Skip to main content

PILIHAN TERBAIK, KEHIDUPAN BERMAKNA

Salam Keberkatan...

Sudut Pandang

Pilihan berasal dari perkataan pilih yang menjurus kepada pelbagai situasi seperti membuat pertimbangan terhadap sesuatu, menentukan apa yang dikehendaki atau disukai dan mengasingkan mana yang baik atau yang buruk. Berkait rapat dalam proses membuat keputusan yang berpaksikan kepada pemikiran dan kemudiannya diterjemahkan kepada bentuk perbuatan atau tingkah laku. Sangat penting diimplementasikan dalam kehidupan sehingga beberapa peribahasa Melayu ada memaksudkan perihal perkataan ini di mana antara lain 'jikalau menampi jangan tumpah padinya' yang membawa erti memilih sesuatu benda hendaklah berhati-hati jangan sampai terbuang benda yang berguna manakala 'yang baik dipakai, yang buruk dibuang' pula menggambarkan memilih kesesuaian sesuatu perkara itu hendaklah dengan bijaksana. Kapasitinya berlegar dalam pelbagai konteks, namun memerlukan arah tuju yang jelas selain menyelami faktor yang mempengaruhinya.

Tujuan Dan Pengaruh

Manusia tidak dapat lari dari membuat pilihan dalam kehidupan mereka. Pastinya pilihan dibuat berdasarkan kepada keperluan dan keinginan untuk mencapai sesuatu atau matlamat. Memandangkan perbuatan memilih adalah hak individu bagi mengisi keperluan diri maka mereka tidak harus bersikap terburu-buru, tergesa-gesa dan tidak berfikir panjang ketika membuat pilihan. Andai dibiarkan, situasi ini dibimbangi akan merugikan diri sendiri atau lebih teruk akan mengakibatkan kemudaratan kepada orang lain. Selain dari penetapan individu, proses memilih juga boleh dipengaruhi oleh faktor yang berada di persekitaran mereka samada secara langsung atau tidak langsung. Umpama 'dari mata turun ke hati', apa yang dilihat di persekitaran samada dicetuskan oleh manusia mahupun keadaan yang mungkin berlaku secara tanpa sengaja atau kebetulan boleh memberikan 'nilai' dalam proses membuat pilihan tersebut. Tinggal lagi bagaimana manusia mendefinisi, mewarnai dan mevariasi apa yang dilihat dan diirasai tersebut supaya pilihannya bukan sahaja tepat tetapi menjadi yang terbaik. Ini kerana, proses membuat pilihan ada kalanya kelihatan agak sukar kerana manusia kurang arif dengan apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Meskipun begitu, harus diingat manusia juga mempunyai firasat dan bijak membuat telahan terhadap kemungkinan yang bakal berlaku. 

Pilihan Terbaik

Jika dilihat dalam konteks beragama, Islam turut memberi penekanan berkaitan konsep memilih khususnya terhadap sesuatu yang bersifat baik atau buruk. Dalam hal ini, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud "(Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) samada ia bersyukur (dengan beriman dan taat) ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau merderhaka)" (Surah Al-Insan: 3). Panduan berhubung perkara ini telah lama diterjemahkan yakni melalui ajaran yang berpaksikan kepada Al-Quran dan As-Sunnah. Maka terpulang kepada manusia untuk memilih arah yang mana samada jalan untuk beriman atau mengingkari ajaranNya. Justeru, pilihan terbaik adalah berdasarkan akal dan bukan berlandaskan kepada nafsu. Ini bermakna pilihan setelah dibuat pertimbangan yang sangat teliti terutamanya dari aspek baik atau buruk. Amat diperlukan supaya kesan dari pilihan tersebut berupaya mendatangkan kebaikan dalam kehidupan dan mendapat keredaan Allah s.w.t. Pilihan yang mengikut rasa atau kehendak perasaan akan menyebabkan tergelincirnya manusia dari jalan kebenaran dan bakal membawa manusia kepada perkara kerosakan. Kenyataan ini juga sesuai dengan peribahasa Melayu 'ikut hati mati, ikut rasa binasa' yang membawa maksud orang yang mengikut hawa nafsu akhirnya akan binasa.

Bertanggungjawab

Dalam membuat pilihan, manusia perlu bertanggungjawab terhadap pilihan yang dibuatnya. Bagaimana manusia bertanggungjawab terhadap pilihan tersebut? Jawapannya manusia perlu bersedia terhadap kesan atau impak di sebalik pilihannya. Jika memilih baik maka ganjaran kebaikan yang bakal diterima. Namun jika sebaliknya, maka mereka juga harus bersedia dengan natijah yang bakal dihadapi. Manusia yang normal akal tubuhnya sewajar mengetahui akan hakikat 'pembalasan' tersebut kerana mereka telah dikurniakan fikiran yang berfungsi menilai, mentafsir dan mentaakul baik buruknya sesuatu. Tambahan pula aspek pembalasan terhadap ganjaran kepada setiap perbuatan bukan sahaja bakal diterima di akhirat malah boleh juga berlaku ketika kehidupan di dunia. Bagi mengelakkan keadaan yang akan mendatangkan kerugian akibat dari 'tersalah pilih' maka bermohonlah kepada Allah s.w.t melalui solat sunat istikharah. Selari dengan maksudnya sebagai 'memohon dan meminta yang terbaik" pastinya ia sangat penting sebagai ikhtiar supaya pilihan dibuat mendapat petunjuk dariNya. Jika pilihan yang dibuat telah bersandarkan kepada ketepatan serta selari dengan kehendak agama dan moral maka manusia harus menerimanya dengan rasa rendah diri kepada Sang Pencipta. Jalan terbaik adalah menyambutnya dengan hati terbuka dan reda dengan ketentuan atau qada dan qadar yang telah ditentukan.

Kesimpulan

Pilihan adalah item wajib untuk diadaptasi dalam kehidupan manusia. Bertujuan untuk mencapai sesuatu bagi mengisi keperluan kehidupan yang luas sifatnya. Dalam kebebasan membuat pilihan, manusia tidak harus lupa kepada jalan-jalan terbaik sebagaimana yang dianjurkan Islam. Tidak memilih lorong-lorong yang menyesatkan, membawa kemusnahan atau kerosakan serta elemen menjauhi keredaan Allah s.w.t. Namun berkara ini terpulang kepada manusia untuk menentukannya kerana mereka sendiri akan dipertanggungjawabkan kepada pilihan masing-masing. Sehubungan itu, pergunakan sepenuhnya kebijaksanaan dalam membuat pilihan supaya pilihan terbaik akan menjadi titik mula kepada kehidupan yang lebih bermakna. Wassalam.

Author : Hasron @ Kajang, Selangor D.E



Comments