Pengorbanan
Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang bersedia mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s sebagai tanda ketaatan kepada Allah s.w.t. Kisah ini sering diuar-aurkan sebagai kisah pengorbanan yang sejati dan seterusnya menjadi idola kepada seluruh masyarakat Islam yang memperingatinya melalui perayaan Hari Raya Korban atau Aidiladha. Rentetan dari kisah tersebut, Kamus Dewan Edisi Keempat turut mendefinisikan istilah 'korban' sebagai amalan menghampirkan diri kepada Allah dengan menyembelih binatang ternakan (lembu, kambing, kerbau dll) pada 10 Zulhijjah atau tiga hari selepasnya (Hari Tasyrik) dengan mengagihkan sebahagian daripada daging itu kepada fakir miskin. Seiring dengan pengertian tersebut, korban juga diertikan sebagai pemberian (kesanggupan melakukan atau menanggung sesuatu) sebagai tanda kebaktian.
"Oleh itu,
kerjakanlah sembahyang
kerana Tuhanmu semata-mata,
dan sembelihlah korban
(sebagai bersyukur)"(Surah Al-Kauthar:2)
Nilai
Dalam kehidupan manusia, nilai pengorbanan Nabi Ibrahim a.s telah diadaptasi dan ditranformasi dalam pelbagai genre. Salah satunya adalah dalam konteks 'berkira-kira' dalam melakukan sesuatu. Berkira-kira adalah perbuatan dan pemikiran yang lahir dari sifat manusia. Seorang yang berkira-kira biasanya akan menyerlahkan sifat mengungkit, kedekut, mementingkan diri sendiri (self centered) dan seumpamanya. Sesuatu yang dianggap negatif, namun boleh dielakkan melalui kesediaan seseorang itu untuk melakukan pengorbanan atas dasar perubahan supaya dilihat 'tidak berkira' dalam apa yang dilakukan lebih-lebih lagi dalam dunia berkerjaya.
Realitinya, pengorbanan dalam kerjaya dilihat kepada situasi meletakkan kepentingan kerjaya melebihi kepentingan elemen-elemen lain dalam kehidupan. Walaupun ada kalanya elemen-elemen tersebut dianggap penting dan berharga namun atas nama pengorbanan ia 'mungkin' boleh diselaras, dikesamping atau paling kurang dapat disama ratakan. Umumnya, meliputi kesediaan menetapkan kosentrasi diri terhadap kerjaya samada dari sudut komitmen, masa, tenaga dan wang ringgit demi membawa kehidupan yang lebih baik dan bermakna melalui hasil faedah yang lebih besar. Justeru, kesanggupan untuk bekerja lebih masa, di luar waktu kebiasaan, di bawah tekanan dan berdepan mara bahaya menjadi intipati kepada nilai pengorbanan sebenar dalam berkerjaya.
"Kemudian setelah selesai sembahyang,
maka bertebaranlah kamu di muka bumi
(untuk menjalankan urusan
masing-masing)”
(Surah Al-Jumu'ah:10)
Keihklasan
Selari dengan konsep keikhlasan Nabi Ibrahim a.s demi menunaikan perintah Allah s.w.t, maka nilai pengorbanan perlu dimaknakan dengan sprit yang tidak terarah kepada faedah ganjaran atau imbuhan semata-mata tetapi meliputi erti keikhlasan, kemuliaan, kebertanggungjawaban dan kewajiban yang harus ditunaikan sebagai pekerja dan lebih besar sebagai khalifah yang berperanan memakmurkan muka bumi ini. Hakikatnya, pengorbanan bukan semata-mata untuk diri sendiri (pekerja) malah juga mencakupi keberhasilannya kepada agenda meningkatkan kekuatan masyarakat (ummah), mencapai kapasitas organisasi, keteguhan beragama dan pembangunan negara keseluruhannya.
Ironinya, jangan berkira untuk mengorbankan lima atau sepuluh minit atau lebih dari waktu bekerja kerana belum tentu masa bekerja kita berkualiti dan solid selama yang ditetapkan. Jangan pula berkira kerja lebih sedikit dari kebiasaan kerana ia sebenarnya melatih kita bersikap sabar dan pasrah dengan keperluan persekitaran. Jangan juga berkira jika terpaksa bekerja di luar masa kebiasaan kerana bekerja untuk memberi keamanan dan keselesaan kepada masyarakat dan negara adalah sangat dituntut. Jangan berkira jika kerja yang dilakukan terdedah dengan mara bahaya kerana kerja menyelamatkan nyawa manusia lain adalah mulia di sisi Islam. Jangan berkira berkhidmat kepada orang lain yang memerlukan pertolongan kerana kerja bagi mempermudahkan urusan orang lain adalah mulia di sisi Allah s.w.t. Pendek kata pengorbanan dalam bekerja mempunyai hikmah dan kebaikan yang lebih luas samada bersifat tersurat mahupun tersirat.
"Barangsiapa yang melapangkan
urusan seseorang Muslim dari kesusahan,
maka Allah akan melapangkan
kesusahannya di hari akhirat kelak"
(Hadis Riwayat Muslim)
Pengorbanan Milik Semua
Namun begitu, nilai pengorbanan dan sifat tidak berkira perlu ada pada semua orang. Amat tidak sesuai jika menjurus kepada satu-satu pihak sahaja. Ini adalah bagi mengelak dari berlakunya rasa 'tidak puas hati', 'tidak adil' dan 'terkilan' di satu pihak yang lain. Jika tidak dikawal akan mendorong pula kepada permusuhan dan persengketaan yang mampu menggugat ukhuwah dan silaturrahim di kalangan pekerja malah lebih dari itu boleh memusnahkan masa depan organisasi, agama dan negara. Hakikatnya pengorbanan perlu ada pada semua manusia baru lah wujud semangat kebersamaan dan kesamarataan yang akan menjurus ke arah keberhasilan dan kesempurnaan. Di sisi sama pengorbanan adalah untuk memakmurkan dan bukannya untuk menjadi katalis kepada kehancuran.
Diduksi
Kehidupan memerlukan pengorbanan dan pengorbanan yang tulus ikhlas lagi tuntas lahir dari pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s dalam menunaikan perintah Allah s.w.t. Umat Islam seharusnya menginspirasikan riwayat tersebut dalam segenap aspek kehidupan mereka. Ini termasuklah pengorbanan untuk tidak berkira dalam hal pekerjaan bagi menzahirkan kelancaran dan kecemerlangan tugasan yang diamanahkan seterusnya mencapai keredaan Allah s.w.t. Pengorbanan perlu disertakan dengan nilai keikhlasan kerana hikmah di sebaliknya akan mendatangkan impak yang besar dalam kehidupan dan yang paling utama menjadi asbab mendekatkan diri dengan Pencipta. Semoga kehadiran tarikh keramat 10 Zulhijjah 1445 ini akan memungkinkan istiqomah pengorbanan dalam setiap entiti kehidupan. Wassalam.
Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE
Comments
Post a Comment