Skip to main content

KEHIDUPAN HARI INI...KEBAHAGIAAN HARI ESOK

Salam Keberkatan...

 Semua Makhluk Akan Mati

Lumrahnya makhluk bernyawa akan mati termasuk manusia. Kematian itu pasti sebagaimana firman Allah s.w.t yang bermaksud "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya" (Surah A-Li' Imraan : 185). Manusia harus bersedia ke arah tersebut melalui apa sahaja yang dilakukan ketika hidup kerana outcome darinya akan hadir di akhirat nanti samada syurga atau neraka. Pilihan terletak di tangan-tangan manusia itu sendiri berdasarkan kepada corak yang dilakar pada kanvas kehidupan mereka yang pelbagai.

Menyempurnakan Kehidupan

Menyempurnakan kehidupan ketika di dunia adalah kemestian sebelum menuju ke alam kematian. Bagi tujuan itu, manusia perlu berpada-pada dan berwaspada dalam menyusun atur arah haluannya kerana tersilap langkah akan membawa kepada kesukaran ketika bermastautin di 'zaman' tersebut. Realitinya, untuk menyempurnakan kehidupan manusia perlu berusaha khususnya melalui pekerjaan selari dengan tuntutan Islam apabila kerja diiktiraf sebagai ibadah. Hal ini dijelaskan dalam Al-Quran di mana Allah s.w.t berfirman yang bermaksud "Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu: mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah  dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jualah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula" (Surah Al-Mulk : 15). Bidang pekerjaan adalah sangat luas namun perlu dilakukan berlandaskan kepada syariat iaitu halal, bermanfaat kepada ummah dan paling utama mendapat keredaan Allah s.w.t.

Mengapa manusia perlu bekerja? Tujuannya adalah untuk mengisi keperluan kehidupan. Dalam konteks kemanusiaan, perkara ini juga dijelaskan oleh Abraham Maslow dalam Teori Hirarki Keperluan Maslow yang menekankan lima keperluan manusia iaitu dari aspek fisiologi, keselamatan, sosial, penghargaan diri dan hasrat diri. Dari lima keperluan tersebut yang paling utama sebagai manusia adalah bagi memenuhi asas keperluan diri dan fizikal mereka seperti makanan, minuman dan tempat tinggal. Lebih dari itu, selari dengan konsep 'rezeki' yang dijamin Allah s.w.t bagi setiap manusia tetapi berbeza dari sudut kuantitinya. Ini terbukti melalui anugerah rezeki yang bukan sekadar untuk mengisi keperluan asas kehidupan malah lebih dari itu apabila mencapai ke takat kesenangan dan kemewahan yang melimpah ruah.

Kebahagiaan Dunia Akhirat

Memang tidak dinafikan bahawa Islam juga menganjurkan umatnya mencari kebahagiaan hidup melalui pekerjaan dan nilai ganjaran yang diperolehi dari pekerjaan tersebut. Namun manusia perlu berhati-hati dalam mencari, memiliki dan menggunakan kesenangan serta kemewahan tersebut supaya fadilatnya tidak terhenti dalam kehidupan di dunia sahaja tetapi boleh juga menjadi 'aset' berharga di akhirat nanti. Harus diingatkan bahawa, dugaan kehidupan adalah sangat kuat dan memerlukan keseimbangan yang padu kerana manusia mudah terdorong kepada perkara di luar batas normalisasi. Ditambah lagi dengan godaan nafsu yang tidak berkesudahan sifatnya. Hakikatnya Allah s.w.t berfirman yang bermaksud "Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak berpikul-pikul, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)"? (Surah A-Li' Imraan : 14). Sememangnya apa yang dimiliki adalah untuk memberi kesenangan dalam kehidupan manusia di dunia tetapi jika digunakan dengan baik akan turut sama menjamin kesenangan di akhirat nanti.

Kesedarhanaan

Sebaiknya manusia perlu berada di pertengahan atau bersedarhana dalam apa jua tindakan lebih-lebih lagi terhadap harta yang diperolehi mereka. Digunakan bagi tujuan kehidupan yang lebih baik, tidak membazir dan tidak pula 'cermat' untuk dibelanjakan ke jalan Allah s.w.t atau bagi tujuan kebahagiaan orang lain. Dalam hal ini, Allah s.w.t berfirman "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu" (Surah Al- Furqaan : 67). Bak kata 'more you give...you get more'. Apa yang telah diberikan pada hari ini akan dapat dinikmati pada masa depan samada di dunia nyata, alam kematian dan seteruanya alam akhirat. Banyak yang digunakan bagi tujuan kebajikan maka banyak juga pahala yang akan diperolehi sebagai bekalan menggapai kebahagian khususnya di hari esok

Kesimpulan

Kematian adalah pasti. Namun kehidupan sebelum kematian perlu diisi bukan sahaja dengan kebahagiaan di dunia tetapi apa yang lebih penting kebahagiaan yang hakiki yakni kebahagiaan akhirat. Mengisi keperluan manusia adalah sesuatu yang dituntut supaya manusia mampu berperanan untuk memakmurkan muka bumi Allah s.w.t. Tidak salah juga mencari sesuatu yang lebih dari keperluan iaitu kesenangan dan kemewahan dengan syarat menggunakan kelebihan tersebut ke arah kebaikan dan kebajikan. Manusia yang rajin berusaha, dianugerahkan rezeki melalui pekerjaan yang dilakukan dan kemudiaannya menggunakan kelebihan tersebut dijalan yang benar maka itu lah 'nilai' kebahagiaan hidup sebenar untuk dibawa ke alam seterusnya. Wassalam.

Author : Hasron @ Kajang, Selangor DE

Comments