Salam Keberkatan... |
Gaya
Gaya merupakan sesuatu yang tidak asing dalam diri seseorang individu. Dari sudut istilah, gaya bermaksud sikap, kesukaan, ketaksukaan dan cara berkelakuan yang menjadi ciri seseorang (Kamus Dewan Edisi Keempat). Pengertiannya diperincikan lagi kepada hal yang berkaitan keanggunan dan ketrampilan yang menarik perhatian, memikat hati orang, cara menulis atau bertutur, cara membuat sesuatu, cara pemakaian bahasa atau pengetahuan tentang penggunaan kata-kata dan penyusunan ayat, elok, rupawan, bekerja dan seumpamanya. Diduksinya, gaya merupakan sesuatu yang berkaitan atau ada hubungan dengan gambaran sebenar seseorang yang diterjemahkan kepada perlakuan dan keterampilan.
Gaya Dan Pekerjaan
Selalu juga kita mendengar ungkapan 'kerja bergaya' atau stylish work. Apa perkaitan di antara kerja dan gaya tersebut? Jika memahami kepada maksud yang ditampilkan, logikal dan kolarasi kedua-duanya maka pastinya ia bukan terarah kepada gaya penampilan mereka yang melaksanakan pekerjaan tersebut. Walaupun hakikatnya ia dilihat sebagai pakej yang juga memainkan peranan sebagai pelengkap kepada perkhidmatan yang baik khususnya di sektor yang memerlukan pekerjanya berhadapan secara terus dengan pelanggan. Perlu mentelusuri sesuatu yang lebih dari itu. Seharusnya ia lebih terfokus kepada gaya bekerja yang mengutamakan hasil atau outcome kerja yang berkualiti, menepati kehendak pengurusan atasan dan selari dengan matlamat organisasi. Persembahan yang kemas, menarik, intelek, sempurna, meyakinkan dan kesalahan yang minimum atau tiada kesalahan langsung. Datangnya dari jiwa sebelum diterjemahkan kepada perlakuan dan seterusnya mendatangkan kesudahan yang lumayan kepada diri dan organisasi.
Dihasilkan dari gabungan kekuatan akal dan kendiri meliputi pengetahuan, kemahiran, idea, pengalaman dan personaliti. Didukung dengan keterampilan spritual seperti komitmen, ketekunan, kejituan akal fikir, motivasi dan talent untuk menghasilkan kualiti kerja yang terbaik. Tidak kurang juga berdisiplin dan berintegriti dengan meletakkan diri sebagai sumber manusia yang menyumbang kepada keutuhan organisasi. Semua perlu digabung jalinkan bagi penghasilan kerja yang 'luar biasa' sifatnya dan jarang dimiliki oleh manusia lain. Hasilnya nanti akan membentuk jatidiri dan keperibadian yang meyakinkan selain membantu meningkatkan profit dari aspek perkhidmatan atau pengeluaran produk di samping menjana peningkatan imej dan kepercayaan pelanggan terhadap organisasi. Trust atau kepercayaan, itulah agenda yang dimatlamatkan oleh sesebuah organisasi dari pelanggannya. Apabila kesemuanya dipraktik dan dipatuhi maka inilah dikatakan 'kerja bergaya' yang sebenar-benarnya.
Gaya Dan Sumber
Semua pekerja pastinya 'ada gaya' masing-masing dalam melaksanakan tugasan. Dalam hal ini, gaya tersebut perlu lahir dari diri sendiri, malah dari jiwa dan tidak perlu terikut-ikut dengan gaya orang lain. Namun perlu ada filter jika mahu mengidolakan gaya orang lain atau memilih sesuatu yang baik dari kalangan yang terbaik. Tidak perlu copy paste membuta tuli sebaliknya harus bijak mengadaptasi apa yang dilihat untuk disesuaikan dengan gaya diri sendiri. Ini kerana watak dan pembawaan manusia adalah berbeza-beza walaupun gaya penampilan tampak seperti serupa. Apa yang penting, jika kena dengan gayanya, bagus perlu bagus kesemuanya bukan separuh-separuh. Ini adalah bagi mengelakkan tanggapan-tanggapan negatif seperti nampak bagus tapi out atau nampak bagus tapi 'kelaut'.
Jadilah Diri Sendiri
Seeloknya jadilah diri sendiri atau memiliki identiti sendiri dalam menjadi seorang pekerja terbaik. Menerima setiap kekurangan dan kelebihan yang dianugerah Allah s.w.t. Namun apa yang penting adalah usaha dalam menukar kekurangan menjadi kelebihan dan membawa kelebihan tersebut ke hadapan berbekalkan acuan Islam dan nilai etika. Hakikatnya setiap manusia diciptakan sama cuma yang membezakan di antara mereka adalah tahap keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Perkara ini diperincikan sebagaimana Firman Allah s.w.t, Katakanlah (Muhammad), "Setiap orang berbuat sesuai dengan pembawaannya masing-masing. ”Maka Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang lebih benar jalannya (Surah Al-Isra': 84). Natijahnya, gaya yang cemerlang akan menyumbang kepada kualiti kerja dan seterusnya meningkatkan keunggulan diri selari dengan hadis "Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, ia melakukannya dengan baik, sempurna dan teliti (Hadis Riwayat Al-Baihaqi). Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor
Comments
Post a Comment