Skip to main content

GENERASI Z : PERSPEKTIF ORGANISASI DAN ISLAM

Salam Keberkatan...

Generasi -

Generasi diistilahkan sebagai kumpulan individu yang lahir pada waktu yang lebih kurang sama. Juga bermaksud tahap atau peringkat kemajuan atau perkembangan (Kamus Dewan Edisi Keempat). Garis pengenalan bagi setiap generasi ditentukan melalui pembahagian tahap umur, tahun kelahiran dan perkembangan persekitaran yang terdapat dalam tempoh masa tertentu. Dalam dunia kekinian, hasil dari pembahagian tersebut telah melahirkan generasi yang dipanggil Baby Boomers, Generasi X, Generasi Y, Generasi Z dan Generasi Alpha yang mendominasi zaman masing-masing. Di kalangan generasi yang ada, Generasi Z atau Gen Z adalah golongan yang terkedepan dalam kelasnya tersendiri memandangkan Alpha rata-ratanya masih lagi di peringkat belasan tahun.

Generasi Z

The Future Assets 

Menurut Wikipidia Bahasa Melayu, pakar demografi dan penyelidik menggunakan tarikh kelahiran di antara pertengahan tahun 1990an sehingga awal 2000an bagi menggambarkan had umur Generasi Z. Jika fakta ini diambil kira, ketika ini di kalangan mereka adalah berusia di antara 24 hingga 34 tahun. Elok kiranya melihat generasi ini melalui skop yang lebih kecil supaya mudah difahami iaitu dalam konteks organisasi berbanding dalam kehidupan bernegara yang lebih luas sifatnya. Penelitian kepada latar Generasi Z sedikit sebanyak mencerminkan situasi dalam organisasi dewasa ini. Golongan ini telah berada dalam organisasi lebih kurang 6 hingga 15 tahun jika mengambil kira dari lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), diploma dan ijazah. Masih lagi dianggap muda sekiranya had usia persaraan 60 tahun diambil kira iaitu 26 hingga 36 baki tahun bekerja. Mereka dianggap sebagai the future assets kepada pelbagai sektor organisasi samada awam mahupun swasta. Perjalanan mereka masih panjang dan bakal mengharungi pelbagai cabaran mendatang yang pastinya lebih hebat dari zaman sebelumnya.

Ciri-Ciri Generasi Z

Ciri-ciri Generasi Z umumnya telah banyak membantu organisasi untuk mengharungi cabaran mencapai matlamatnya dalam kepelbagaian jangkamasa. Sangat mahir dan advance dalam penggunaan teknologi digital arus perdana. Kebanyakannya memperolehi pengetahuan teknologi secara formal selari dengan perkembangan dunia pendidikan di era mereka. Sangat membantu melaksanakan tugasan organisasi yang kini rata-ratanya menggunakan aplikasi atau perisian yang sukar dimiliki secara tuntas oleh Generasi X dan Generasi Y. Orang lama akan 'goyang' sekiranya generasi ini tidak ada dalam organisasi. Mereka hanya boleh memberikan idea berdasarkan pengalaman tetapi 'cetek' dari aspek praktisnya. Selain kelebihan tersebut, mereka juga dilihat memiliki sifat-sifat global dan sejagat. Keadaan ini adalah hasil dari kemajuan maya di mana semua maklumat boleh di akses di hujung jari. Kelebihan ini sedikit sebanyak akan membantu mevariasikan skop penugasan mereka dalam organisasi. Ditambah pula dengan sifat cepat belajar dalam pelbagai jurusan yang diperolehi dari apa yang dilihat dan dirasai di persekitaran mereka.

Suka Gejet

Namun dari perspektif sebaliknya, ciri-ciri Generasi Z juga akan memberikan cerminan 'kurang manis' samada secara langsung atau tidak langsung kepada organisasi. Mereka ini terdedah kepada sifat suka melawan, membantah dan membangkang terhadap sesuatu khususnya jika tidak menyebelahi mereka. Ragam sifatnya dan kadang kala sukar untuk dimengerti terhadap berbagai kondisi perbuatan dan pertuturan mereka. Kebanyakannya sangat suka bersosial samada secara langsung mahupun di alam maya. Banyak menghabiskan masa terluang 'melepak' dengan rakan-rakan sebaya dan sangat suka dengan 'gajet'. Keadaan ini boleh berlaku tanpa mengira status mereka dalam organisasi. Ciri-ciri seperti ini jika tidak dikawal akan mendatangkan kesan kurang baik kepada pembangunan kendiri, kerjaya dan semestinya dalam kehidupan.

Membantah...

Hakikat Dalam Organisasi

Realitinya kebanyakkan organisasi menghadapi situasi yang hampir sama jika dilihat kepada personality dan life style Generasi Z. Dalam memperincikan perkara ini, elok kiranya generasi ini dipecahkan kepada dua kategori. Pertama terdiri dari mereka yang berpotensi dan berprestasi dalam pelaksanaan kerja tetapi dalam 'keadaan tertentu' mempunyai sifat-sifat kurang membina. Bukan masalah disiplin atau integriti yang nyata tetapi lebih kepada perspektif dalaman, prinsip dan pegangan. Antaranya seperti tidak memberi komitmen dalam program-program organisasi sebaliknya suka buat hal sendiri atau 'ikut kepala sendiri'. Di posisi lain sangat mementingkan hak mereka walaupun sedikit memberi sumbangan. Suka mempertahankan pendapat walaupun tidak semestinya betul dan pada masa sama membantah jika ada perkara yang tidak menguntungkan mereka. Potensi dan prestasi mereka akan mewujudkan situasi keliru, kabur dan tidak jelas berkaitan tindakan susulan yang wajar diambil oleh organisasi terhadap mereka.

Realiti Organisasi

Kedua adalah mereka yang kurang berprestasi atau prestasi 'ala kadar' sahaja. Mereka dalam kategori ini tidak berselindung atau secara terang-terang melakukan perbuatan yang bertentangan nilai dan perlanggaran undang-undang seperti menyalahgunakan teknologi bagi tujuan tertentu, penglibatan dalam penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang serta penglibatan dalam perlakuan jenayah lain. Dari sudut tugas, mereka ini akan mengikuti apa sahaja arahan yang diterima dan buat apa yang disuruh tetapi dalam keadaan tertentu terdorong melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan kesan negatif. Situasi luar jangka namun kehadiran mereka boleh dikesan mengikut kaedah-kaedah pengurusan sumber manusia sesebuah organisasi.

Kesan Kepada Organisasi

Fenomena pertentangan dalam Generasi Z diibaratkan sebagai 'duri dalam daging' kepada organisasi memandangkan mereka ini adalah pewaris kepada kesinambungan organisasi pada masa depan. Malang sekali jika kelebihan yang ada pada mereka tidak boleh digunakan seratus peratus demi pembangunan organisasi dan seterusnya kemajuan negara. Malah menjadi 'perosak' kepada orang lain dan 'liabiliti' kepada pengurus organisasi untuk menangani masalah yang wujud sedangkan banyak masa, tenaga dan wang ringgit boleh digunakan untuk memastikan organisasi mencapai matlamat utamanya. Sebahagian besar organisasi telah memperuntukan sumber kewangannya pada setiap tahun semata-mata bagi tujuan pembangunan insan dengan objektif melahirkan pekerja yang berkeperibadian dan berketerampilan. Namun tidak semuanya berjaya secara total disebabkan complexity dan habit Generasi Z ini. Malah mereka makin memberi impak terutamanya kepada lain-lain elemen dalam organisasi sebagaimana peribahasa 'akibat nila setitik, rosak susu sebelanga'. Pastinya keburukan yang dicetuskan akan mengakibatkan hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap organisasi terutamanya oleh pelanggan, pemain industri, kerajaan dan rakyat keseluruhannya. 

Complexity

Mengatasi Kelemahan Dengan Islam

Hakikatnya apa yang berlaku kepada setiap generasi akan berubah mengikut peredaran masa, tahap pemikiran dan trend persekitaran yang mudah mempengaruhi mereka. Uniknya perubahan terjadi di luar jangkauan apabila ada ketikanya boleh berundur semula ke belakang. Namun, terdapat satu perkara yang tidak akan berubah malah kekal selamanya yakni Islam. Bukan sekadar kekal malah agama yang benar, diredai, tinggi kedudukannya dan syumuliyatul minhaj. Perkara ini dijelaskan melalui Al-Quran dan Al-Hadis sebagaimana Firman Allah s.w.t bermaksud “Sesungguhnya hanya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam…” (Surah A-Li' Imraan: 19). Manakala dalam Surah Al-Maa'idah ayat 3 Allah s.w.t berfirman "Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu...". Sementara itu, Rasulullah s.a.w juga menjelaskan kedudukan Islam menerusi sabdanya bermaksud “Islam itu tinggi dan tidak ada yang mengalahkan ketinggiannya" (Hadis Riwayat Al-Baihaqi).

Sebagai golongan muda, Generasi Z perlu menjalani kehidupan berteraskan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah dari sekecil hingga sebesar-besar perkara samada dalam pekerjaan mahupun amalan dalam kehidupan. Peranan mereka sangat penting sepertimana rata-rata sahabat Rasulullah s.a.w yang bersama berjuang di zaman permulaan Islam dahulu terdiri dari kalangan pemuda yang berusia dari 20 hingga 40 tahun. Meletakkan pekerjaan sebagai ibadah dengan menjunjung sifat jujur dan ikhlas dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Pada masa sama mempraktik nilai murni dan etika Islam dalam semua urusan kehidupan. Memperkuatkan spritual dengan amalan-amalan fardu yang memperkukuhkan jiwa dan emosi. Menghindari dari melakukan perkara-perkara yang merosakkan diri dan orang lain apatah lagi memutuskan silaturrahim dan menggugat keharmonian masyarakat. Selain berpegang kepada amar makruf dan nahi mungkar iaitu mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Berpegang teguh kepada ajaran Islam akan dapat menghindar diri dari keadaan ketidaktentuan hidup dan mengelakkan dari kerugian di akhirat kelak seperti Firman Allah s.w.t bermaksud “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi" (Surah A-Li' Imraan: 85).

Akhir Kalam

Sebagai generasi terkedepan, Generasi Z perlu bijak mendefinisi dan menerima setiap apa yang ada dalam persekitaran kehidupannya. Tidak perlu berkiblatkan tradisi ciptaan manusia terutamanya perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan keburukan. Sewajarnya melihat kepada elemen-elemen terkini yang cocok dengan ajaran Islam, prinsip berorganisasi dan keperluan negara bangsa. Namun, semuanya bergantung kepada empunya diri untuk meletakkan sesuatu di tempat yang sewajarnya dan memilih mana yang 'hak' mana yang 'batil'. Sesungguhnya anugerah akal membuatkan manusia dilabelkan sebagai makhluk yang sempurna. Maka pergunakan kesempurnaan tersebut sebaiknya ke arah yang ditentukan. Semoga dengan capability yang dimiliki akan membantu memberi nilai tambah kepada kekuatan organisasi dan seterusnya menyumbang kepada kesejahteraan agama, masyarakat dan negara selain menjadi model kepada generasi berikutnya. Menyedari perkara tersebut maka seeloknya 'tepuk dada tanyalah iman'. Wassalam.

Alpha

Author : Hasron @ Kajang, Selangor
Ilustrasi : Amir Rodof

Comments