|
Salam Keberkatan... |
1. Pengenalan
Dalam kehidupan manusia, apa sahaja yang dilakukan lebih-lebih lagi perkara baik perlu berlanjutan sepanjang masa, kekal selamanya dan tiada penghujung. Moral dalam hal ini adalah bagi menjamin kesinambungan, kualiti dan kelansungan sesuatu perkara yang dilakukan tersebut. Seharusnya sifat 'berterusan' ini dimiliki oleh semua manusia kerana perkara ini sangat berguna demi memajukan diri dalam apa sahaja bidang yang dilaksanakan selagi manusia masih menjadi khalifah di muka bumi ini. Berterusan dalam percakapan moden juga berhubung kait dengan 'infiniti' bagi menggambarkan sesuatu jangkamasa. Manakala dari aspek istilah, infiniti bermaksud keadaan (masa, ruang) yang tidak ada batasnya (Kamus Dewan Edisi Keempat). Selari dalam konteks Islam, melalui hadis daripada Aisyah RA dia berkata, Rasulullah SAW bersabda “Amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala adalah amalan yang berterusan walaupun jumlahnya sedikit.”
2. Keperluan dan Elemen
Kenapa perlu berinfiniti? Kebenarannya, hidup umpama roda ada masa ke atas dan ada masa ke bawah. Fikir sebaiknya sebelum melakukan sesuatu kerana peribahasa Melayu ada menyebut 'sesal dahulu pedapatan sesal kemudian tidak berguna'. Seharusnya sesuatu yang dilakukan pada hari ini bukan untuk hari ini atau esok semata-mata tetapi perlu dipersiapkan lebih dari itu kerana manusia tidak mengetahui apa yang bakal berlaku pada masa depan. Rasionalnya, apa sahaja yang dilaksanakan samada dalam konteks beragama atau bagi memenuhi pelbagai keperluan kehidupan hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan berinfiniti supaya hasilnya nanti akan dapat dinikmati selama mana kehidupan di dunia dan lebih penting sebagai persiapan menghadapi alam akhirat. Justeru, tiada ruang keterbatasan dalam melaksanakan sesuatu dalam kehidupan ini. Namun bagi tujuan itu beberapa elemen perlu dipatuhi bagi memastikan sifat tersebut mendatangkan impak yang tinggi, diterima manusia lain dan paling penting selari dengan kehendak agama.
2.1. Perkara Positif
Sesuatu perbuatan atau pekerjaan yang dilakukan secara berinfiniti tersebut perlu merujuk kepada perkara-perkara positif sahaja. Dengan kata lain perkara-perkara kebaikan perlu dilakukan sepanjang masa manakala perkara-perkara buruk perlu dihentikan atau ditinggalkan secara total dalam kehidupan seharian. Lumrah kehidupan yang menjurus kepada normalisasi adalah melaksanakan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Namun begitu, selain keinginan untuk membuat kebaikan manusia juga boleh terdorong untuk melakukan kejahatan dek kerana tempias godaan nafsu dan pengaruh persekitaran yang penuh kepelbagaian. Fenomena ini perlu diberi perhatian dengan terus fokus kepada perkara-perkara kebaikan yang akan membawa keberkatan serta keredaan Allah s.w.t dan selanjutnya akan dipermudahkan laluan oleh-Nya.
2.2. Kekuatan Spritual
Selain itu, sifat berinfiniti juga perlu disertakan dengan kekuatan spritual yang kukuh bagi menangani cabaran luaran yang sangat kuat pengaruhnya. Perlu ada jiwa dan jatidiri yang ampuh bagi memandu kehendak dan kemahuan untuk terus ke hadapan. Pengaruh dari kekuatan spritual tersebut penting bagi meminimumkan risiko kelayuan semangat sifat berterusan sehingga menjadikan sesuatu dibuat separuh jalan. Selari dengan peribahasa Melayu "hangat-hangat tahi ayam" yang menggambarkan seseorang yang melakukan sesuatu dengan sungguh-sungguh hanya pada permulaan. Lama kelamaan, ditinggalkan apabila sudah mula bosan atau barang kali telah memperolehi apa yang diidamkan atau mungkin sudah berpuas hati dengan 'apa yang ada'. Tiada keinginan untuk terus maju dan melangkah mara ke hadapan demi meraih kejayaan dan kemasyhuran seterusnya.
2.3. Momentum Dan Improvement
Dalam apa yang dilakukan perlu ada momentum dan improvement dari masa ke semasa melalui 'sasaran' atau target yang wajar ditetapkan. Meletakkan sasaran sangat signifikan dengan usaha menentukan objektif, matlamat, harapan dan cita-cita dalam apa sahaja yang dilakukan. Tujuannya supaya daya pendorong dapat dikekalkan dan penambahbaikan boleh dilakukan terhadap sebarang kelemahan yang boleh membantut sifat berinfiniti samada secara sedar atau tidak sedar. Ini juga bagi menjamin kerja yang dilakukan berada di landasan yang ditetapkan serta tidak terpesong dari ekspektasi masyarakat dan kehendak agama. Penetapan sasaran juga bakal memberi kesan kepada prestasi supaya dapat dikekalkan malah dapat dikembang dan dipertingkatkan.
2.4. Jalan Betul
Mekanisme dalam mengerjakan sesuatu secara berinfiniti seharusnya melalui jalan yang betul yakni dengan tidak menggunakan 'taktik' tertentu yang terpesong dari ajaran agama dan 'sistem nilai' dalam kehidupan manusia. Tidak diperolehi melalui hasil tipu muslihat, penindasan, ketidakadilan dan seumpamanya. Sebaiknya terhasil dari idea, inisiatif dan daya usaha sendiri. Hasilnya akan mendatangkan kepuasan dan motivasi untuk terus melakukan sesuatu dalam jangkamasa panjang. Biasanya sesuatu yang diperolehi melalui jalan yang tidak baik keberadaannya tidak akan kekal lama. Ada sahaja kekangan dan halangan samada secara nyata mahupun tanpa disangka. Sedikit sebanyak situasi ini boleh mengganggu kekuatan untuk mengekalkan prestasi manusia dalam melakukan sesuatu.
2.5. Doa, Tawakkal Dan Bersyukur
Apabila semua perkara dipatuhi, maka tiba masa perlaksanaannya diiringi dengan doa supaya dilorongkan keberkatan agar kerja dan keberhasilannya berinfiniti tanpa sebarang kesulitan dan halangan di tengah perjalanan. Doa adalah pengharapan ampuh manusia terhadap penciptanya selain sumber kekuatan jiwa, pembuka pintu rezeki dan cahaya menuju kemenangan dalam setiap apa yang manusia lakukan. Namun lebih dari itu, manusia juga perlu bertawakkal bagi memanifestasikan 'rasa' kebergantungan dan penyerahan kepada Allah SWT terutamanya selepas semua usaha dan ikhtiar telah dilangsaikan. Selain itu, titipkan nilai kesyukuran terhadap anugerah dan kurniaan Allah SWT supaya dibukakan jalan seluasnya untuk mempermudahkan urusan kehidupan yang tidak bertepi. Kombinasi ketiga-tiga unsur tersebut perlu disemat dalam diri, merupakan wadah dan seterusnya senjata tuntas manusia dalam menyongsong cabaran kehidupan.
3. Penutup
Apabila melakukan sesuatu perkara, acap kali juga kita dengar kata-kata "kalau nak buat apa-apa...buat dengan bersungguh-sungguh", "jika rasa tidak mampu...jangan buat" dan "don't take a risks". Tidak kurang juga elemen nasihat dari lontaran falsafah dan peribahasa yang menyebut bahawa "alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan", "alang-alang mandi biar basah" dan "alang-alang berminyak biar licin". Selari dengan pengertian yang tersirat maka terserlah peri pentingnya manusia bekerja bersungguh-sungguh dan berinfiniti sehingga berjaya. Sifat yang kekal berpanjangan dilihat sungguh bermakna dalam kehidupan berbekalkan elemen-elemen tertentu kerana secara tidak langsung mampu menutup ruang kejahatan daripada berlaku. Hakikatnya, keperluan kehidupan harus ditunaikan dan tidak bernokhtah selagi nyawa dikandung badan. Kehidupan hanya sekali. Oleh itu, setting dengan baik pengisian kehidupan tersebut. Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE
Comments
Post a Comment