Salam Keberkatan... |
Definisi
Undang-undang adalah sesuatu peraturan atau keseluruhan yang digubal (dibuat) oleh kerajaan dan mesti dipatuhi oleh masyarakat yang berkenaan (Kamus Dewan Edisi Keempat). Manakala melalui sumber yang sama, peraturan pula adalah segala yang telah ditentukan (ditetapkan dsb) dan harus dituruti atau dipatuhi. Main point dalam undang-undang dan peraturan adalah 'patuh' yang menjurus kepada menurut (perintah, peraturan, hukum, dll), taat, tidak membantah (Kamus Dewan Edisi Keempat). Manakala dalam konteks Islam, undang-undang merujuk kepada istilah syariah yakni hukum sebagaimana yang termaksud dalam nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah. Lazimnya mematuhi undang-undang dan peraturan akan menjadikan kehidupan manusia lebih baik dan keamanan dunia keseluruhannya.
Tanggapan
Walau bagaimanapun, ragam manusia kadang-kala sangat unik kerana apa yang baik dikesampingkan manakala yang buruk pula menjadi amalan. Terdapat segelintir masyarakat menganggap undang-undang dan peraturan sebagai unsur yang menyusahkan, bersifat mengongkong, menghalang kebebasan hidup, hak asasi dan sebagainya. Keadaan ini akan membawa kepada kesukaran untuk menegakkan undang-undang dan seterusnya melahirkan masyarakat yang berdisiplin. Namun, bagi tujuan memastikan undang-undang dipatuhi, perlu adanya 'penguasa' yakni orang atau badan yang berkuasa atas sesuatu atau untuk menentukan (mengurus) sesuatu (Kamus Dewan Edisi Keempat).
Rasional
Tugas seorang penguasa undang-undang atau peraturan bukanlah sesuatu yang mudah. Sangat 'mencabar' dan mudah 'tercabar' khususnya dalam menangani segelintir masyarakat yang tidak 'cakna' kepada undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa. Namun demikian, betapa berat sekalipun peranan tersebut ia perlu dilaksanakan sebaik mungkin mengikut objektif yang ditetapkan. Pokoknya, menjadi seorang penguatkuasa undang-undang yang berkarisma mereka amat memerlukan sifat yang 'rasional' samada dalam pemikiran, perbuatan mahupun percakapan. Ini kerana seorang penguatkuasa undang-undang khususnya akan berdepan dengan pelbagai cabaran dan risiko dalam melaksanakan penugasannya. Cabaran dan risiko tersebut bukan sahaja meliputi mara bahaya lahiriah tetapi juga apa yang lebih 'berat' adalah cabaran minda dan spritual.
Segalanya memerlukan rasional dalam fungsi tugasnya. Dengan kata lain memerlukan sifat munasabah yang mendasari sesuatu tindakan, perbuatan atau pegangan dalam menjalankan tugas mereka. Perkara ini amat berkait rapat dengan sifat lembut (toleransi) dan keras (tegas) tetapi digunakan dalam keadaan yang amat munasabah. Ini bermakna berlembut jangan sampai dipermainkan dan berkeras jangan sampai memakan diri atau meninggalkan kesan negatif kepada orang lain. Tidak mudah untuk bermain dengan prinsip berlembut dan berkeras terutamanya dalam situasi yang mencabar diri dan emosi. Namun, itulah lumrah sifat kemanusiaan yang perlu ada dalam diri seorang yang bergelar penguatkuasa undang-undang atau peraturan. Perlu bijak dalam meletakkan sesuatu di tempatnya. Namun, bagaimana meletakkan asas di antara kedua-duanya? Jawapannya ada di sebalik tiga komponen manusiawi iaitu akal, jiwa dan jasad.
Akal
Akal amat berhubung kait dengan daya pemikiran seseorang manusia terhadap sesuatu bidang ilmu atau apa yang dilihat di persekitarannya. Dalam hal ini, penguatkuasa yang baik perlu mempunyai ilmu terutamanya yang mempunyai kaitan dengan penugasannya di samping bidang lain yang selari demi melengkapi ilmu asas yang wajib dimiliki. Jika mahukan ilmu, perlu terlebih dahulu memperolehinya secara formal selain menyerap dari persekitaran. Jangan harapkan ilmu bersandarkan dari pengalaman semata-mata terutamanya dari orang lain kerana lain orang lain pentafsiran ilmu yang diterimanya. Sebaliknya menilai dari aspek kesesuaian dan berpatutan dengan bidang penugasan asalkan kehadirannya boleh membantu melancarkan penugasan tersebut. Akal yang dibajai dengan ilmu mampu membezakan tindakan yang baik dari yang tidak baik dan menjadi instrumen untuk bertindak adil seandainya keadaan tersebut diperlukan.
Jiwa
Merujuk kepada sesuatu yang bukan berbentuk fizikal atau metarial yang ada dalam diri seseorang manusia. Dari sudut istilah, jiwa merujuk kepada nyawa, roh (yang ada dalam tubuh manusia). Semua manusia memilikinya namun berbeza dalam mendefinisikannya. Dalam konteks penguatkuasa, jiwa merangkumi elemen penghayatan kerja, tenang dalam tindakan, teguh berperinsip, menyelami perasaan orang lain dan berdaya tahan apabila berdepan cabaran. Berupaya membentuk keperibadian yang mantap dalam membantu meningkatkan tahap interaksi dan interpersonel dengan orang lain. Personaliti dari jiwa akan meningkatkan hubungan baik antara sesama manusia dan seterusnya melahirkan perasaan hormat terutamanya kepada tugas yang dilaksanakan. Ini penting kerana penguasa dan 'pelanggan' undang-undang perlu ada chemistry dan kesalingan dalam matlamat memastikan prinsip ketaatan kepada undang-undang dapat ditegakkan mengikut kapasiti masing-masing.
Jasad
Tubuh atau badan manusia yang wujud (sebagai lawan roh). Sesuatu yang wujud dan boleh dipegang atau dilihat. Selari dengan pengertian jasmani dalam Bahasa Arab yang merujuk kepada badan atau tubuh. Perlu kekuatan tubuh badan yang ampuh. Jika tidak akan menjejaskan akal dan jiwa dek kerana hilang konsentrasi, penumpuan dan seterusnya keseronokan bekerja. Lambat berfikir apatah lagi untuk bertindak pantas dan 'bertenaga'. Ini kerana pemikiran, perbuatan dan pertuturan akan berkait rapat dengan kondisi tubuh badan. Mahu kerja yang bagus perlu rehat yang mencukupi dan akal yang cerdas datangnya dari tubuh yang cergas. Kemantapan jasmani lahir dari aktiviti yang sihat dan seterusnya mampu menghilangkan stres, meningkatkan keceriaan dan merasionalkan diri dalam penugasan.
Konklusi
Undang-undang adalah unsur penting dalam mewujudkan keamanan dan memberi kemaslahatan kepada segenap aspek kehidupan manusia. Dalam menjamin inspirasi tersebut, undang-undang perlu bersifat kukuh bagi menjamin kepatuhan yang tidak berbelah bahagi. Penjana keutuhannya pula pastinya mereka yang bergelar penguasa, penyuatkuasa atau penegak hukum yang perlu di selarikan dengan semangat dan karektor yang dibentuk dari akal, jiwa serta jasad tuntas. Dari mana lahirnya ketiga-tiga elemen tersebut? Jawapannya adalah melalui 'amalan' dari 'latihan' yang dilakukan secara konsisten serta berterusan bukan sahaja dari aspek penugasan dan fizikal tetapi juga meliputi item-item dalaman individu. Sesungguhnya bukan mudah menjadikan diri seperti lilin untuk menerangi orang lain kerana masih ramai yang bersikap aneh apabila suka berada dalam kegelapan. Namun hanya kebaikan sahaja berupaya melawan kejahatan dan kebobrokan. Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE
Gambar : Friends of PDRM
Comments
Post a Comment