Skip to main content

BERUSAHA KERANA BELUM CUBA BELUM TAHU

Salam Keberkatan...

Intro

"Kita perlu berusaha buat sesuatu, bersusah payah dahulu sebelum berjaya mencapai maksud. Sekadar mengharap, merungut atau menyumpah tidak bawa ke mana. Tidak ada jalan mudah untuk berjaya mendapatkan apa yang disasarkan. Berusahalah, cari jalan dan buat dengan betul berdasarkan caranya, kena jalannya, insyaallah lambat laun berjaya". Penyataan ini adalah intipati kepada maksud peribahasa Melayu, "jika tidak dipecahkan ruyung, di mana boleh mendapat sagunya". Mengapa ruyung dijadikan sandaran sebagai keyword? Jawapannya kerana ruyung adalah sesuatu yang bersifat kuat dan kukuh selari pengertiannya iaitu kulit atau kayu yang keras daripada batang rumbia (enau dll), Kamus Dewan Edisi Keempat. Bersandarkan kekuatan tersebut, maka usaha yang lebih bersama kaedah yang tepat sangat diperlukan supaya kulitnya berupaya dipecahkan bagi mendapat isinya (sagu).

Sindrom

Mengapa peribahasa tersebut sangat popular? Terpopular akibat dari pelbagai sindrom negatif yang terdapat dalam masyarakat. Rentetan adanya segelintir dari masyarakat yang tidak mahu berusaha untuk mendapatkan sesuatu yang diidamkan. Sering merungut apabila disuruh lebih-lebih lagi andai apa yang disuruh tersebut adalah sesuatu yang baru dan tidak pernah dibuat sebelum ini. Seolah perlu buat sedari awal atau bermula dari 'A'. Apa tidaknya jika pernah dibuat, kerja menjadi mudah kerana semuanya sudah terhidang hanya perlu copy and paste atau fhotostate sahaja. Jika mahu nampak bijak, cuma perlu diubahsuai sedikit kemudian diiktiraf sebagai 'hak cipta terpelihara' atau dengan kata mudah 'akal perlu panjang baru boleh hidup'. Kemudahan ini menjadikan manusia bersikap tidak mahu 'mencuba' dan 'mencipta' kelainan atau melahirkan sesuatu yang baru dan bermalar segar. Seolah sudah tahu akan kesudahannya iaitu sesuatu yang tidak mungkin menjadi kenyataan atau belum apa-apa sudah 'tak boleh pii...'. Susah memang susah kerana bukan senang mahu memecahkan 'ruyung' jika melihat kepada spirit masyarakat dewasa ini.

Malas

Sifat malas merugikan diri sendiri...

Hakikatnya golongan ini adalah termasuk dari mereka yang malas. Malas berfikir apatah lagi mahu melaksanakan atau mahu berfikir tetapi praktisnya 'kelaut'. Golongan ini tidak gemar membina kepuasan diri, meraikan kebolehan yang ada dalam diri sendiri dan seterusnya merayakan kejayaan. Dengan kata lain, golongan ini termasuk dari mereka yang gagal menghargai diri dan kehidupan. Tidak menggunakan nikmat dan keistimewaan yang dianugerahkan Allah S.W.T kepada manusia. Tidak bersyukur dengan anugerah akal, fikiran dan kudrat untuk dipergunakan ke arah kebaikan diri dan orang lain. Malangnya, apabila berjaya dilaksanakan oleh orang lain, mereka mula mencari kelemahan dan kecacatan walau sebesar zarah sekalipun. Terkadang terdengar suara-suara sumbang apabila tiba-tiba mengiyakan sesuatu dengan nada-nada sinis seperti 'iyaalah ...', 'patut dah lama buat ...' dan 'ya ... satu idea yang baik ...' sehingga menjelmakan sifat 'hipokrit' dalam diri.

Akibat

Akibatnya, pemikiran dan idea masih lagi di takuk lama serta tiada keinginan membina momentum ke hadapan. Tiada kreativiti dan inovasi serta tidak boleh berdiri sendiri. Orang lain sudah lama maju tapi mereka masih lagi tercari-cari fomula bagaimana mahu maju, orang sudah lama melangkah dan berlari tetapi mereka masih lagi tercari-cari titik permulaan. Bagaimana mahu bersaing dalam kehidupan yang sangat mencabar ini sekiranya mitos tersebut kejap terbelenggu dalam kalangan masyarakat. Lebih buruk apabila situasi ini akan melahirkan masyarakat 'plagiat' yang dilihat kurang baik kepada pembangunan diri dan masyarakat serta masa depan organisasi dan negara. Bukankah hasrat kita sedari dulu untuk menjadi masyarakat dan negara maju mengikut 'acuan' sendiri? Renung-renung dan fikir-fikirkan.

Perlu rajin berusaha...

Kesimpulan

Peribahasa Melayu cukup indah ungkapannya. Namun hakikatnya setiap ungkapan tersebut tersirat makna yang sangat mendalam. Justeru, peribahasa menjadi medium yang sangat berguna lagi berpengaruh untuk menyedarkan masyarakat betapa buruknya sesuatu jika tidak dilaksanakan mengikut norma dan tatacara kehidupan bermasyarakat. Contoh yang paling jelas adalah peribahasa "jika tidak dipecahkan ruyung, di mana boleh mendapat sagunya" yang mencerminkan sifat tidak mahu berusaha, mencuba dan bersusah payah untuk membuat atau memperolehi sesuatu perkara. Lahir dari sifat negatif dalam diri manusia sendiri yang kemudiannya dijelmakan dalam aktiviti seharian mereka. Natijahnya, sifat tersebut bakal mengundang kerugian kepada diri sendiri dan berupaya memberi kesan langsung atau tidak langsung kepada masyarakat, organisasi dan negara. Maka deduksinya, "berusaha kerana belum cuba belum tahu" dan terpaling penting kerana Allah S.W.T telah menjanjikan balasan yang setimpal sebagaimana firman-Nya bermaksud "Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya" (Surah An-Najm: 39). Wassalam.

Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE

Comments