Salam Keberkatan... |
Fokus
Masalah sosial adalah gejala dalam masyarakat yang semakin kronik dewasa ini. Biasanya terfokus kepada 'golongan remaja' yang diandaikan sebagai mulai dewasa atau sedang menuju ke tahap menjadi dewasa dan masih di alam pembelajaran. Namun, perkembangan terkini mendapati gejala ini turut meresapi 'golongan dewasa' yang merujuk kepada seseorang yang berumur 21 tahun ke atas di mana segelintirnya sudah berkerjaya dan pastinya boleh dikira matang dalam segala hal berkaitan kehidupan. Umumnya kombinasi kedua-dua peringkat biologi manusia ini, mereka masih boleh dikategorikan sebagai 'generasi muda' yang akan mewarisi kesinambungan negara bangsa kelak. Sejujurnya penglibatan mereka akan memberi kesan langsung kepada institusi pendidikan dan organisasi pekerjaan yang diwakili. Malah lebih membimbangkan turut mendatangkan implikasi buruk kepada agama, masyarakat dan negara dalam jangka masa panjang.
"Gejala: tanda-tanda (akan terjadinya sesuatu), alamat atau petanda - Kamus Dewan Edisi Keempat"
"Sosial: segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat, kemasyarakatan - Kamus Dewan Edisi Keempat"
Faktor Dan Inisiatif
Banyak faktor yang menjadi punca kepada tercetusnya masalah ini terutamanya kepincangan kendiri, kekeluargaan, rakan sebaya dan persekitaran yang rata-rata berkiblatkan 'nafsu' dari mementingkan 'akal' dan 'kewarasan'. Dalam menangani masalah ini, pihak-pihak berkaitan telah berganding bahu merangka, merancang dan melaksanakan program yang bermatlamat melahirkan generasi yang bebas gejala sosial. Program-program yang dilaksanakan tersebut terarah kepada pembinaan insan, pengukuhan semangat, penajaman minda, pembangunan rohani dan pemantapan motivasi diri dengan tujuan melahirkan generasi muda yang berakhlak, bermoral dan berketerampilan. Manakala dari sudut material pula, jumlah wang ringgit yang laburkan dalam melaksanakan program tersebut bukan sedikit jumlahnya. Malangnya, walau pelbagai idea dicetuskan, banyak program dilaksanakan, banyak tenaga dicurahkan dan banyak kos dilaburkan namun masih gagal mencapai objektifnya. Permasalahan keruntuhan sosial, kurang ketahanan diri, terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah, penagihan dadah dan alkohol, mencabuli hak individu, kemanusiaan dan prinsip keagamaan sejati generasi muda masih berterusan malah tambah membimbangkan.
"Gejala Sosial: merupakan fenomena modenisasi dan kejutan budaya yang melanda golongan remaja dan belia - Mohd Fadzil & Ahmad Rashid, 2006"
Spritual
Persoalannya, adakah perlaksanaan program motivasi dan pembinaan kendiri tersebut mempunyai cacat cela atau adakah nilai pembangunan mapan di persekitaran menyebabkannya terjadi? Meskipun 'ada', namun menyalahkan elemen ini seratus peratus adalah satu kesilapan kerana yang menentukan sama ada berguna atau tidak dan baik atau buruk sesuatu itu adalah eleman spritual seseorang. Ini bermakna, dalam mencari penyelesaian tuntas kepada masalah sosial generasi muda, 'penghayatan' atau appreciation terhadap aspek 'kerohanian' meliputi hati, perasaan, emosi dan akal perlu didahulukan sebelum diterjemahkan kepada 'gerak laku' atau amalan. Juga penghayatan terhadap agenda program perlu diutamakan supaya ia memberi tahap effectiveness yang tinggi. Jika ini mampu diaprisiasikan maka tidak wujud tanggapan hadir program bagi mengisi 'jumlah kehadiran' semata-mata atau bagi mengelakkan 'tindakan susulan' atau kerana 'diarahkan' semata-mata tanpa ada kesedaran 'mengapa perlu hadir'.
"Masalah Sosial: merangkumi berbagai perlakuan negatif anggota masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan dalam sesuatu masyarakat ataupun negara - Adela, Cassandra, Esther"
Penghayatan
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, penghayatan berasal daripada perkataan hayat yang bermaksud perihal menghayati, perihal mengalami dan merasai dalam batin manakala amalan pula diertikan sebagai sesuatu yang dilakukan (dilaksanakan, dikerjakan dan sebagainya) sebagai sesuatu kebiasaan. Dalam konteks generasi muda, penghayatan diperlukan untuk mendalami sesuatu dalam diri, apa yang 'diterima' dan agen membezakan baik atau buruk terhadap apa yang ada di persekitaran terutama penyumbang kepada kegawatan yang mereka hadapi. Walaupun sesuatu perkara itu tidak menampakkan 'impak' secara jelas tetapi dengan adanya pengamatan menggunakan mata hati yang jitu, perkara negatif boleh dikenal pasti dan dielakkan daripada berlaku dalam kehidupan seharian. Mengamati perkara-perkara yang baik dan seterusnya mengamalkannya akan menjadi nilai tambah kepada melahirkan individu yang sincerely dan perfect.
"Gejala Sosial: adalah peristiwa-peristiwa yang terjadi di antara dan oleh manusia, baik secara individu mahupun secara kelompok - Gulo"
Diduksi
Dalam merencanakan kelahiran generasi yang berkeperibadian, berketerampilan, berwawasan dan matang, pendedahan kepada nilai keagamaan, etika dan moral tidak boleh dikesampingkan. Nilai seperti ini perlu menjadi tunjang kepada pelaksanaan program pembangunan insaniah generasi muda dengan hasrat supaya ia boleh menjadi panduan dalam kehidupan. Bagi mencapai tujuan murni ini, penghayatan golongan sasaran kepada etika berkenaan harus direalisasikan dan seterusnya dilaksanakan sebagai amalan seharian. Penghayatan terhadap sesuatu sebelum mengamalkannya adalah formula penting dalam proses mendidik generasi muda. Penghayatan tanpa amalan adalah satu kerugian manakala amalan tanpa penghayatan adalah satu pembaziran. Penghayatan dan amalan harus seiring dan koordinasinya penting bagi memastikan apa yang dilihat, didengar dan dipelajari dapat diletakkan pada tempatnya sebelum ia diamalkan sebagai satu kebiasaan yang positif. Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor
Comments
Post a Comment