Skip to main content

KUALA LUMPUR : SEMAK IMBAS 50 TAHUN

 

Semak Imbas 50 Tahun...

Latar

Salah satu keistimewaan tahun 2024 adalah Sambutan Jubli Emas pengisytiharan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan. Membawa 'prestij' tersendiri selepas 50 tahun Perjanjian Penyerahan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan yang ditandatangani pada 1 Februari 1974. Persefahaman di antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan tersebut telah tercatat dalam tinta sejarah negara yang terpelihara sehingga kini. Pada dasarnya, inisiatif ini adalah bagi melancarkan pentadbiran negara dengan memusatkan Kuala Lumpur sebagai ibu negara Malaysia. Semenjak itu, Kuala Lumpur terus menerobos masa depannya yang gemilang walaupun ada ketikanya sedikit tersentak akibat permainan emosi yang tidak bertepi segelintir masyarakatnya.

Metropolis

Kuala Lumpur dan sekitarnya juga dikenali Lembah Klang atau Klang Valley yang meliputi kawasan di pinggirnya sehingga ke Rawang di sebelah utara, Sepang di sebelah selatan, Klang di sebelah barat dan Ampang di sebelah timur.  Manakala dari aspek populasi pula, menurut World Population Review, anggaran penduduk Kuala Lumpur pada tahun 2024 adalah sebanyak 8.8 juta orang. Kawasan liputan dan populasi tersebut melayakkannya dikenali sebagai metropolitan yang mana dari sudut istilah membawa maksud berkaitan dengan atau mempunyai ciri metropolis yang terdiri daripada bandar raya dan kawasan pinggir bandar (Kamus Dewan Edisi Keempat). Sebuah metropolis biasanya merupakan pusat ekonomi, politik dan budaya serta mempunyai hubungan penting dalam komunikasi serantau dan antarabangsa.

Metropolis...

Transisi

Pembangunan Kuala Lumpur dilihat setanding dengan ibu kota negara-negara maju yang lain. Berlaku dalam pelbagai jenis sektor dan jurusan serta nyata berbeza jika dibandingkan dengan tempoh masa sebelumnya. Evolusi ampuh dan berada di hadapan mata direalitikan melalui kemunculan satu demi satu ikon kebanggaan seperti Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas, Menara Exchange 106 dan terbaru Menara Merdeka 118 yang kini antara monumen tersohor seantero dunia. Ditambah pula dengan kemunculan gedung-gedung membeli belah yang terkenal di peringkat glocal bermula dari The Store, OU Superatore, Hankyu Jaya, The Mall, Kompleks Pertama dan Kompleks Sogo sehingga kepada Mid Valley Megamall, Suria KLCC, Pavilion dan Lalaport. Selain mencitrakan makna pembangunan, kemewahan dan elegant, kemunculan ikon-ikon tersebut juga berfungsi menjana ekonomi masyarakat, kawasan persekitaran dan negara amnya.

Kemajuan dan pembangunan ampuh...

Sistem pengangkutannya pula telah banyak berubah. Dari era Bas Mini yang bermula pada tahun 1975 sehingga era Rapid Bus yang dikendalikan Syarikat Prasarana Negara Berhad sejak tahun 2003. Manakala dari sudut sistem 'rel' pula, dari rangkaian tradisional yang bermula pada tahun 1886 sehingga teknologi berasaskan kabel atau funicular seperti ERL, LRT, MRT, ETS, Monorel dan Komuter. Lebih advance apabila kemajuan tersebut digabung jalinkan dengan sistem lebuhraya moden samada di bawah, di permukaan sehingga bertongkat untuk menjulang ke angkasa. Bukan juga sekadar daratan malah tranformasinya juga menjalari pengangkutan di udara dan di air. Kemajuan yang tercipta bukan hanya sebagai status dan lambang kecanggihan malah menjadi nadi kepada perkembangan ekonomi dan sosial masyarakat Malaysia keseluruhannya. Namun umumnya, sudut transisi ini tidak terfokus kepada kemajuan dan pembangunan fizikal dan ekonomi semata-mata malah turut mencakupi elemen-elemen sumber manusia, pentadbiran, perkhidmatan, inovasi, digital dan lain-lain.

Canggih...

Warisan

Pembangunan dan kemajuan Kuala Lumpur dilihat berada dalam kelas tersendiri. Asas yang penting adalah tidak mengenepikan nilai estetika dan keunikan senibina persis beberapa ibu kota ternama dunia lain di samping menyusuri arus permodenan. Mengekalkan senibina kolonial seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Kelab Diraja Selangor, Stesen Keretapi Kuala Lumpur dan lain-lain selain mempertahankan senibina tradisional warisan Melayu dan Islam seperti Bangunan Tabung Haji, Bangunan Daya Bumi, Masjid Negara, Perpustakaan Negara, Istana Budaya dan beberapa imej lain. Penting untuk menjadi rujukan dan tatapan generasi muda supaya nilai sejarah bangsa terus mekar di kalangan warga. Wajar untuk terus dipelihara dan kapasiti infrastrukturnya ditingkatkan dari masa ke semasa khususnya dalam mendepani ekpektasi dan kehendak warga yang tidak terbatas. 

Warisan...

Peta Dunia

Umpama dalam hati ada taman, begitu juga digambarkan kepada Kuala Lumpur sebagai ibu kota cinta. Di sini berputiknya cinta dan seterusnya mencipta jodoh bagi menambah kemeriahan Kuala Lumpur. Pastinya tidak lupa kepada lokasi-lokasi 'janji temu' yang sering menjadi tumpuan seperti Kotaraya, Puduraya, Central Market (Pasar Seni), Taman Tasik Perdana, Taman Tasik Titiwangsa, Taman KLCC dan lain-lain. Lebih lagi apabila penangan cintanya juga telah memberi inspirasi kepada pencipta lagu untuk melahirkan ceritera cinta melalui bait-bait indah nada cinta di Kuala Lumpur sambil berkongsi aspirasi serasi dengan keindahannya. Antara lagu-lagu yang menggunakan latar tema Kuala Lumpur adalah 'Senyumlah Kuala Lumpur', 'Air Mata Di Kuala Lumpur' dan 'Hujan Bunga Di Kuala Lumpur'. Tambah menarik apabila turut digemari oleh pencipta lagu dari tanah seberang melalui lagu 'Senja Di Kuala Lumpur' lantunan penghibur Broery Marantika.

Latar filem antarabangsa (kredit bluray.com)

Bukan hanya sekadar lagu, Kuala Lumpur juga senonim dalam pembikinan karya-karya filem dan drama tempatan mahupun antarabangsa. Bukan sekadar tajuk tetapi banyak naskah filem menggunakan latar lokasi Kuala Lumpur sebagai nilai tambah kepada keunikan naskah berkenaan. Antaranya seperti KL Gangster, KL Menjerit, Roda-Roda Kuala Lumpur malah filem antarabangsa antaranya seperti Police Story III, Young & Dangerous 5, Entrapment, Don, The Viral Factor dan Blackhat. Cetakan pada tajuk dan tema, telah membuktikan bahawa masyarakat dunia mengenali Kuala Lumpur sebagai sebuah lokasi yang berada di peta dunia. Hakikat ini secara tidak langsung telah melonjakkan nama Kuala Kumpur sebagai destinasi yang bukan sekadar perlu dikenali atau dikunjungi malah umumnya menjadi center kepada aktiviti geo ekonomi dan geo sosial masyarakat dunia.

Simbol

Di sebalik kemajuan, pembangunan dan tersohornya nama Kuala Lumpur, terselit pelbagai 'rasa' khususnya di kalangan pemastautinnya. Merupakan simbol kepada sebuah keberanian dan pengorbanan yang menzahirkan suka duka sebuah coretan kehidupan. Menghabiskan sebahagian atau sepenuhnya usia kehidupan di Kuala Lumpur samada berstatus 'Orang KL' atau 'Anak Perantau' demi mencari dan memenuhi tanggungjawab insani. Peralihan generasi demi generasi, pastinya meninggalkan seribu satu pengalaman dan kenangan yang bukan 'kaling-kaling' sifatnya. Pahit manis dan susah senang bercampur baur, namun keberanian dan kecekalan menyahut cabaran metropolis adalah sesuatu yang wajar dihormati. Apa tidaknya, saban hari mengadap kesesakan lalu lintas, berdepan dengan public congestion, peningkatan kos sara hidup, masalah sosial, sistem nilai dan pelbagai rencah ragam kehidupan di metropolis Kuala Lumpur. Namun diakhirnya nanti, pengalaman tersebut menambahkan lagi kematangan kendiri dan seterusnya menyumbang kepada masyarakat Malaysia yang berdaya tahan, dinamik dan progresif.

Simbol keberanian dan kecekalan...

Kualiti

Dewasa ini, rata-rata kemajuan yang dicapai adalah bersifat metarial atau secara fizikal yang dapat dilihat dengan mata kasar. Perkembangan tersebut mahu atau tidak perlu juga digandingkan dengan kualiti atau standard mentaliti masyarakat yang mempelopori metropolis Kuala Lumpur. Sejujurnya sebagai warga yang patriotik, pastinya kita tidak mahu metropolis bertaraf dunia namun tidak setara dengan style hidup masyarakatnya. Dengan kata lain 'infrastruktur kelas pertama tetapi mentaliti kelas ketiga'. Ini kerana tahap pemikiran dan spritual segelintir warga masih berada di takuk lama, tiada momentem untuk berubah dan masih jauh dari status masyarakat maju. Isu-isu vendalisme, hedonisme, pergaulan bebas, jenayah dan penyalahgunaan dadah masih berlarutan seolah tiada titik nokhtah. Tidak kurang juga masalah kerohanian meliputi sikap individualistik, pesimistik, egoistik, semberono, prejudis, ketidakstabilan emosi dan kecelaruan stress yang boleh menjadi duri dalam daging. Jika dikaji dengan mendalam pastinya masih banyak homework yang perlu dilaksanakan oleh pihak berkaitan demi meletakkan wadah agama, etika hidup dan minda masyarakat sebagai pemangkin kepada kemajuan dan pembangunan Kuala Lumpur dalam jangka panjang.

Cabaran kepada kualiti kehidupan...

Harapan

Kuala Lumpur, nama yang cukup gah dan hebat dengan kekuatan tersendiri. Mengalami transisi kemajuan yang cukup pantas dan tuntas bersama nolstalgia yang sangat panjang untuk diperinci satu persatu. Dikenali bukan sahaja di rantau 'sebelah sini' tetapi di seluruh pelusuk dunia melalui peranan, keterampilan, sumber dan identitinya. Sentiasa hidup dengan pembangunan yang tidak pernah terhenti selain diserikan masyarakatnya yang kaya dengan nilai dan budaya dalam pelbagai corak. Menjadikannya sebagai ikonik yang perlu dipertahankan untuk diwarisi kepada anak cucu di masa depan. Semoga Kuala Lumpur akan terus berperanan sebagai solvent membawa negara dan masyarakatnya melangkah bergaya ke hadapan. Bukan sekadar untuk 50 atau 100 tahun mendatang malah untuk selamanya. Selamat Hari Wilayah 2024. Wassalam.


Author : Hasron - 25 Tahun @ Jalan Semarak, Selayang, Pantai Dalam, Kajang.

Comments