Skip to main content

INSAN BERJIWA BESAR

 

Salam Keberkatan...

Pengertian

Manusia merupakan makhluk Allah s.w.t yang sangat sempurna apabila dianugerahkan dengan 'jiwa' yang tidak dimiliki oleh makhluk-makhluk lain. Jiwa merupakan batin (perasaan, fikiran, cita-cita, dll yg terkandung dlm hati manusia) (Kamus Dewan Edisi Keempat). Sesuatu yang sangat subjektif dan mempunyai kaitan dengan entiti kerohanian. Kapasitinya di luar kotak pemikiran manusia, bersifat ghaib dan tidak kelihatan dari pandangan manusia. Namun menjadi instrumen ampuh untuk memproses akal dan pemikiran manusia sebelum diterjemahkan kepada perlakuan dan pertuturan. Penentu kepada perbuatan dan pertuturan samada menjurus kepada kebaikan atau condong kepada keburukan. Dalam memastikan sesuatu yang positif dan membina, jiwa perlu ditarbiah dengan proses yang sempurna di mana salah satunya adalah dengan 'amalan terbaik', sifat terpuji' dan 'insani' untuk menjadikan pemiliknya seorang yang hebat, kental, berani, luar biasa dan unggul dalaman mahupun luaran. 

Prinsip Luaran

Justeru, jiwa mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan amalan dan sifat seseorang. Dari situ muncul istilah 'Jiwa Besar' atau Big Soul dalam Bahasa Inggeris. Jika dilihat kepada kesesuaiannya dalam masyarakat, jiwa besar merujuk kepada seseorang yang mempunyai sikap yang tidak mahu kalah atau dipengaruhi oleh orang lain (Kamus Peribahasa). Rasionalnya manusia berjiwa besar dilambangkan sebagai seorang yang berprinsip, bercita-cita tinggi, tidak takut pada kegagalan, mengakui kesilapan serta berusaha memperbaikinya dan yakin dengan kemampuan diri dalam mencapai sesuatu dalam kehidupannya. Sifat yang ada pastinya sesuatu yang baik dan positif dalam memotivasikan seseorang individu demi mendambakan kehidupan yang lebih baik samada dalam disiplin kemanusiaan, kekeluargaan, kemasyarakatan dan berorganisasi. Diakhirnya nanti akan dapat membantu membangunkan ummah dan seterusnya memperkukuhkan institusi negara.

Prinsip Dalaman

Namun demikian, jiwa besar tidak seharusnya terikat kepada elemen dalam lapangan kehidupan keduniaan semata-mata tetapi perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas. Perlu menjurus kepada kekuatan insani (spritual) bagi menggapai manfaat kehidupan di dunia dan di akhirat sekaligus. Manusia berjiwa besar seharusnya turut mengutamakan akal berbanding nafsu, melaksanakan perintah-perintah Allah s.w.t, mensyukuri nikmat yang dikuniakan, tidak mudah terpengaruh dengan gaya hidup yang menyesatkan, bertawakal selepas usaha dan bertaubat selepas menyedari kekhilafan diri. Kesemuanya adalah untuk melahirkan manusia yang benar-benar sempurna di samping Allah s.w.t dan mampu berperanan sebagai khalifah yang memakmurkan muka bumi ini dengan nilai-nilai sebagaimana dianjurkan Islam.

Kombinasi Tuntas

Kesepaduan kedua-duanya (sifat dalaman dan luaran) akan menjelmakan 'jiwa besar' seseorang individu secara total. Kombinasi yang sempurna bukan sahaja untuk mencari kebahagian kehidupan di dunia malah pada masa sama mengintai kebahagiaan di akhirat yang kekal dan abadi. Perlu seiring sejalan dan seiya sekata atau dengan kata lain bukan kekuatan jiwa untuk dipersembahkan kepada kehidupan manusia sahaja tetapi apa yang lebih utama wajar disertakan kekuatan jiwa untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Keseimbangan merupakan sesuatu yang dituntut dan dalam melihat keseiringan kelebihan ukhrawi dan duniawi ini, Allah s.w.t berfirman dalam Surah Al-Qasas, ayat 77 bermaksud "Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepada kamu (kebahagiaan) negeri akhirat dan janganlah kamu lupakan bahagianmu daripada (kenikmatan) duniawi".

Akhir Kalam

Setiap manusia memiliki jiwa. Dalam menentukan kekuatan jiwa seseorang samada 'kecil' atau 'besar' adalah bergantung kepada sejauh mana amalan terbaik dan sifat terpuji dalam diri seseorang individu tersebut selain nilai-nilai insani yang sukar dimengertikan dengan mata kasar. Namun, elemen-elemen yang ada tersebut perlu seimbang bagi melahirkan individu yang benar-benar berjiwa besar. Jiwa besar bukan sahaja menyumbang kepada diri malah boleh di tafsirkan faedahnya bagi membantu kekuatan ummah dan negara. Insan berjiwa besar merupakan sesuatu yang didamba oleh semua manusia. Cuma mekanismenya perlu diselidiki, diselami, diusaha dan dipraktikkan dalam kehidupan. Maka bagi mencapai aspirasi tersebut, segala akal fikir, keringat dan kekuatan yang ada pada diri perlu disepadu dan diarahkan ke jalan tersebut. Wassalam.

Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE

Comments