Salam Keberkatan... |
Kebaikan Dalam Kehidupan
Semua manusia mahukan kebaikan dalam kehidupan mereka. Kebaikan yang dimaksudkan adalah kebaikan untuk diri sendiri dan kebaikan kepada orang lain. Ini adalah kelaziman dalam kehidupan manusia yang normal. Di posisi agama Islam, membuat kebaikan adalah selari dengan konsep ganjaran di mana melakukan perbuatan yang baik akan mendapat pahala manakala konsep kifarah merujuk kepada melakukan perbuatan jahat akan mendapat dosa atau musibah dalam kehidupan. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman yang bermaksud "Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga." (Surah Al-Isra': 7). Dalam hal ini juga Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud "Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat baik kepada segala sesuatu." (Hadis Riwayat Tirmizi). Ini bermakna perbuatan baik itu adalah satu kewajipan dan bakal membawa kebaikan kepada diri serta orang lain.
Pengiktirafan
Realiti dalam kehidupan, melakukan perkara-perkara kebaikan bukan sahaja disukai Allah SWT malah akan turut disukai oleh manusia di persekitarannya. Kenyataan ini dijelmakan melalui ungkapan-ungkapan yang sering berlegar di kalangan masyarakat seperti 'buat baik...orang suka', 'alhamdulillah...ramai orang yang baik-baik', 'orang baik ramai yang sayang' dan lain-lain lagi. Orang baik akan sentiasa diingati di atas kebaikannya, menjadi idola dan senang didampingi orang di sekelilingnya. Pengiktirafan samada secara langsung atau tidak membuatkan manusia berlumba-lumba mencari dan membuat kebaikan. Namun lebih afdal seandainya kebaikan tersebut datangnya dari hati dan jiwa yang disertakan dengan keikhlasan supaya nilai pengiktirafan tersebut lebih dekat dengan Allah SWT. Sebaliknya bukan semata-mata untuk dipertontonkan bagi menghalalkan sesuatu yang tersirat di sebaliknya.
Mengambil Kesempatan
Walau bagaimanapun, lumrah dalam kehidupan manusia apabila segelintirnya menunjukkan sikap negatif kepada kebaikan orang lain seolah tidak menghargai kebaikan tersebut. Dengan kata lain, terdapat manusia yang gemar mengambil kesempatan di atas kebaikan orang lain. Sikap negatif tersebut adalah seperti hilang rasa hormat, ambil mudah, sambil lewa, 'memperguna-gunakan' sehingga merendahkan martabat orang lain, mencemarkan reputasi dan merosakkan sistem yang ada. Selari dengan peribahasa 'madu dibalas tuba' atau lebih terang sesuatu kebaikan dibalas dengan kejahatan. Pastinya situasi ini mengundang implikasi buruk dalam masyarakat apabila bakal menokhtahkan hubungan silaturrahim, menafikan nilai persahabatan dan menjejaskan semangat kerjasama antara satu sama lain. Sifat manusia seperti ini ada di mana-mana dan pastinya perlu ada strategi untuk menanganinya.
Tegas Tetapi Berhemah
Bagi memastikan perkara sebegitu tidak berlaku maka mahu atau tidak perlu ada unsur-unsur 'tegas tetapi berhemah' dalam apa sahaja perlakuan dalam kehidupan. Diaprisiasi melalui penilaian yang padu kepada unsur kewajaran terhadap sesuatu yang berlaku dalam persekitaran semasa. Perlu bersifat tegas dengan pada masa sama melihat kelonggaran pada wajaran-wajaran tertentu. Biasanya kewajaran tersebut harus dilihat dari sudut implikasi baik atau buruk yang bakal berlaku. Bagi membuat penilaian kepada kewajaran tersebut maka seseorang itu perlu memiliki gabungan kekuatan akal fikir atau common sense iaitu keupayaan untuk melihat, memahami, menyedari dan membuat pertimbangan terhadap sesuatu. Bukan semua manusia memiliki ciri-ciri ini dan jika ada maka bermakna manusia tersebut adalah seorang yang luar biasa (unnatural), bertahap super dan distinct berbanding orang lain. Pentingnya ciri-ciri ini wajar dan harus dimiliki oleh siapa sahaja terutama sebagai pemimpin dalam pelbagai peringkat institusi atau organisasi.
Kesimpulan
Selari dengan peribahasa Melayu 'buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali' yang membawa maksud jika hendak membuat pekerjaan yang baik, janganlah berlebih-lebihan sehingga tidak kena pada tempatnya dan pekerjaan yang jahat hendaklah dihindarkan sama sekali. Berbuat kebaikan adalah sesuatu yang dituntut dan akan disediakan dengan ganjaran samada dalam kehidupan di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat. Hakikatnya, masih ramai orang 'baik-baik' dalam persekitaran kehidupan walaupun terselit pelbagai 'tabiat' segelintir masyarakat yang bersifat kontradik dengan nilai terpuji tersebut. Nilai yang baik perlu dihormati dan diperakui serta tidak dijadikan 'bahan' untuk menidakkannya dengan tanggapan atau persepsi buruk melalui tindakan yang tidak bertanggungjawab. Namun, jika perkara tersebut wujud maka wajarlah ianya disertakan dengan sifat tegas yang berhemah bagi mengimbangi tanggapan semberono manusia lain terhadap kebaikan. Oleh itu, bersikap baik, peka dengan persekitaran dan bertindak dengan kewajaran supaya yang baik itu terus kekal selamanya. Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE
Comments
Post a Comment