. Seandainya sudah berlaku maka banyak perkara perlu difikirkan meliputi mekanisme untuk menanganinya, merancang kontingensi dan strategi untuk mengelakkannya dari berulang. Pastinya banyak masa, tenaga dan wang ringgit terpaksa digunakan untuk menguruskan sesuatu yang sepatutnya dapat dielakkan lebih awal. Di akhirnya nanti terpaksa meletakkan pemain dan organisasinya dalam keadaan 'untung sabut timbul, untung batu tenggelam'. Justeru jangan membiarkan impian murni organisasi hancur luluh dek kerana sifat dan sikap pemainnya yang tidak mengambil berat terhadap pengurusan pencegahan ini.

Mengatasi

Umumnya, kegagalan elemen pencegahan oleh pemain organisasi adalah disebabkan sikap kontradik spritual yang membawa kepada tidak mahu berfikir di luar kotak, ketandusan idea, gagal membuat penilaian dan kurang bijak dalam mengandaikan sesuatu 'kemungkinan' yang bakal berlaku. Namun demikian, berbekalkan kepesatan teknologi, pengalaman dan tahap pengetahuan yang diperolehi secara formal mahupun informal pastinya setiap unsur negatif boleh dikenal pasti sedari awal untuk ditangani dengan baik. Tambahan pula manusia dikurniakan 'akal' yang berfungsi untuk berfikir bagi menjana hasil yang lebih sempurna. Cegah sebelum parah dan nahi munkar sangat positif sifatnya dan wajar dijadikan panduan dalam berdepan dengan keadaan yang pelbagai di persekitaran organisasi. Inisiatif ini demi meletakkan organisasi di tahap terbaik dan selari dengan usaha mencapai matlamat yang disasarkan. Sudah menjadi kewajipan manusia dalam mengenal pasti dan mencegah segala keburukan dan kemungkaran dari terus berlaku sehingga menjadi parah. Tidak perlu kerja lebih tetapi amalkan smart working dan meletakkan agama sebagai landasan dalam berkerjaya. Wassalam.

Smart Working...mengesan sebarang keburukan

Author : Hasron @ Kajang, Selangor

Comments