Skip to main content

PERATURAN : PATUH UNTUK TIDAK MENYUSAHKAN

Salam Keberkatan...

Makna Dan Tujuan

Kehidupan manusia dan peraturan merupakan kombinasi akrab yang tidak boleh dipisahkan. Kehidupan tanpa peraturan ibarat bahtera yang tiada nakhoda manakala peraturan tanpa manusia ibarat nakhoda yang tidak berfungsi bagi mengemudi bahtera tersebut ke destinasi yang hendak ditujui. Kedua-dua elemen perlu berfungsi mengikut fitrah dan aturan yang telah ditetapkan. Menyusuri pengertiannya, peraturan merupakan segala yang telah ditentukan (ditetapkan dsb) dan harus dituruti atau dipa­tuhi (Kamus Dewan Edisi Keempat). Peraturan juga dimaknakan dalam pelbagai istilah lain seperti hukum, kod etika, kod nilai dan undang-undang. Lazimnya peraturan dibuat dan ditentukan oleh individu atau sekelompok individu untuk dipatuhi oleh individu atau sekelompok individu lain. Objektifnya adalah bagi mempermudahkan sesuatu urusan dan seterusnya memastikannya berjalan lancar, tersusun dan komprehensif.

Menjurus kepada pelbagai entiti kehidupan samada dalam aktiviti pekerjaan, kemasyarakatan, keagamaan dan kenegaraan. Rasionalnya peraturan dibuat untuk menyenangkan kehidupan manusia dan mengelakkan manusia berdepan dengan masalah atau kesulitan. Walau bagaimanapun, kecenderongan manusia terhadap peraturan adalah berbeza. Ada manusia yang menganggap peraturan sebagai sebahagian dari kehidupan dan sangat membantu namun ada sesetengahnya pula menganggap ia sebagai sesuatu yang mengongkong dan menyusahkan. Pandangan sisi sebaliknya terhadap peraturan akan menyebabkan wujudnya elemen hardcore bersifat 'mengelat' dan 'hipokrit'. Mereka selalu mengelak dari mematuhi peraturan dan dalam situasi yang lain patuh jika hanya terdapat 'keperluan' atau patuh jika tiada 'ruang' untuk mengelak. Selain memberi kesan kepada nilai kehidupan kendiri, golongan ini juga tanpa sedar boleh menyusahkan orang lain.

Senario

Bagaimana senario menyusahkan orang lain akibat sikap carelessly terhadap peraturan? Tidak perlu pergi jauh tetapi ambil sahaja situasi yang 'mudah' dan 'dekat'. Seseorang lewat hadir mesyuarat sebagaimana masa yang ditetapkan akan menyebabkan mesyuarat tidak dapat dijalankan seperti dirancang atau jika tidak hadir mungkin sesuatu keputusan tidak boleh dibuat atau tidak mendapat konsensus sebagaimana yang diharapkan. Bukankah situasi ini menyusahkan orang lain? Apa tidaknya, apabila mesyuarat sama perlu dijalankan pada masa lain yang pastinya akan mengundang kesulitan bila mana masing-masing mempunyai komitmen yang tersendiri. Jika peraturan yang 'mudah' tidak dapat dipatuhi mungkin akan menyebabkan munculnya peraturan-peraturan yang lebih bersifat 'agresif' 'keras' dan 'kuku besi' yang pastinya memerlukan komitmen lebih tinggi untuk dipatuhi. Jika momentumnya berubah pastinya ia akan menyusahkan lagi diri sendiri dan seterusnya menyusahkan lagi orang lain. Lebih-lebih lagi kepada mereka yang patuh kepada peraturan tersebut memandangkan sifat kepatuhan kepada peraturan adalah 'kolektif'. Tambahan pula, peraturan dijana untuk 'semua' tanpa mengira latar dan tahap komitmen mereka terhadap sesuatu.

Apa Kata Islam

Dalam hidup ini, manusia bebas melakukan apa sahaja asalkan apa yang dibuat menepati peraturan yang ada dan paling pokok sesuatu peraturan tersebut adalah untuk memudahkan bukan menyusahkan orang lain. Islam memberi penekanan kepada kedua-duanya sebagaimana dijelaskan melalui Al-Quran dan As-Sunnah yang merupakan sumber peraturan hakiki dan lengkap bagi umat Islam khususnya. Dalam konteks hadis, antara lain adalah daripada Anas bin Malik r.a di mana Rasulullah s.a.w bersabda "Permudahkanlah, jangan menyusahkan, tenangkanlah dan jangan melakukan sesuatu yang menyebabkan orang menjauhkan diri daripada kamu." (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Risiko bagi mereka yang menyusahkan orang lain pula dijelaskan dalam hadis sepertimana sabda Rasulullah s.a.w "Barangsiapa yang memberi kemudharatan kepada seorang muslim, Allah akan memberi kemudharatan kepadanya. Barangsiapa yang menyusahkan seorang muslim, Allah akan menyusahkan dia” (Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi). Dari sudut yang sama, Rasulullah s.a.w bersabda “Barang siapa yang mempersulit urusan seorang mukmin di dunia, maka Allah akan mempersulit urusannya di akhirat” (Hadis Riwayat Muslim).

Pelengkap

Atas dasar kepelbagaian sifat manusiawi, tidak semua manusia suka dikawal oleh peraturan. Namun sebagai manusia normal juga mereka memerlukan peraturan sebagai panduan dan pelengkap dalam menjalani kehidupan yang semakin kompleks dan terbuka. Justeru, di satu aspek perlu memastikan peraturan yang mudah dan boleh dipatuhi manakala pada dimensi yang lain perlu memastikan peraturan tersebut tidak menyusahkan atau tidak menjadikannya susah kepada orang lain. Ini adalah bagi merealitikan nilai moral di sebalik peraturan tersebut dan menggambarkan kepentingannya sebagai instrumen sempurna kepada kehidupan manusia. Sama-sama memelihara niat dan tindakan dalam menerobos kehidupan yang selari dengan norma bagi mendambakan kebahagian yang berkekalan demi diri sendiri dan orang lain. Wassalam.

Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE
Gambar : Masjid Imanul Fa'izin, Padang Kala 
Sumber : www.luqmanzakaria.com

Comments