Skip to main content

POLIS : MULIA DI SISI ISLAM

Salam Keberkatan...

Keperluan

Tahun ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyambut ulang tahun penubuhan ke 217. Tempoh masa yang sangat panjang bagi sebuah organisasi penguatkuasa undang-undang di negara ini. Semestinya dalam tempoh masa tersebut banyak suka dan duka mahupun pahit dan manis dirasai khususnya oleh warganya yang silih berganti menyahut seruan tugas yang diamanahkan. Melihat kepada fungsi dan peranannya, bukan sekadar tertakluk di bawah Seksyen 3(3) Akta Polis semata tetapi juga melingkari sistem nilai dalam bermasyarakat, beragama dan bernegara. Sentiasa releven malah harus diperkuatkan dari masa ke semasa kerana selagi ada manusia, agama dan negara selagi itulah perlunya Pasukan Polis dalam memelihara kedaulatannya. Sememangnya kekuatan entiti kepolisan adalah elemen yang sangat penting dalam memastikan keutuhan institusi bernegara sebegaimana Firman Allah s.w.t bermaksud “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya" (Surah A-Li' Imraan: 104). Melalui ayat ini, cuba bayangkan jika negara tanpa entiti kepolisan atau mereka yang berfungsi menyeru ke arah kebaikan. Apa kesannya kepada masyarakat, agama dan negara? Sebagai seorang yang mencintai negara dan keamanan tanpa sempadan pastinya anda tahu jawapannya. Hakikatnya, semua negara yang berdaulat tanpa mengira status maju atau mundur mempunyai Pasukan Polis demi memelihara kepentingan institusi masing-masing.

Mulia

Kerjaya menegakkan hukum bagi menjamin keselamatan harta benda dan nyawa manusia merupakan tugas yang mulia di sisi masyarakat apatah lagi Islam. Kebenaran berkaitan hal ini dijelaskan melalui Firman Allah s.w.t bermaksud “dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya" (Surah Al-Maa'idah : 32). Rasionalnya, menyelamatkan nyawa manusia akan memberikan impak yang sangat besar dan menyeluruh. Ini kerana manusia samada secara individu atau sekelompok individu merupakan penggerak dan penyumbang kepada kelestarian kehidupan masyarakat, kekuatan agama dan seterusnya kelangsungan negara. Di sisi lain, tugas Pasukan Polis dalam membantu dan mempermudahkan urusan orang lain juga tampak selari dengan ajaran Islam sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w “Siapa yang menyelesaikan kesulitan seorang mukmin dari berbagai kesulitan-kesulitan dunia, niscaya Allah akan memudahkan kesulitan-kesulitannya pada hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang sedang kesulitan niscaya Allah mudahkan baginya di dunia dan akhirat" (Hadis Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah). Lihat sahaja ganjaran besar yang dijanjikan kepada mereka yang mempermudahkan urusan orang lain. Perlu direbut oleh setiap warga Polis kerana dengan fungsi dan peranannya peluang tersebut sudah pun terhidang di hadapan mata.

Kelemahan Manusia

Sememangnya dalam sesebuah organisasi yang besar dan dianggotai oleh sumber manusia yang banyak akan wujud masalah yang boleh mengganggu fungsi dan peranan Pasukan Polis. Namun sikap tidak berdiam diri dan melipat gandakan usaha meminimumkan masalah tersebut adalah suatu tindakan yang cukup baik. Tidak dinafikan sejak dahulu sehingga sekarang elemen penguatkuasaan integriti telah menjadi agenda utama, berterusan dan komprehensif pasukan tersebut. Walau bagaimanapun, kekangan dalam hal ini adalah apabila usaha tersebut terpaksa berhadapan dengan elemen 'spritual' manusia yang pelbagai, kompleks dan sukar dimengertikan dengan mata kasar sehingga tidak terjangkau dengan ilmu pengetahuan dan teori manusiawi. Tambahan pula manusia adalah mahkluk yang sangat lemah sifatnya seperti Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nissa’, ayat 28 bermaksud “Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah". Ironinya kelemahan ini ada pada sesiapa sahaja tanpa mengira status dan institusi yang diwakili. Cuma yang membezakan kelemahan tersebut adalah samada kecil atau besar dan kadar implikasinya kepada persekitaran.

Keamanan dan Keselamatan

Resam kehidupan masyarakat dewasa ini apabila kelemahan individu diertikan sebagai kelemahan institusi. Banyak kecaman dan cacian diterima, namun tidak mengapa kerana mereka yang berbuat demikian juga belum tentu perfect. Sekadar keyboard warrior sejujurnya tidak mencerminkan tahap kesempurnaan untuk menentukan baik atau buruk seseorang. Selagi belum masuk ke gelanggang atau selagi belum teruji usah berbicara tentang maha hebat cabaran yang mereka dihadapi. Hakikatnya Allah s.w.t sangat membenci orang yang menyakiti orang lain khususnya sesama muslim walaupun dengan dosa yang dilakukannya sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w "Mencaci orang Islam (Muslim) adalah perbuatan fasiq dan membunuhnya adalah perbuatan kufur" (Hadis Riwayat Muslim). Seeloknya, panjangkan ucapan dan doa yang baik-baik agar hasilnya juga nanti baik-baik sahaja hendaknya.

Bangkit

Walau dikurniakan akal tetapi tetap ada segelintir manusia yang gagal meletakkannya di tempat yang betul. Namun begitu, kelemahan adalah fleksibel sifatnya yakni boleh bertukar menjadi kekuatan (silih berganti) sebagaimana Firman Allah s.w.t bermaksud “Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Ia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Ia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban” (Surah Ar-Ruum: 54). Senario ini direalitikan melalui keinginan untuk berubah, bangkit dari kelalaian dan apa yang penting adalah semangat untuk mempertahankan jiwa yang telah positif agar tidak mudah terpengaruh lagi dengan amalan kebinasaan. Nilai inilah yang wajar dijadikan sandaran dan pegangan warga Pasukan Polis sebagai persediaan menghadapi setiap cabaran tugas dan integriti pada masa kini dan akan datang. Di akhirnya nanti dengan kekuatan tersebut maka akan terhasillah insan yang benar-benar bersedia dalaman dan luaran untuk berperanan sebagai penegak hukum yang ampuh dalam memelihara keselamatan masyarakat, kesucian agama dan keamanan negara secara total.

Harapan

Prinsip pekerjaan dalam Islam adalah sangat jitu apabila urusan pekerjaan diiktiraf sebagai ibadah. Ini bermakna jika dikerjakan dengan betul, jujur dan amanah akan membawa kepada keredaan dan keberkatan dari Allah s.w.t serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Apatah lagi jika bidang pekerjaan yang dilakukan sangat rapat dan dekat dengan Allah s.w.t seperti yang tercatat pada kalimah-kalimah Al-Quran dan As-Sunnah. Hakikat ini perlu disedari oleh warga Pasukan Polis kerana mungkin telah pun ada nilai-nilai keredaan, keberkatan dan kebahagian yang tanpa disedari hadir di celah-celah kehidupan mereka. Cuma apa yang perlu difokus dan diperkuatkan adalah bertugas dengan niat, dengan jiwa dan dengan keikhlasan demi mendambakan sebuah kebahagiaan yang sempurna di akhirat kelak. Lebih dari itu, pastinya bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain apabila dengan adanya keamanan, masyarakat akan bebas beribadat dan memakmurkan bumi Allah s.w.t yang luas ini. Wajar diiktiraf sebagai tugas yang mulia. Justeru, jangan cemarkan kemuliaan tersebut sebaliknya terus berbakti demi sebuah kemuliaan. Syabas warga Pasukan Polis. Wassalam.

Harapan Masyarakat dan Negara

Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE
Gambar (Sekadar Hiasan) : Diaplikasikan Dari AI

Comments

  1. Hasil nukilan yg bermanfaat. Tepat, padat dan mudah difahami.

    ReplyDelete

Post a Comment