"Sampaikan salam buat semua
Salam terakhir salam teristimewa
Kepada kau yang tersayang
Pada teman yang ku kenang
Pemergian ku ini tak dirancang
Usah bertanya mengapa aku
Mengucap salam terakhir kepada mu
Kerna waktu berputaran
Bimbang tak berkesempatan
Melahirkan kerinduan terhadapmu"
Ulu Tiram tanah keramat nun di selatan tanahair. Tenang, indah dan damai tempatnya. Namun siapa menyangka dan tiada siapa menduga, di sebalik kedamaian tersebut terselindung 'petanda' yang bakal membawa perkhabaran duka. Kisah luka kepada sepasang 'sosok insan' biasa lagi tidak berdosa yang tidak pernah merasa sangsi walau sedetik bahawa mereka bakal dikunjungi 'tragedi'. Sebuah tragedi yang menggemparkan teman seperjuangan, keluarga, saudara mahupun sesiapa sahaja yang berada di seluruh pelosok negara.
Di lewat dinihari penghulu segala hari mereka masih berjaga. Ketika orang lain masih lagi dibuai dengan mimpi-mimpi indah untuk menjadi ceritera hari esok, mereka masih bersengkang mata demi amanah memelihara kedamaian masyarakat dan negara tercinta. Rutin tugasan seperti semalam namun pada kali itu tanpa disangka menjadi luar biasa sifatnya apabila dikunjungi 'tetamu' yang pastinya tidak diundang. Memecah keheningan dinihari dengan pantas dan tangkas merobek serta meragut jasad bersama nilai sebuah kehidupan sosok-sosok itu sehingga tidak meninggalkan sekelumit nafas dan kata untuk diperturunkan kepada pewaris masa hadapan.
Perkhabaran duka di pojok medium maya lantas bertali arus mengambil posisi. Tular ke seluruh pelusok buana bersama rasa tersentak, terkilan dan simpati yang tidak terhingga oleh seluruh warga Malaysia. Wira masyarakat dan negara tewas di bumi Ulu Tiram. Namun tewasnya sang wira penuh 'terhormat' dan mengundang rasa kebanggaan walaupun ada rasa kesedihan yang tersirat di dada. Menjadi lumrah, pujian dan penghargaan bertali arus walaupun suatu ketika kerjaya mereka pernah dicaci dan dihina dek sikap segelintir teman seperjuangan yang bertindak songsang dari arus normalisasi. Lazimnya pabila nyawa telah terpisah dari jasad maka ketika itulah kalungan kata-kata berbunga ditabur sebagai tanda solidariti. Namun, segala takdir perlu diterima dengan tenang berbekalkan iman anugerah Sang Pencipta.
Natijahnya, semangat sang wira tidak goyah kerana yang pergi akan silih berganti. Hilangnya seorang wira akan diganti dengan seribu wira baru yang bakal mengambil letak galasnya. Menjadi warisan kebanggaan Jalur Gemilang dan Sang Saka Biru sepanjang zaman demi menentang musuh-musuh durjana yang sedar mahupun tanpa sedar sering mengintai ruang dan peluang untuk mencarik nilai keamanan dan keselamatan sejagat. Mereka pasti berlegar dan berlingkar di mana-mana sahaja samada terang mahupun tersembunyi. Tegasnya!!!...gempur petualang keadilan tersebut kerana sesungguhnya semboyan telah lama berbunyi dan panji-panji telah lama berkibar. Namun waspada wahai wira kerana mara bahaya ada di mana-mana.
Sedarilah wahai wira bahawa perjalanan mu sangat jauh dan terlalu besar onak yang perlu diredah. Ada amanah yang perlu dilunaskan dengan padunya akal dan jiwa bagi membentuk keyakinan dalam perjuangan. Tangkis segala cabaran mendatang dan pengaruh bebas kehidupan yang tiada kesudahan tetapi sempurnakan diri dengan ilmu dan iman kerana itulah nilai yang menjadi bekalan dalam perjalanan tugas yang panjang. Jangan gundah kepada 'pengakhiran' diri demi mengutamakan 'kehidupan' orang lain kerana ingat firman Sang Pencipta bahawa "Dan barangsiapa yang menghidupkan nyawa, maka seumpama dia menghidupkan nyawa seluruh manusia". Begitu berharga sebuah perjuangan sebagaimana sabda Kekasih Sang Pencipta "Barangsiapa yang melapangkan urusan seseorang Muslim dari kesusahan, maka Allah akan melapangkan kesusahannya di hari akhirat kelak". Nah!!!...besarnya balasan kepada wira yang menjadi dendangan Sang Pencipta dan KekasihNya.
Kepada ibu dan ayah relakan perjuangan ini, pasrah terhadap apa yang berlaku dan reda kepada ketentuan Illahi kerana rela, pasrah dan reda tersebut akan membawa wira ke syurga. Kepada golongan terbanyak, bukan simpati yang dipohon tetapi memadai doa dan harapan supaya sang penegak hukum tetap ampuh jiwa dan raganya demi sebuah kedamaian milik bersama. Usah dicaci dan dihina kerana tidak semua manusia itu sempurna apatah lagi maksum. Namun, di sebalik ketidaksempurnaan tersebut tetap ada terselit nilai keikhlasan dan kejujuran di sebalik seragam biru itu walau ada ketikanya terpaksa di balas dengan tetesan merah darah. Maka, atas nama wira-wira syahid yang terkorban hanya doa dipanjatkan agar roh mereka ditempatkan di Arasy Allah s.w.t hendaknya. Balasungkawa dan Penghormatan Abadi khusus buat Sang Wira Ulu Tiram. Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE Sumber Video : FB
Comments
Post a Comment