Skip to main content

PENYELIAAN : MANUSIA PERLU SENTIASA DIINGATKAN


Salam Keberkatan...

 Pendahuluan 

Sumber manusia merupakan elemen yang sangat penting bagi sesebuah organisasi. Golongan ini merupakan pencetus dan penggerak atau perancang dan pelaksana kepada tugasan dalam organisasi atau tempat kerja. Kewujudan mereka adalah sangat berstruktur, berstrata dan mempunyai hirarki mengikut keperluan sesebuah organisasi. Ironinya mereka saling memerlukan di antara satu sama lain. Keakraban tersebut akan membawa kepada wujudnya istilah superior dan subordinate yang mempunyai fungsi dan peranan masing-masing. Kombinasi kedua-duanya sangat penting dalam membudayakan prinsip check and balance, command and control, quality control dan clouse monitoring bagi memastikan penghasilan produk atau perkhidmatan yang berintensiti, memenuhi ekspektasi pelanggan dan seterusnya mencapai matlamat yang disasarkan. 

Kesalingan tersebut juga akan mewujudkan apa yang dikenali sebagai 'penyeliaan' atau supervision yang merupakan tindakan mengawal dan mengawas sesuatu supaya berjalan dengan betul dan lancar. Dalam konteks kemanusiaan, mengapa pekerja memerlukan penyeliaan? Jawapannya, kerana pekerja merupakan 'manusia' yang mempunyai 'sifat-sifat kelemahan' samada berbentuk batiniah ataupun lahiriah. Semestinya mereka ini memerlukan 'agen' untuk menghadkan kelemahan tersebut selain memberi sumber 'tenaga baru' untuk terus berprestasi sepertimana dikehendaki. Mereka perlu diberitahu, dijelas, diingat dan dikawal terutamanya berkaitan do and don't, vision and mission, achievement, goals serta empowering knowledge dalam organisasi supaya boleh menjadi penyumbang yang baik kepada persekitaran kerjaya. 

Penggerak dan Perancang

Sifat Lemah Manusia

Manusia merupakan insan yang lemah dan sentiasa terdedah melakukan kesilapan serta kekhilafan. Hakikat ini adalah berdasarkan Firman Allah s.w.t bermaksud "Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah" (Surah An Nisaa': 28). Walaupun manusia makhluk yang sempurna kerana dikurniakan akal dan nafsu namun kesempurnaan tersebut adalah bersifat sementara. Ini kerana segalanya bergantung kepada bagaimana manusia mencorakkan kesempurnaan tersebut samada terarah menggunakan akal atau condong kepada nafsu. Kekuatan manusia terletak kepada bagaimana mereka menggunakan akal dengan sebaiknya manakala kelemahan manusia pula apabila mereka meletakkan nafsu sebagai landasan hidup sehingga mencipta perbuatan yang merosakkan. Sehubungan itu, mereka perlu dijelas dan diingatkan supaya sentiasa berbuat baik daripada melakukan kemungkaran.

Antara kelemahan lain dalam diri manusia adalah 'cuai' dan 'lalai'. Cuai menjurus kepada sifat manusia yang suka menganggap sesuatu perkara sebagai tidak penting, tidak mustahak dan tidak berharga. Selari dengan peribahasa Melayu 'sudah terhantuk baru tergadah' iaitu seseorang yang melakukan sesuatu dengan tidak beringat-ingat tentang keburukannya dan akan menyesal selepas ia berlaku. Manakala sifat lalai pula diertikan sebagai asyik akan sesuatu hingga lupa akan hal-hal lain (Kamus Dewan Edisi Keempat). Kenyataannya, sifat lalai manusia disentuh dalam Al-Quran menerusi Firman Allah s.w.t bermaksud “Mereka itulah orang yang hati, pendengaran, dan penglihatannya telah dikunci oleh Allah. Mereka itulah orang yang lalai” (Surah An-Nahl: 108). Sifat cuai dan lalai sekiranya tidak dikawal akan mendatangkan keburukan kepada diri dan memberi kesan kepada orang lain. Demi mengelakkan perkara ini maka mereka perlu sentiasa diingatkan kepada sesuatu yang 'baik-baik' untuk diterjemahkan kepada praktis. 

Selain itu, masalah yang sering dihadapi oleh manusia adalah mereka perlu diingatkan berulang kali tentang sesuatu perkara kerana manusia mempunyai sifat 'pelupa'. Sifat pelupa adalah lumrah manusia lebih-lebih lagi apabila banyak perkara yang perlu difikir dan dilakukan di akhir zaman ini. Semua manusia mempunyai sifat ini melainkan Allah s.w.t sebagaimana Firman-Nya dalam Surah Maryam, ayat 64 bermaksud "Dan tidaklah kami (Jibril) turun, kecuali atas perintah Tuhanmu. Milik-Nya segala yang ada di hadapan kita, yang ada di belakang kita dan segala yang ada di antara keduanya, dan Tuhanmu tidak lupa". Bagi mengelakkan sifat pelupa berterusan sehingga mengganggu proses kerja dan kehidupan maka manusia perlu kerap diperingatkan terhadap sesuatu dalam apa jua perlakuan dan tindakan mereka.

Lebih parah apabila manusia mempunyai sifat ego, bangga diri, merasakan diri mempunyai kelebihan yang sangat hebat, angkuh dan sombong sehingga tidak boleh menerima pendapat dan nasihat orang lain. Merasakan dirinya sahaja yang betul, orang lain tidak betul atau dengan kata lain 'ikut kepala sendiri'. Sifat ego digambarkan dalam Al-Quran melalui kisah Nabi Adam a.s dan Iblis sebagaimana Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah, ayat 34 yang bermaksud "Dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur dan menjadilah ia dari golongan yang kafir". Sifat-sifat negatif seperti dinyatakan perlu dikawal dan diingatkan keburukannya sebelum menjadi 'duri dalam daging' kepada warga dan organisasi.

Perlu sentiasa diingatkan

Rasional Saling Mengingati

Dari sudut pandang seorang penyelia, tugas memberi peringatan dan berpesan kepada kebaikan adalah perbuatan yang mulia di sisi Islam. Perkara ini sejajar dengan Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Asr, ayat 1-3 yang bermaksud "Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran". Bagi tujuan tersebut, pelbagai mekanisme boleh digunakan sebagaimana dijelaskan dalam satu hadis "Daripada Abu Said Al-Khudri r.a katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman" (Hadis Riwayat Muslim). Seharusnya perkara ini diberi perhatian memandangkan ia merupakan tuntutan agama yang wajar dilaksanakan. Mengajak manusia menuju ke jalan kebaikan dan menegah mereka melakukan kemungkaran adalah amanah yang perlu ditunaikan secara kolektif tanpa mengira status dan kedudukan mereka dalam masyarakat.

Berpesan kepada kebaikan

Ciri-Ciri Penyelia

Tugas yang sangat berat kerana ia melibatkan sifat dalaman manusia lain. Semestinya mereka yang terpilih untuk memenuhi tanggungjawab ini adalah mereka yang benar-benar berkaliber, berkeupayaan, 'hati kering', tidak mudah goyah, amanah dan paling penting berilmu. Ini kerana kebaikan dan kelemahan manusia adalah sangat 'pelbagai' dan berkait rapat dengan situasi yang sedang mereka hadapi di samping perlu bertindak sebagai role model. Bagi memenuhi kepentingan tertentu sesetengahnya sangat pandai memanipulasi, mengambil kesempatan, manis berbicara, bermetafora, bermelodrama (sandiwara) dan sebagainya. Agak sukar sekiranya penyelia 'berhati lembut', 'berhati tisu' atau dari jenis 'dalam hati ada taman' untuk digandingkan dengan mereka. Namun, berbekalkan kekuatan yang ada dan pemahaman berkaitan konsep 'manusiawi' pastinya tanggungjawab boleh dilangsai sebagaimana yang diamanahkan.

Hati Kering

Kesimpulan

Pekerja perlu menerima hakikat bahawa mereka adalah insan yang lemah dan banyak kekurangan. Justeru, mereka tidak perlu memberontak atau melatah sekiranya berulang kali diingatkan terutamanya perkara-perkara yang sama pada setiap masa. Ada ketikanya mereka terlanjur melakukan kesilapan walaupun sering diperingatkan seolah-olah 'masuk telinga kanan, keluar telinga kiri'. Selagi sifat-sifat berajakan nafsu, cuai, lalai, pelupa dan ego masih ada, selagi itulah mereka perlu diingat dan dikawal melalui elemen penyeliaan. Manakala dalam konteks penyelia pula, proses memastikan 'sesuatu' agar mengikut aturan dan jalan yang lurus bukan merupakan tugasan yang mudah kerana perlu berdepan dengan sifat dalaman manusia. Namun, key point yang perlu digenggam adalah "semua manusia mempunyai kelemahan yang harus diperbetulkan". Sewajarnya kekuatan di luar kotak pemikiran dan amalan digunakan sepenuhnya bagi mendepani setiap masalah yang wujud.

Elemen organisasi perlu lebih erat, bekerjasama sebagai satu entiti, saling memahami dan mengingati antara satu sama lain. Koordinasi yang baik dan tuntas pastinya akan menjanjikan kemenangan yang lebih besar iaitu mencapai matlamat meletakkan organisasi di tempat yang seharusnya. Akhir kalam, sesungguhnya "Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman" (Surah Adz-Dzaariyaat: 55). Wassalam.

Kelemahan harus diperbetulkan

Author : Hasron @ Kajang, Selangor

Comments

Post a Comment